"Everyday is a brand new start"

Showing posts with label Fiqh. Show all posts
Showing posts with label Fiqh. Show all posts

30 November 2014

Fiqh Wanita 2 : Baca Al-Quran ketika haidh?



Bolehkah wanita haidh membaca Al-Quran?

PENDAPAT PERTAMA:

Mazhab Jumhur (Shafie, Hanbali, Hanafi) melarang bacaan Al-Quran ke atas wanita haidh. Tidak dikecualikan hal tersebut kecuali bacaan yang dibaca dengan tujuan berzikir dan berdoa, tidak diniatkan membaca Al-Quran. Mereka mengambil dalil hadis Ibn Umar bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud:

"Tidak boleh wanita haidh dan junub membaca sedikitpun daripada Al-Quran." (Riwayat Tirmidzi)

Bagaimanapun, ini merupakan hadis dhaif. Didhaifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Hadis ini berasal dari riwayat Ismail bin A'yasy dari orang-orang Hijaz. Riwayat dia dari mereka dianggap lemah. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, 'Ini merupakan hadis lemah berdasarkan kesepakatan para pakar hadis." (Lihat Nashburroyah, 1/195 dan Talkhis Habir, 1/183)

PENDAPAT KEDUA:

Mazhab  Maliki, Zahiriyah dan Ibn Taimiyyah pula membolehkan bacaan Al-Quran kepada wanita yang sedang haidh. Hal ini agar para wanita tidak meninggalkan bacaan Al-Quran pada hari-hari dalam tempoh yang panjang.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah membahas persoalan ini dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jld. 26, ms. 191 :

Sejak asal tidak ada larangan daripada as-Sunnah (bagi wanita yang sedang haidh) membaca al-Quran. Hadis: “Wanita haidh tidak boleh membaca sesuatu daripada al-Quran” adalah hadis yang lemah (dhaif) yang disepakati oleh para ahli hadis. 

Diketahui wanita-wanita di zaman Nabi saw juga didatangi haidh. Maka jika haram ke atas mereka untuk membaca Al-Quran sepertimana haram ke atas mereka mendirikan solat, nescaya Nabi akan menerangkan hukumnya dan mengajar para isteri baginda. Hal ini kemudiannya akan tersebar kepada manusia.

Mengqiyaskan wanita haidh dengan orang yang sedang junub dalam hal larangan membaca Al-Quran adalah qiyas untuk sesuatu yang berbeza, kerana junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haidh, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.

Dengan melarang wanita haidh untuk membaca Al-Quran dapat menyebabkannya kehilangan kesempatan pahala, juga dapat membuatnya melupakan hafalan Al-Quran, atau dia sendiri perlu membacanya untuk belajar dan mengajar.

KESIMPULAN:

Setiap pendapat ada logikal. 

Pilihlah mana-mana pendapat yang lebih dekat dan menenangkan hati.

Metodologi Fiqh memberi pilihan kepada masyarakat, tapi jangan menyalahkan pendapat yang bertentangan.

Melalui huraian di atas, jelaslah kekuatan dalil pihak yang membolehkan membaca Al-Quran bagi wanita haidh. Namun jika wanita tersebut membatasi dirinya dengan membacanya apabila takut lupa hafalan yang dimilikinya/mengulang hafalan sahaja, maka dia mengambil sikap yang lebih hati-hati.

Di antara perselisihan pendapat ini, yang lebih utama ialah wanita yang sedang haidh tidak membaca Al-Quran dengan lidahnya melainkan jika perlu, seperti guru yang mengajar Al-Quran, murid yang menduduki peperiksaan dan sebagainya.

Dibenarkan membaca ayat-ayat Al-Quran yang telah dijadikan zikir dan diharuskan juga membaca Al-Quran di dalam hati tanpa menggerakkan lidah.


Wallahu'alam.



Sumber:
Buku Fikh Kerahsiaan Wanita.-Dr Saadudin Mus'ad Hilali.
Buku Darah Wanita (Pandangan Ulama dan Pakar Perubatan)-Dr Anisah Ab. Ghani.
Diskusi Fikh Kerahsiaan Wanita - Ustaz Fauwaz Fadzil.
Syekh Muhammad Saleh Al-Munajjid-http://islamqa.info/id/2564
http://www.hafizfirdaus.com/

Share:

23 November 2014

Fiqh Wanita 1: Keputihan

Diskusi Fiqh Kerahsiaan Wanita di UKM
KEPUTIHAN adalah cecair faraj wanita yang putih warnanya di antara bentuk mazi dan peluh.

Persoalan yang sering berlegar di fikiran kaum wanita:

"Adakah keputihan ini najis?"
"Adakah keputihan menyebabkan tidak sah solat?"
"Adakah batal solat jika tiba-tiba keputihan itu keluar?"

Di sini terdapat dua pandangan:

PERTAMA: Pandangan terkuat dalam Mazhab Syafie, pendapat Abu Hanifah dan lemah di dalam Mazhab Maliki menyatakan bahawa cecair tersebut adalah BERSIH.

Mereka mengqiaskan kepada cecair badan seperti di dalam mulut dan hidung serta ke atas peluh badan.

Keputihan bukanlah cecair yang keluar dari lubang air kencing, tetapi dari rahim.

KEDUA : Pendapat Mazhab Hanafi, masyhur dalam Mazhab Maliki dan sebahagian pendapat di dalam Syafie mengatakan bahawa keputihan adalah NAJIS.

Mereka mengqiaskan kepada hukum air kecing dan mazi.

Kesimpulan:

Bagaimanapun, pendapat kedua sedikit membebankan wanita kerana keputihan sering berlaku tanpa kehendak tidak seperti air mazi, yang mana keluarnya ketika syahwat. 

Menurut Dr Saadudin Mus'ad Hilali,  hukum asal bagi keputihan adalah bersih diqiaskan kepada mulut dan hidung, tetapi ia menjadi najis jika bercampur dengan najis seperti air kencing, mazi atau darah.

Maka sah wudhuk, solat dan tawaf jika keputihan tersebut tiba-tiba keluar.

Pendapat #UmmuZayd:

Walaupun diberi keringanan, tapi adalah lebih baik kita membersihkan diri setiap kali ingin solat. 

Bukankah kita mahu mengadap Allah dalam keadaan paling bersih dan cantik?

Mohon maaf salah dan silap.

Sumber: 
Buku Fikh Kerahsiaan Wanita.(Edisi Terjemahan)
Diskusi Fikh Kerahsiaan Wanita UKM, Ustaz Fauwaz Fadzil.
22112014


Share:

10 November 2014

Membusukkan Dunia?


Langkah kaki semakin dilajukan. Hujan rintik-rintik membasahi pakaian.

"I'ndi musykilah. Ta'jilul imtihan fi usbui'l qadim inshaAllah"

Saya menghela nafas berat. Dalam keceriaan sahabat-sahabat menerima berita tersebut, saya terpaksa bersedih. Saya mengharapkan peperiksaan cepat berlalu. Saya agak kepenatan menyusun waktu.

Ini bukan kali pertama peperiksaan dibatalkan pada hari kejadian, bahkan turut berlaku pada beberapa hari yang lepas.

Kesedihan aneh di hati ini mula menimbulkan persoalan.

"Ya Allah, apa sebenarnya yang Kau mahu khabarkan padaku?"

****

Peristiwa menyambut huluran sijil graduasi pada tahun lalu terimbau. Berjalan dengan penuh gembira di atas pentas kemudian melambung topi graduasi, tanda berakhir sudah tempoh penat lelah belajar selama 5 tahun.

Sehingga terlupa, bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa untuk dijauhkan daripada ilmu yang tidak bermanfaat (Dalam Sahih Ibnu Majah). 

Apakah ilmu yang diperoleh ini dapat saya manfaatkan?

Alangkah baiknya setiap bakal dan bekas graduan mengutip mutiara dari kata-kata tajam seorang pemikir Islam dari Pakistan, Sayyid Abul ‘Ala Mawdudi.

"Wahai Pelajar! 
Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini. 
Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan. 
Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."

Kita tidak mahu membusukkan dunia dengan keberadaan kita. Kita perlu menjadi 'seseorang' untuk ummah dan agama.

Pilihan terbentang luas. Tinggal kita memilih sama ada untuk malas atau rajin, bersungguh atau sambil lewa. Tapi ingat, kita tiada peluang kedua kepada hidup ini. Hidup kita cuma sekali.


Kenapa aku perlu bersungguh menuntut ilmu? Soalan ini wajib ditanya berulang kali kepada diri sendiri.

"Rajin sahaja tak guna, kalau 'result' tak seberapa."

Kata-kata ini selalu melemahkan semangat juang kita. Kutip, dan buanglah ke dalam tong sampah.

Kita hanya berusaha, natijahnya terpulang pada Allah.

Bagi orang yang bersemangat menuntut ilmu, teruslah bersemangat. Usaha kita mungkin belum terlihat hasilnya kini, tapi Allah dengan segala kebaikan-Nya mungkin meletakkan hasil itu pada keturunan dan keberkatan hidup kita, inshaAllah.

Lamunan terhenti. Allah menjawab persoalan saya tadi dengan persoalan lain.

"HambaKu, apakah kau berpenat lelah belajar hanya untuk peperiksaan?"


#Catatan Hati Hujan Renyai-Renyai
IIUM
101114


Share:

24 February 2014

#Buku : Transformasi Fikah Semasa


Keperluan pada transformasi hukum Islam bagi menjawab persoalan hidup semasa dalam masyarakat Islam hari ini sangat dirasakan. Di bawah pengaruh dunia baru dengan segala kemajuannya, baik dari segi ekonomi, sosial mahupun sains dan teknologi, hampir semua perkara dalam kehidupan moden sekarang ini telah berubah. Ringkasnya, pemikiran hukum Islam semasa merupakan perkara teras dalam pengajian Syariah. Ia bukan sahaja diperlukan pada hari ini tetapi juga sentiasa subur dalam proses ijtihad sejak dari zaman Rasulullah SAW sampailah ke hari ini.

Buku keluaran PTS ini sesuai untuk pelajar bidang agama khususnya. Jom grab buku ni cepat! ^^
Share:

Kelompongan si Penuntut ilmu


Dato’ Dr.Mahmood Zuhdi ada menyebut antara langkah untuk kesatuan ummah ialah penguasaan ilmu. Dalam sejarah tamadun Islam banyak kenyataan yang menunjukkan bahawa penguasaan terhadap ilmulah menjadi dinamo yang menggerakkan masyarakat Islam pada waktu itu kuat ke arah pembinaan tamadun yang tinggi.

Dalam mengejar penguasaan ilmu, bagi saya, ada perlunya kita memuhasabah kembali kekurangan dan kelemahan sebagai penuntut ilmu.

Asas yang rapuh

Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni menukilkan kata-kata Imam al Mawardi dalam kitabnya ‘Asyiq:
“Bangunan yang dibuat tanpa asas, tidak akan mampu berdiri kukuh. Sebiji buah tidak mungkin dapat dipetik tanpa ada pokoknya.”

Realiti yang berlaku kepada pelajar hari ini ialah tergesa-gesa dalam menuntut ilmu sehingga mengabaikan prosesnya. Kebanyakan kita melihat terus kepada isi sesuatu pelajaran tanpa mempelajari mukaddimahnya seperti mengetahui tujuan belajar padahal ilmu itu ada awal yang akan membawa kepada penghujungnya. Akhirnya, kita akan tidak memahami akhir kepada suatu permasalahan yang berlaku.

Analoginya mudah, kita tidak boleh berada terus di dalam rumah melainkan terlebih dahulu masuk melalui pintu.

Mengabaikan isi dan intipati

Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam karya beliau “Fiqh Awlawiyyat” juga menjelaskan satu lagi kelemahan pada mereka yang sedang mempelajari ilmu agama iaitu; mereka hanya mempelajari sekadar kulit-kulitnya sahaja, tidak terus sampai kepada isi dan intipati; membahas sekadar permukaannya sahaja, tidak terus masuk ke dasarnya untuk mengutip intan permata yang tersembunyi.

Akibatnya, syari’ah akan terasa tidak lengkap dan kurang sempurna untuk kemaslahatan hidup manusia.

Pendekatan yang tidak menyeluruh dan partial inilah yang menimbulkan kesempitan kepada perkara yang telahpun Allah beri kelonggaran.

Mengutamakan kefahaman

Selain itu, kebanyakan penuntut ilmu akan cepat melupakan pelajarannya setelah selesai daripada peperiksaan dan ujian. Kata Dr Yusuf Al-Qardhawi, hal ini berlaku apabila pelajaran tersebut tidak dipelajari dengan sistem kefahaman dan pengertian. Kesalahan yang banyak berlaku ialah mereka lebih banyak menghafal daripada kefahaman yang benar, walhal hafalan hanyalah jalan untuk mencapai kefahaman.

Ramai juga penuntut ilmu yang 'skip' ke bahagian lain apabila menemui satu bab yang sukar difahami dalam pembacaan lalu meninggalkannya tanpa faham. Kata Dr Zaharuddin; Ketahuilah bab yang sukar itulah menjadikan kamu ilmuwan BERBEZA atau LEBIH LENGKAP dari orang lain. Jika ditinggalkan maka jadilah seperti lainnya yang mudah tersilap dek kerana lompong dalam kefahaman.

*******

Kita tidak pernah terlewat untuk memperbaiki kelemahan diri sebagai penuntut ilmu. Sama-sama muhasabah diri dan renungkan serangkap sajak oleh penyair agung Islam ‘Umar Khayam:

Semalam sudah berlalu. Besok masih dalam cita-cita. Realitinya hari ini. Kerana itu rebutlah segala peluang yang ada pada hari ini sepenuhnya. Kerana besok belum tentu tiba.


-Catatan ini buat diri dan generasi, semoga mendapat manfaat-
Share:

16 February 2014

Imam Syatibi

Di sini, saya ingin meringkaskan perihal Imam Syatibi dari hasil pembacaan saya khususnya mengenai kitab al-Muwafaqat yang paling terkenal di antara karya-karya Imam Syatibi lainnya. Tambahan pula, kitab ini adalah kitab rujukan utama untuk penulisan saya. Semoga Allah menambahkan kefahaman.
Imam Syatibi merupakan seorang tokoh ulama’ pemikir. Nama penuh beliau Abu Ishaq Ibrahim bin Musa bin Muhammad.
Saya melihat Imam Syatibi sebagai seorang yang begitu cekal sepanjang hidupnya. Di zaman beliau, berlaku ketaksuban dalam bermazhab dan penyelewengan yang dipraktikkan oleh kaum sufi pada waktu itu. Majoriti ulama’ Granada ketika itu menganut mazhab Maliki sehingga mereka terlalu taksub terhadap mazhab tersebut. Setiap orang yang tidak bermazhab Maliki akan dicerca bahkan diseksa kerana menurut mereka tidak sesuai dengan syariat.
Hal ini mendorong Imam Syatibi menulis al-muwafaqat.
Salah satu bab dalam kitab al-muwafaqat adalah ‘Maqasid’ yang isinya memberi petunjuk mengenai pemahaman fiqh yang tidak berkelompok-kelompok dan fanatik mazhab sehingga mampu mempertahankan kesatuan umat.
Kitab ini juga boleh dianggap sebagai sebuah jambatan yang menghubungkan antara usul fiqh mutakallimin dan usul fiqh fuqaha’ yang mana telah menggabungkan antara teori usul fiqh dengan maqasid syari’ah. Penggabungan antara dua teori tersebut adalah sebuah jalan keluar agar usul fiqh tidak terhad pada teks zahir dan menjadikan produk fiqh lebih fleksibel dan tidak mengabaikan kemaslahatan manusia.
Menariknya tentang Imam Syatibi, pemikiran beliau ditolak di peringkat awal. Masyarakat melabelkan beliau sebagai orang yang berfahaman Muktazilah, bahkan tidak lepas juga tuduhan “ulama pemecah belah masyarakat”.
Namun zaman ini, pemikiran beliau menjadi rujukan ulama’ terkemuka seperti Dr Yusuf Al-Qardhawi dan Syeikh Said Ramadhan Al-Buti.
Imam Syatibi meninggal dunia pada tahun 790 H.
Share:

21 January 2014

Learn and Think


Sayyid Qutb ungkapkan di muqaddimah Tafsirnya, “kemanisan hidup di bawah lembayung al-Quran, tidak dapat diketahui rasanya melainkan oleh orang yang menjamahnya”
Persoalan yang ditimbulkan Ustaz Hasrizal:
Mampukah anda yang membaca Tafsir fi Zilal al-Quran merasai apa yang dirasai oleh Sayyid Qutb, jika pembacaan kita terhadap gagasannya hanya berupa sebuah hafalan. Kehebatan kita pula ditonjolkan hanya pada keupayaan kita menaqalkan sebanyak mungkin ungkapan-ungkapan manusia hebat itu.
Saya ingin menaqalkan status dari seorang sahabat;
Tidak ada apa yang perlu kita banggakan pada ilmu yang secebis cuma pada diri kita. Kata Imam Fakhr al-Din al-Razi (543 H/1148 M) 


وَلَمْ نَسْتَفِدْ مِنْ بَحْثِنَا طُولَ عُمْرِنَا سِوَى اَنْ جَمَعْنَا فِيهِ قِيلَ وَقَالُوا
Tiada apa yang kita peroleh daripada pengajian sepanjang usia kita kecuali kita menghimpunkan “Kata beliau..” dan “Kata mereka…”

Betul, tidak ada apa yang perlu dibanggakan pada ilmu kita yang sangat sedikit. Pada lulus atau cemerlangnya kita dalam peperiksaan barangkali oleh sebab hafalan semata-mata tanpa kefahaman yang sebenar-benarnya.
Kata Confucius, “berfikir tanpa belajar itu berbahaya”
Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan.
Orang yang banyak bertanya, kerana banyak berfikir, harus banyak belajar. Belajar dalam erti kata bukan setakat bergantung kepada jawapan hasil soalan, tetapi harus belajar mengenal proses menghasilkan jawapan itu.
Saya sedar, sebagai pelajar bidang usul Fiqh, kefahaman proses penghasilan hukum sangat penting. Benar, kita mudah mendapatkan bermacam hukum yang kita inginkan melalui internet, tapi kita hanya beroleh jawapan, tetapi terlepas prosesnya. Rugi.
Melalui proses lebih membuat kita berfikir dan memahami. Kita akan lebih merasai. Baru dapat memaknai jalan menuntut ilmu.
Proses itu hanya boleh ditemui dan didefinisi oleh orang yang ‘mencari’. 
Saya masih sedang belajar. Menguatkan sisi-sisi lemah sebagai penuntut ilmu. Doakan saya.
Allahumma faqqihna fiddin. 
| Catatan ini untuk peringatan diri sendiri, juga buat generasi |
Share:

14 January 2014

Bidang Agama Pilihan Saya

Alhamdulillah, result  Biologi saya A. Cita-cita saya untuk mengambil jurusan perubatan menjadi kenyataan. Tambahan lagi dengan tawaran Matrikulasi Pahang untuk Sains Hayat. Saya ingat lagi waktu itu, bila saya ubah keputusan untuk memilih bidang agama, keluarga terkejut termasuk saya sendiri.
Itu gerak hati, dan yang menggerakkan tidak lain adalah Allah SWT.
Saya tahu, masyarakat tidaklah memandang tinggi kepada pelajar bidang agama. Sesiapa pun boleh menjadi ‘ustaz’ atau ‘ustazah’ di zaman ini. Seorang doktor yang rajin belajar agama juga boleh jadi sehebat ustaz, malah mungkin lebih lagi. Dengan segala teknologi yang ada dan maklumat di hujung jari.
Akibatnya, bidang agama hilang keutamaan.
Bidang agama menjadi pilihan terakhir ibu bapa untuk anak-anak setiap kali memikirkan tentang kerjaya mereka. Kebanyakan yang menjadi prioriti untuk pemilihan kerjaya adalah banyaknya wang dan ‘nama’ yang dipandang tinggi masyarakat.
Itu realiti.
Kita tak boleh memaksa masyarakat mengubah pandangan mereka terhadap bidang agama, tapi kita boleh buktikan bahawa bidang agama ini benar-benar memberi impak besar dalam masyarakat, untuk memandu masyarakat ke arah masa depan ummah yang lebih baik.
Dalam kata lain, ‘mengubati penyakit ummah’.
Bukannya semakin bertambah bidang pengajian Islam, tapi tetap bertambah gejala sosial, kadar jenayah dan kejahilan ummah.
Ustaz dan Ustazah perlu ada kualiti sebagai pelajar bidang agama. Saya percaya, menghadiri kuliah, ceramah, mencari maklumat melalui internet tak pernah sama dengan proses pembelajaran bertahun-tahun berdasarkan subjek yang diambil.
Kita perlu membuktikan ‘sesuatu’. Bidang agama bukan sebarang. Buka pandangan masyarakat, bahawa agama ini tidak sempit.
Ramai ulama’ telah membuktikannya.
Apa kecenderungan Kita?
Kerana itu saya tak pernah menyesal memilih bidang ini. Terpulang bagaimana antum.
Allahumma faqqihni fiddin. Semoga Allah meredhai.
Share:

10 January 2014

Antara 4 Mazhab


“Pelajar syariah belajar fiqh dengan membentangkan kitab Imam Hanafi & Imam Syafie. Hal ini kerana biasanya 2 Imam mazhab ini mempunyai sudut pandang berbeza dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Adapun Imam Ahmad dan Imam Malik, pandangan mereka biasanya akan cenderung kepada salah satu daripada dua Imam di atas. Maka lebih praktikal untuk mengkaji pandangan 2 pandangan berbanding kesemua 4 imam mazhab.
Kemudian, kajian fiqh itu dibuat melalui perspektif Ilmu hadith bagi menambah kefahaman kepada konteks.”
- Ustaz Hasrizal
Share:

Melerai Kekusutan Wahabi

“Bagaimanakah cara saya menyelesaikan kekusutan saya tentang topik Wahabi:

1. Belajar semasa di sekolah, aqidah kita Islam

2. Sampai Jordan, baru kenal rupanya ada dua aliran iaitu Salaf dan Khalaf
3. Saya khalaf dan asya’irah, fiqh pula bermazhab syafie
4. Untuk mengukuhkan aqidah, saya mengaji kitab Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyah karangan al-marhum Sheikh Al-Buti, tanpa mengetahui ia mewakili khalaf
5. Buku sangat bagus. Perbahasan meluruskan kepercayaan.
6. Kemudian tersedar, wujud perkaitan antara Salafi dengan Wahhabi.
7. Membaca kitab Ubudiyyah Ibn Taimiyyah, Fatawa Humawiyyah, dan kitab al-Tauhid oleh Muhammad bin Abdul Wahhab serta Fath al-Majid, syarahnya.
8. Mengenal pasti ada perbezaan pada cara penghujahan.
9. Kedua-duanya sangat meyakinkan dan seperti perlu dipakai pada situasi dan cabaran yang berbeza-beza.
10. Membaca kajian-kajian yang menjelaskan konteks sejarah. Mula memahami bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab sama seperti nama lain, perlu difahami melalui dua sudut iaitu: (i) membaca sendiri tulisan-tulisannya. dan (ii) membaca kajian orang lain mengenainya (pro dan kontra)
11. Membaca sumber tentang Muhammad bin Abdul Wahhab daripada sumber Arab, Inggeris dan Uthmaniah.
12. Sampai kepada pemahaman:
a. Wahhabi iaitu satu topik
b. Muwahhidin satu topik lain
c. Muhammad bin Abdul Wahhab satu isu lagi.
d. Ibn Taimiyah satu bab lagi pula.
e. Salaf pula satu topik lagi.
Semua itu bukan sepakej. Ada bab ia bersama, ada bab ia berbeza.
Sepanjang membaca dan menempuh proses di atas, adakalanya saya rasa saya Salafi, adakalanya saya rasa Asya’irah.
13. Kini, saya Ahli Sunnah wal Jamaah, perbahasan Salaf, perbahasan Khalaf, semuanya valid dan perlu diguna. Kegunaan rosak apabila dilaga-laga. Kegunaannya tinggi apabila diguna secara berasingan.
(percubaan nak lakar dulu, laluan menyelesaikan kerumitan bab ni)”
— Hasrizal Jamil
Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories