"Everyday is a brand new start"

Showing posts with label Pemuda. Show all posts
Showing posts with label Pemuda. Show all posts

14 July 2017

Mahu Jadi Mata Air? [Habibie & Ainun 2]

Bismillah…


Jadilah seperti mata air. Jika air yang keluar dari sana jernih, maka semuanya akan ikut jernih. Jika yang keluar dari sana kotor, maka semuanya jadi kotor. -Ayah Habibie

Saya baru selesai menonton filem Rudy Habibie -Habibie & Ainun 2. Aura filem ini sungguh luar biasa membuatkan saya banyak merenung perjalanan hidup diri sendiri. Berbeza dengan filem Habibie & Ainun pertama yang lebih cenderung menyentuh tema cinta sejati, filem keduanya lebih banyak mengedepankan nasionalisme seorang Habibie semasa mudanya.

Habibie seorang pejuang yang setia dengan perjuangannya. Namun, saya tidak berniat bercerita panjang tentang perjuangan Habibie. Apa yang ingin saya kongsikan ialah tentang seorang Habibie dari sudut pandangan saya.

Begitu banyak yang menyentuh hati saya. Perjuangan mencapai cita-cita dan impian tak akan pernah mudah. Liku-liku ujian itulah yang mendewasakan dan mematangkan kita. Membuka minda dengan gambaran baru tentang kehidupan.

Yang berat akan jadi ringan, percayalah.


Habibie juga begitu. Dia seorang lelaki yang kuat semangatnya. Luar biasa kental di hadapan teman-teman dan yang memusuhinya. Gerun mendengar bait kata-kata dan hujahnya. Namun, lihatlah dia sangat manja dengan rabb-Nya. Dia mengakui ketidakberdayaan dia sebagai hamba ketika solat. Air mata yang mengalir membuktikan bahawa dia manusia yang lemah. Kekuatan itu hanya dari Tuhan.

Habibie suka menyendiri ketika berlaku sesuatu. Dia lebih banyak menutup mata dan merengek dengan penciptanya biarpun berada di dalam gereja. Tempat bukanlah masalah utama, asalkan hati selalu dengan-Nya. Jika kita menonton filem ini, antara sikap terpuji Habibie yang ditonjolkan ialah terus bersolat dan berdoa ketika berlaku masalah.

Segalanya berjalan lancar sesudahnya. Subhanallah. Sebab itu, Allah pesan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat. Jika apa yang kita perjuangkan itu tak melanggar syariat, apatah lagi demi kebaikan umat. Yakin, Allah pasti membantu bagaimanapun caranya.




Kehidupan dan semangat pasti ada ups dan downs. Kerana Habibie itu manusia biasa, dia juga miliki rasa hampir putus asa dan gagal. Kita semua pasti pernah merasai bagaimana peritnya rasa itu.

Aku tahu nak kalau kamu itu memiliki hati yang kuat. Kamulah orang yang menggantikan ayahmu menjadi imam ketika tahu bahwa dia meninggal.  -Ibu Habibie

Bukan mudah seorang anak kecil untuk ke depan menggantikan ayah menjadi imam setelah tahu bahawa ayah kesayangannya sudah meninggal. Begitulah Habibie, dia memang kuat sejak kecil. Lihatlah, siapa di sebalik sosok itu. Ada ayah dan ibu yang menjadi tulang belakang kejayaan Habibie. Habibie memegang erat kata-kata ibu bapanya di sepanjang perjuangannya.

Memang, mata air adalah sumber yang menentukan segala yang ada di bawahnya. Tapi ingatlah bahwa mata air itu sendiri berasal dari tanah yang terkoyak.  –Pendeta

Kejayaan yang manis adalah hasil dari pengorbanan yang pahit. Kita mungkin tidak seberapa syukur dengan nikmat, jika tidak diuji.

Seluas manapun koyakan hati kita, jangan biarkan kita jatuh dan segala pengorbanan yang kita lakukan menjadi sia-sia. Percayalah masih ada harapan dari Tuhan. Dia tidak akan membiarkan tangan kita kosong setelah meminta dan merayu kepadaNya.

Di hujung nanti, jika kita istiqomah membina keyakinan padaNya. Dia pasti membenarkan impian-impian kita.

Melihat perjuangan Habibie sepanjang hidupnya, bertanyalah diri kita.

Apa yang sedang kita perjuangkan dalam hidup kita?

14 Julai 2017
1120pm
Nilai


Share:

29 March 2015

Si Tampan Yang Sabar

Buku Tulisan Amr Khaled
Nabi Yusuf itu tampannya memukau mata yang memandang, sehingga perempuan-perempuan itu mabuk cinta seraya berkata:

"Maha Sempurna Allah.

Ini bukanlah manusia.

Ini benar-benar malaikat yang mulia." (Yusuf :31)

Namun ketampanan Nabi Yusuf tidaklah diceritakan dengan detail di dalam Al-Quran, sebaliknya Allah mahu kita melihat dari sudut tampannya sabar dan akhlak Nabi Yusuf.

"Fasobrun jamil...."

Sabar yang tak diiringi keluhan, ketika itulah sabar benar-benar cantik.

Kerana sabarnya Nabi Yusuf kepada kedengkian saudara-saudaranya, Nabi Yusuf bertemu jalur hidup yang lebih baik dan hebat. Begitulah, selalunya penderitaan yang dianggap suatu musibah adalah permulaan dari kebahagiaan yang tak diduga.

Pelemparan dirinya ke dalam sebuah perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, disusuli dengan pemenjaraannya oleh para penguasa Mesir, semuanya itu merupakan jalan yang harus ditempuh oleh beliau untuk mencapai puncak kebesaran dan kemuliaan sebagai nabi serta taraf hidup yang mewah dan sejahtera sebagai seorang penguasa dalam sebuah kerajaan yang besar.


Step one to be patience

Siapa yang sabar, pasti akan menang. Hanya dengan kurnia Allah jualah yang dapat memberi kemenangan dalam pelbagai bentuk sehingga tak terjangkau akal fikiran manusia.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”  [Al-Baqarah:153]

Berusaha menahan diri dengan sabar dan solat jauh lebih baik dari menceritakan dan mengeluhkan masalah kerana ini solusi yang dijamin Allah di dalam Al-Quran.

Lihatlah bagaimana Saidatina Aisyah menahan kesabaran saat difitnah, beliau turut mengungkapkan kata-kata Nabi Yaakub a.s di dalam ayat ke 18 surah Yusuf:

فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ 

"Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu." 

Di akhir cerita, kesabaran pasti berakhir keindahan. 

Kata Saidina Ali:

"Ketahuilah bahawa sabar, ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak."

Teringat setiap kali saya merungut apabila menunggu makanan agak lama di kafe, sahabat saya akan berpesan:

"Sabar itu hadiahnya syurga. Kalau hadiahnya hanya kereta atau wang, bermakna sabar tidak terlalu hebat"


Membenci untuk bersabar hanya merosakkan jalan cerita. Sabar itu memerlukan kekuatan dari Allah, sehingga kita merasa senang dengan segala yang Allah senangi pada kita.





Kata Ustaz Syaari, Surah Yusuf memiliki sastera yang tinggi dengan bahasa yang mudah serta 86 ayat dalam bentuk dialog. Jika tidak mampu menghafal satu surah, pesan Ustazah Norhafizah, cuba hafalkan ayat-ayat nasihat dalam surah Yusuf yang menyentuh jiwa. Contohnya ayat 90 di atas.

Semoga Allah mengurniakan kesabaran buat kita dan istiqamah dengannya.

"Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami.” (At-Thur: 48)


#IIUM #29032015
Share:

22 November 2014

Sepenuh Hati

sumber:fanikatun.com

Pasal Quran?  Tauhid?  Hati?

Otak saya ligat berfikir tajuk apa yang paling sesuai sebagai pengisian pertama malam itu. Saya tak ingin menyentuh tajuk yang berat memandangkan mereka baru ingin berhijrah.

Okayh, set. Tajuk malam ni pasal hati. 

Ya Allah, bantu aku sampaikan apa yang Kau ingin sampaikan pada mereka...

Selesai sedikit muqaddimah, saya yang ingin memulakan sesi sharing terlebih dahulu diajukan soalan. Akhirnya, saya membuka apa sahaja persoalan yang ingin mereka tanyakan.

Menjadilah tajuk malam itu "Apa Tujuan Hidup kita"?

"Saya nak belajar Al-Quran, supaya anak-anak saya tahu hormati saya dan tak lagi nakal."

"Saya nak buat mama gembira."

"Saya nak anak-anak saya pandai macam Mak Su diorang, dan kaya raya macam wan diorang."

"Alamak, saya macam takde matlamat je ustazah.."

Dulu, saya pun samar-samar. Saya hanya tahu fikirkan matlamat-matlamat jangka pendek. Selepas berjaya, kepuasan itu ada, tapi sementara.

Hamba Allah dan khalifatullah. Allah menciptakan kita untuk beribadah kepada-Nya, dan menjadi khalifah kepada-Nya, seperti yang tercatat dalam Surah Al-Baqarah dan Adz-Zariyat.

Bermakna apa sahaja yang kita lakukan sama ada bekerja, belajar, mendidik anak-anak dan semuanya mestilah atas dasar ibadah untuk mengharapkan redha Allah sahaja.

InshaAllah, semua ini akan dicapai dengan memiliki hati yang hidup. Bagaimana? 

Seorang Tuan guru sedang mengajar dalam sebuah majlis. Tiba-tiba pintu diketuk. Orang yang paling hampir ingin membukanya, tapi ditegah Tuan Guru.

Maka diminta murid di sebelahnya untuk membuka pintu tersebut.

Semua orang hairan, lalu Tuan Guru pun bertanya soalan kepada keduanya apa yang diniatkan sewaktu mahu membuka pintu.

Murid pertama: "Saya yang paling dekat dengan pintu, jadi sayalah yang perlu membukanya."

Murid Kedua: "Alhamdulillah saya sempat berniat, jika di luar itu orang miskin, saya akan memberi sedekah. Jika di luar itu orang jahil yang mencari ilmu, saya akan tunjukkan tempatnya. Jika orang itu musafir, saya akan berikan rumah sebagai tempat bermalam."

Berkata Tuan Guru; "Kamu dapat semua yang kamu niatkan, walaupun semua itu belumpun berlaku"

Hal ini tidak lain kerana hati yang hidup mengaitkan semua yang dibuat kepada apa yang disukai Allah. Kesannya, perkara itu akan dibuat sepenuh hati.

Bekerja, kerana Allah menyuruh kita berusaha serta mencari rezeki untuk keluarga.

Belajar, kerana Allah cinta kepada orang yang menuntut ilmu. 
Kaya raya, untuk membantu orang Islam dan agar orang Islam tak lagi direndah-rendahkan.

Quoted by Rumi
Apabila seseorang meniatkan sesuatu untuk Allah, maka baik atau buruk yang dilaluinya, dia terus yakin bahawa Allah menjamin hidupnya dengan kebaikan.

Tiada sesuatu pun yang Allah sia-siakan, kerana Allah tak pernah menzalimi hamba-Nya.

Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya). Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. 

Beribadahlah sepenuh hati.

Kerana taqwa akhir zaman adalah menghidupkan hati.

Wallahualam.
Share:

16 November 2014

Latte, Cappucino, Mocca, dan Americano

Can you see the different?

Korang tahu tak perbezaan Cappuccino dan Mocha?

Perbezaan Latte dan Americano?

Musim hujan, saya rasa yang paling sedap diceritakan adalah tentang 'kopi'.

Sewaktu berjalan-jalan di Melbourne, kopi menjadi kegemaran kami memandangkan minuman lain kami agak ragu-ragu untuk meminumnya.

Bukan di Malaysia, tapi di Melbourne saya berkenalan dengan perisa-perisa kopi yang buat saya jatuh cinta. Akhirnya, saya buat kesimpulan that I prefer cappucino!

Sesi mengeteh cappucino di Melbourne! 

“Tentang kopi kesukaanmu, cappucino, kopi itu bukan dari Italia. Aslinya berasal dari biji-biji kopi Turki yang tertinggal di medan perang di Kahlenberg." (Fatma)
Setiap dari satu perisa itu memberi rasa dan kepuasan yang berbeza dan tersendiri.

Hidup ini juga ada perisa tersendiri. Semua perisa kehidupan itu yang akan membuat hidup kita jadi lebih bermakna. Kita pun akan bertemu dengan manusia-manusia yang memberi perisa yang berbeza dalam hidup kita.

Jika tidak pernah dipertemukan dengan orang-orang yang disapa hidayah, mana mungkin akan begitu menghargai nikmat Iman, Ilmu dan Islam.

Jika tidak bertemu dengan orang-orang yang menduga kesabaran, mana mungkin kita tahu sebesar mana kesabaran yang ada pada kita.


Jika tidak diuji duit yang hanya tinggal cukup-cukup makan, mana mungkin akan begitu mensyukuri setiap nilai duit yang masuk ke akaun kita. 


Jika tidak menempuh susah payah masuk ke universiti, mana mungkin akan benar-benar bersungguh menuntut ilmu.

Lihatlah apa yang terjadi dalam hidup ibarat kita sedang mencuba perisa yang baru.
Mungkin ada perisa yang kita tidak suka, tapi hayatilah perisa tersebut dengan sifat redha dan syukur kerana di setiap perisa, ada 'kesedapan' di sebaliknya.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Share:

08 November 2014

Kecil Yang Besar


Satu

Langkahnya berhati-hati. Dia sanggup berjalan melalui tempat yang jauh asal tidak memijak rumput.

"Aduh, hati-hati bangat ya kamu." Awalnya, saya memang merungut kerana terpaksa mengikut arahnya.

Lama-lama, saya jadi terbiasa. Katanya, rumput pun mahu hidup kan!

Dua

"Assalamualaikum kucing...." Kucing itu merenung ke arahnya.

Saya tersenyum melihat lagak sahabat saya. 

"Pasti kucing itu sedang menjawab salamnya." Kata hati saya.

Tiga

Sesampai di bilik, saya terkejut besar melihat ada lembaga gemuk di atas katil saya.

Pantas saya menelefon sahabat saya untuk membantu.

"Maaf ya kucing, si juju takut pada kamu."

Dengan penuh kelembutan, dia mengeluarkan kucing dari bilik saya dengan menggunakan penyapu. Takut kucing juga rupanya dia.

Begitulah hari-hari sahabat saya yang penuh ibrah dan halus hatinya.

Saya kira, amalan yang benar-benar jatuh ke hati adalah amalan yang benar-benar lahir dari hati.

Biarpun amal ini dilihat kecil, tapi besar nilainya inshaAllah.

"Apa saya mahu sumbangkan untuk Islam?"

Ummu Mihjan sedar, sebagai seorang muslimah, dia punya kewajipan untuk agama Allah. Tapi apa saja yang mampu dilakukan oleh perempuan tua lagi miskin sepertinya?

Dia tidak putus asa.

Maka dia berusaha menjaga kebersihan Masjid Nabi, menyapu serta membuang sampah dan kotoran.

Suatu hari, Rasulullah tercari-cari Ummu Mahjan kerana dia tidak kelihatan lagi membersihkan masjid. Maka tahulah Rasulullah dari para sahabat, bahawa Ummu Mahjan telah meninggal dunia.

Baginda segera mendatangi kuburnya untuk mensolatkanya agar Allah menerangi kuburnya berkat solat beliau itu.

Lihatlah kedudukannya pada pandangan Rasulullah saw ketika itu!

Amalan Ummu Mihjan mungkin kecil di pandangan kita. Tapi beliau merupakan sosok yang selalu berusaha mempersembahkan yang terbaik kepada agama Allah, meskipun dalam pandangan mata manusia hanyalah perkara remeh semata.

(Kisah Ummu Mihjan adalah kisah yang sahih sebagaimana diriwayatkan oleh Imam-Imam Hadith seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain lagi)

Dr. Aidh al-Qarni di dalam salah satu rancangan tv bertajuk 'Haddathana al-Zaman' telah menyarankan kita agar;

Melakukan 'sesuatu' untuk dunia dan akhirat dengan penuh kesungguhan. Walaupun tugas itu nampak 'kecil' atau 'tidak penting' bagi sesetengah mata yang memandang.


Modal yang Allah beri pada kita; pada masa, wang, ilmu, kepakaran dan tenaga yang barangkali tidaklah sehebat dan sebanyak orang lain, maka laburlah dengan sepenuh hati untuk agama-Nya.

Justeru inilah perniagaan yang terindah di dunia!
Share:

21 August 2014

Apakah Engkau Lebih Baik?

Apakah engkau yang lebih baik?
Engkau setia melaungkan dakwah
Tapi mudah menghambur amarah
Engkau mencemuh saudaramu 
Yang kasih membalut aibmu

Apakah engkau yang lebih baik?
Di mata manusia engkau sempurna, termulia 
Namun saat sendiri engkau hodoh, lagi terhina 
Duhai jiwa yang berkaca matakan dunia 
Mengapa engkau alpa dan terus alpa

Apakah engkau yang lebih baik?
Saat engkau merasa cukup dengan amalmu
Dek kemasyhuran nama, dek ketinggian ilmu
Hakikatnya saat itu engkau sudah tersasar jauh
Mana mungkin Dia kasihkan sang takabbur

Jangan kerna dunia yang mengangkatmu
Jangan kerna tiada bala yang menimpamu
Engkau merasakan engkaulah yang terbaik
Moga Allah menerima amalku, jua amalmu


#puisidamaiiman
Share:

08 June 2014

Ajaibnya Selawat

Ustazah Norhafizah Musa dan zauj, Dr Azahar.

Ustazah bercerita...

Saya pernah dijemput berceramah untuk pesalah-pesalah juvana yang kesemuanya lelaki.

Sebelum berceramah, saya diberi taklimat;

"Ustazah boleh ceramah sesuka hati selama 3 jam, tapi dengan syarat ustazah tak boleh tegur pelajar-pelajar."

Saya hairan, lalu saya bertanya sebabnya.

Rupa-rupanya, pernah ada yang memberontak kerana ditegur.

Tiba-tiba ada rasa sedikit menyesal di hati kerana datang. Kali ini luar biasa debarannya.

Ketika mulakan ceramah, saya beri salam dan tiada respon. 

Lalu saya berkata;

"Anak-anak, boleh kita mulakan dengan selawat"

Sepi. Tiada siapa yang ikut berselawat.

Saya mula mengangkat suara.

"Anak-anak semua, kalau kamu tak layan ustazah, ustazah bukan sesiapa dalam hidup kamu. Kamu kalau tak pedulikan mak ayah kamu pun, ustazah tak hairan. Tapi kalau kamu buat sombong dengan Nabi Muhammad SAW, yang ini ustazah bimbang Allah akan bayar cash kepada kamu. kerana ini kekasih Allah SWT."

Dan, selepas itu kesemuanya berselawat sehingga bergema dewan.

Subhanallah, saya melihat sendiri bagaimana Allah berselawat kepada kita.

Daripada tidak peduli dan mempersendakan, tiba-tiba masing-masing berubah sekelip mata.

Begitulah, bukti kekuasaan Allah melalui selawat Nabi SAW.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali”

Ibn Qayyim menyebut; Di antara maksud Allah berselawat kepada kita ialah Allah mengeluarkan kita daripada satu keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.

Selawat menjemput barakah, rezeki ilmu, hidayah dan pertolongan Allah.

Allahumma salli ala Muhammad!
Share:

11 April 2014

Tips Mencintai Masa


Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
(Surah Al-Asr)

Tips ini sekadar perkongsian untuk manfaat bersama. Tips ini cenderung kepada yang masih bujang. *HuHu*

A) Mendengar Al-Quran, Zikir & Ceramah

Ada beberapa waktu dalam kehidupan kita yang boleh diisi dengan Al-Quran, Zikir dan Ceramah (jika tak sempat ke majlis ilmu):

1) Driving
2) Lipat baju dan iron baju
3) Memberus baju
4) Memasak
5) Sebelum tidur
6) Berjalan pulang dan pergi ke kelas
7) Mengemas bilik

B) Membaca

Apa guna ada gajet canggih kalau takde pengisian ebook kan. Jadi, imarahkan ebook kita dengan bacaan-bacaan yang baik. Teknologi ini memudahkan kita untuk membaca dalam train, bas dan sewaktu menunggu orang atau giliran. Tapi kena pastikan, aktiviti membaca kita kena dengan situasi. Jangan sampai ada yang terabai. *HuHu*

c) Mengurus Hal Ehwal sendiri

Saya tak tahu nak tulis topik apa *HeHe*. Apa yang saya maksudkan di sini ialah jangan suka bertangguh. Dulu, saya selalu kena marah dengan mak sebab suka bertangguh buat kerja. Mak pun pantang anak dia buat sepah. Sekarang, baru faham kenapa. Contoh, jangan bertangguh lipat baju lepas angkat. Jangan bertangguh menyapu bilik, kemas katil atau basuh pinggan dan cawan. Cepat-cepat kemas meja studi yang tunggang langgang buat assignment punya pasal lepas selesai. Sebab apa? Sebab kita tak tahu sama ada beberapa minit, atau jam akan datang kita masih ada masa atau tidak ataupun kita masih ingat atau sudah lupa. 

D) Belajar 

Saya ada dua benda yang kena fokus sekarang. Kata orang, kita tak boleh fokus kepada dua kerja dalam satu masa. Jadi, bila belajar kita belajar sepenuh jiwa dan minda sampai nak muntah. *HiHi* Tapi bila kerja jangan cuba-cuba nak buka buku studi sebab takut gaji tak berkat. Masa kerja adalah masa kita buat task kita sungguh-sungguh. Lepas habis je masa kerja, sudah-sudahlah fikir sampai benda lain terabai.

Jangan ikut tips ini kalau rasa mudarat.

Astaghfirullah, doakan agar saya istiqamah dan didoakan untuk pembaca agar memiliki hidup yang berkat! Amin. 

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan 
sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; 
padahal kamu semua membaca Kitab Allah, 
tidakkah kamu berakal.
(Al-Baqarah:44)


Share:

15 January 2014

Jalan Cinta Para Pejuang


Jika kita menghijrahkan cinta; dari kata benda menjadi kata kerja

Maka tersusunlah sebuah kalimat peradaban dalam paragraf sejarah

Jika kita menghijrahkan cinta; dari jatuh cinta menuju bangun cinta

Maka cinta menjadi sebuah istana; tinggi menggapai surga

Begitulah hakikat cinta sejati, 

Ketika semua rasa termuarakan padaNya,

Maka semuanya pula akan indah pada waktunya

dengan kehalalan adanya.
 Salim A.Fillah
Jalan Cinta Para Pejuang,
Share:

09 January 2014

Aura Pencetus Ummah


Alhamdulillah, program ‘Pencetus Ummah’ nampaknya berjaya sedikit sebanyak mencetus kebangkitan ummah.
Ada yang mencuri tumpuan saya dalam rancangan tersebut. Setiap jawapan PU ketika sesi soal jawab saya dengar dengan teliti dan terimbau kenangan lampau sewaktu berpraktikal.
“Enti tak boleh jawab macamni. Enti kena tahu kaedah menjawab soalan berbentuk hukum”
Tegur ustaz Zaharuddin setelah meneliti jawapan persoalan hukum yang saya tuliskan sebagai tugasan dari beliau.
Pandangan saya sendiri, menguasai kaedah menjawab persoalan hukum itu sangat penting khususnya pelajar dari bidang agama. Selain mengelakkan kita dari dosa yang berlanjutan, masyarakat harus benar-benar memahami jawapan yang kita berikan.
Saya highlight kan 3 poin yang diambil dari web zaharuddin.net. (ada tambahan dan ubahsuai ayat sedikit mengikut situasi saya).
1)       Keperluan Proses Tarjih (ترجيح)
Saya baru nampak kepentingan belajar subjek ‘Ta’arudh wa At-Tarjih’ ketika degree. Saya selalu diberi persoalan yang jawapannya banyak khilaf. Akhirnya, saya hanya mampu menyimpulkan :”Banyak khilaf ni”. Orang yang bertanya bingung dan memaksa mereka membuat keputusan sendiri. Ia seperti memberi individu yang tidak berkelayakan untuk melakukan tarjih tanpa ilmu. Kita sepatutnya  memandu mereka kepada pilihan yang terbaik menurut ilmu yang kita ada, mengikut apa yang dirajihkan para ulama’ bagi yang masih cetek ilmu seperti saya.
Ulama berbeza ijtihad dalam menentukan hukum beramal dengan yang rajih kepada dua kumpulan namun majoriti mazhab berpendapat beramal dengan yang rajih serta meninggal pendapat marjuh adalah WAJIB. Malah terdapat Ijma’ di kalangan para ulama Usul fiqh (Nihayatul Sul, 3/212 ; Al-Mahsul, Al-Razi, 2/529 ; Kasyf al-Asrar, 4/76).
2)      Jangan tergesa-gesa
Jangan kita terburu-buru memberi pandangan yang dinisbahkan kepada hukum Islam jika belum dirujuk terlebih dahulu kepada kitab-kitab yang sesuai atau pandangan ulama yang ahlinya.
Ramai pendakwah yang apabila popular, tergelincir dalam memberi pandangan yang sama ada salah atau kurang tepat kepada soalan yang dikemukakan. Sebahagian mungkin memaksa diri untuk memberi jawapan kerana bimbang akan dipandang kurang berilmu lantaran kegagalan memberikan jawapan segera. Ibn Umar r.a berkata :
العلم ثلاثة كتاب ناطق وسنة ماضية ولا أدري
Ertinya : Ilmu itu ada tiga bahagian, Kitab AL-Quran yang berkata, Sunnah Nabi yang lalu dan aku tidak tahu. (Riwayat At-Tabrani dalam al-Aswat; Rujuk Majma’ Al-Zawaid)
Sangat baik lagi amanah seorang ilmuwan dan pendakwah menangguhkan jawapan terlebih dahulu agar mampu membuat kajian sebaiknya sebelum memberi respons. Dan salah satu jawapan apabila kita belum bersedia adalah ‘aku tidak tahu’.
3)      Lihat Kepada Audiens Dan Kesediaan Ilmu Masyarakat
Seseorang penyelidik, ilmuwan dan pendakwah perlulah mengkaji keadaan masyarakat, turun dan melihat sendiri kedaan mereka, menyedari taraf keilmuan mereka dan menyampaikan ilmu kepada mereka menurut laras bahasa yang mampu difahami oleh majoriti mereka. Membicarakan hal yang belum mampu difahami sebelum sampai masanya, kelak nanti menjadi fitnah kepada Islam dan masyarakat. Justeru proses beransur atau tadarruj itu sangat perlu difahami oleh ilmuwan.
Saya masih ingat kata ustaz: ‘Kepada penuntut ilmu bidang agama rasanya tak complete kalau kalian tak pergi sendiri ke tempat turunnya ayat Al-Quran, melihat sendiri bagaimana suasana dan masyarakat di sana.’ Dan saya mula menyimpan niat ke negara-negara Arab.
Kesimpulannya, kita bukan sempurna untuk sentiasa betul. Namun, pembetulan sentiasa diperlukan apabila kesilapan berlaku. Oleh sebab itu, berterusan membaiki diri dan tanpa jemu menuntut ilmu itu sangat penting.
Sematkan erat-erat kata Abu bakar as Siddiq:
“Adakah agama menjadi lemah sedangkan aku masih hidup?”
Mohon maaf salah silap. Perkongsian ini adalah peringatan untuk saya dan semoga bermanfaat untuk semua.
Share:

20 December 2013

Mak, Ammar nak jadi apa sebenarnya?


“Menghidupkan kembali agama bererti menghidupkan suatu bangsa. Hidupnya agama bererti cahaya kehidupan.” (Badiuzzaman Said Nursi)
Ketika Ammar diberi pilihan antara berjuang di Syria dan sambung menuntut ilmu. Ammar akhirnya memilih menuntut ilmu.
Di hari pertama beliau ingin mengajar Risalah An Nur tulisan said Badiuzzaman an Nursi,
Beliau dipanggil Allah.
Aku kira beliau syahid, walaupun bukan sebagai pejuang di medan perang tapi di medan mengajar ilmu Allah.
"Mak, Ammar nak jadi apa sebenarnya nanti?" Puan Azlina sendiri tak tahu jawapan.
Allah telah merancang segala-galanya. Ammar telah jadi as Syahid.
“Dan orang-orang yang gugur di jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka. Allah akan memberi pimpinan kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenankan-Nya kepada mereka.” (Muhammad: 4-6).
Bidadari pasti tersenyum menjemputmu.
Tulisan ini buat generasi, agar kisah ini tidak mati.
Share:

15 August 2012

School; where everything begins...


Bismillah...


Untuk post kali ni, special untuk menceritakan dan mengembalikan memori saya di zaman sekolah. Bila saya pergi iftar alumni di ITEM hari Sabtu lepas, baru saya perasan hampir 40% memori saya di sekolah telah hilang! No wonderlah kan sebab almost 5 years saya tak melawat sekolah...huh~ (alumni yang teruk)


Saya percaya setiap sekolah punyai kelebihan tersendiri. Tak kira kita di sekolah apa, kita pasti punya kisah tersendiri. Suka, duka, semuanya untuk kita ambil pengajaran. Belajar dan terus belajar dalam hidup...

Nampak tak bulat kuning kat atas tuh? Itulah lencana sekolah saya; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh. Dulu saya sangat malu dengan lencana sekolah saya, sebab ...macam telur. Tapi, sekarang saya dah bangga. heh

Takdir Allah; dulu saya nak tolak tawaran sekolah tu. Alasan; JAUH. Then, minta abah apply Sekolah Agama Tok Jiring kat Kuala Terengganu, tapi, abah cakap dah tak boleh. Sedih tak terkata. Risau, tak dapat nak ambil subjek Bahasa Arab. Yelah, takde pun tertulis sekolah AGAMA kat situ... huhu

Siapa sangka, sekolah ni banyak merubah hidup saya....

5 tahun saya belajar Bahasa Arab di sini, campur Bahasa Jepun. Oklah tu. Alhamdulillah... 



Nah...yang kiri tu kelas saya waktu form 5. Tertinggi. 5 Smart. Kelas yang sangat ramai budak pandai dan saya sangat kagum dengan mereka. Saya? Oh, saya budak biasa2 je...

Yang kanan tu dorm saya. Tertinggi. Kami ada 6 rumah sukan dan saya di rumah purple. Pelik kan? Tapi, itulah hakikatnya. Sampai sekarang, saya rasa bertuah. 5 tahun saya di ITEM, saya dapat dorm di tingkat teratas, sampailah saya di tamhidi USIM dan tahun 1. Sekarang, di rumah sewa, bilik saya pun di tingkat atas. Jangan jeles! hihi



Inilah gambar adik2 junior sedang riadhah di waktu petang Ramadhan. Kami sangat dipupuk semangat berpasukan melalui rumah sukan. Yang baju purple tu lah pewaris saya hahah..

Ops, ini lah namanya Dataran Uhud. Tempat kami kena berkumpul waktu perhimpunan pagi dan selesai prep malam. Tempat ni kadang2 boleh buat jantung berhenti. Sebab ketakutan. Nama2 yang buat silap akan dipanggil kat sini termasuk kesalahan disiplin dan nasihat2 dari warden dan guru2. Tempat ni pun kadang2 boleh buat saya tersenyum, sebab banyak sebenarnya yang menarik dan happy berlaku kat sini...hihih (sengih sorang2)


Inilah surau sekolah kami, takde lah besar sangat pun sebab student tak ramai sangat.. Surau ni lah tempat saya rehat2 waktu dah penat belajar. Itu yang sampai boleh tertidur tengah2 solat.. heh, dah jadi normal matter dah... Surau ni jugak tempat mengisi rohani; dengan tazkirah, alunan Al-Quran, zikir dan nasyid (sambil gotong-royong sambil nyanyi2 nasyid..hehe) yang memeriahkan suasana asrama dan pagi weekend. 



Next, ini bilik BADAR. Badan Dakwah dan Rohani kat sekolah. Inilah bilik meeting kami dan bilik kami rehat2.. dulu, ada komputer. Sekarang, dah takde pulak. Haishhh takkan dulu lagi maju dari sekarang kowt! ^^  sebelah, dewan makan kami aka DEMA. Inilah antara tempat feveret saya.. tempat yang saya terkejar2 nak pergi waktu lunch..hihi~

Terima kasih Allah, kerana menetapkan saya di sini. Terima kasih Allah, sebab kurniakan saya guru2 dan kawan2 yang baik. Terima kasih Allah, sebab makbulkan harapan saya nak sambungkan kembali silaturahim di Ramadhan ini. Akhirnya, dapat saya berpijak di tanah SBPIT setelah bertahun saya meninggalkannya. Mana mungkin boleh saya lupa, di sinilah titik permulaan pembinaan seorang saya.


Taraa....!! best jalan2 dengan kawan2 lama. Ni antara buah tangan saya dapat dari Jepun dan Mesir..Sori, dari UK saya dah letak kat dapur, hehe~ Terima kasih, sebab setia jadi sahabat saya. T_T

Pertemuan dan perpisahan itu adalah pasti. Yang belum pasti, adalah pertemuan untuk kesekian kalinya. Itulah antara asbab kita harus menghargai detik2 pertemuan yang sebentar cuma. 

Ini hanyalah contengan kembara seorang insan. Kita akan terus mengembara bilamana kita bergelar manusia sampailah kita kembali kepadaNya. Kisah hidup yang pernah berlaku dalam hidup kita, takkan berlaku dengan sia2. Renungkan kembali, mungkin kita akan temui hikmah2 yang dulunya tak pernah terlihat di mata luaran mahupun mata hati.




Catatan Ramadhan BidadariQalby-
Ramadhan itu kian berakhir,
Ingat, kita hamba Allah bukan hamba Ramadhan....



Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories