"Everyday is a brand new start"

19 August 2016

Bila Nak kahwin?

Bismillah..

BILA NAK KAHWIN?


Siapa tak jealous.


Di facebook, bukan gambar majlis kahwin dah yang banyak, tapi majlis akikah. Kawan-kawan sebaya dah ada suami dan anak masing-masing. Gurau sahabat saya, “anak depa sudah berlari-lari, kita ada anak semut ja.” 

Dulu memang saya kisah. Zaman baru nak “up”.

Siapa tak nak kahwin.. ada keluarga sendiri.

Tapi setelah tahun berganti tahun. Persekitaran dan orang sekeliling pun berganti. Saya jadi semakin mengerti. Tiada siapa dapat menolak atau memaksa takdir Ilahi. 

Keinginan untuk kahwin yang teramat, istilahnya “peak time” mungkin sudah beransur-ansur normal kini.

Bukanlah sampai tiada rasa nak berkahwin. Jangan salah faham.

Allah mahu saya belajar mengenali diri sendiri sepanjang tempoh ujian ini. Saya belajar untuk mencari potensi diri dan kelemahan untuk diperbaiki. Berani saya katakan, semakin dewasa saya semakin jujur melihat diri sendiri. Terlalu banyak kekurangannya dan sangat tidak sempurna. 

Justeru, seperti kata faridzul, ‘just go with the flow’. Kita mungkin lupa, bahawa apa yang kita ada dan hadapi sekarang, itulah takdir Allah yang terbaik untuk kita. 

Bila kawan suruh doakan dipermudahkan jodoh, saya tanya, “nak saya doakan dapat jodoh terbaik ke spesifikkan nama?”

Allah knows the best. Sampailah umur yang sudah mencapai angka 26 ini, saya hanya dapat rumuskan satu hal dalam urusan jodoh, “Hanya Allah tahu yang terbaik”. 

Kita tak pernah tahu. Orang lain pun takkan tahu. Semua dalam pengetahuan Dia yang maha tahu. Siapalah kita yang serba lemah ini untuk mengatakan lebih tahu. Dari mata zahir, mungkin kita melihat segala kehebatan dan kebaikan seseorang, tapi siapa yang dapat menjangkakan di masa hadapan. Oh, saya bukan menakut-nakutkan kalian untuk berkahwin.

Bila dengar kata pepatah, “don’t judge book by its cover”, saya mengangguk. Dan saya sambung, because only Allah knows what is inside; past, now and forever. Kita patut yakin hanya pada Allah. Berharap yang baik hanya dari Allah.

Ramai orang salah anggap bahawa perkahwinan ibarat sebuah kotak yang cantik dan sempurna. Wrong. Marriage is an empty box. Kita lah yang perlu mencantikkan kotak itu.

A couple must learn the art, and form the habit of giving, loving, serving, praising sampai rumahtangga tu penuh dengan hal yang cantik-cantik. Kalaupun ditimpa ujian, akhlak pasangan tetap indah dan cantik.

Kalau kita mengharap lebih banyak dari memberi, kotak tu akan terus kosong.


Adakah kita sudah bersedia memberi tanpa syarat, be the person who serves the other better?
Adakah kita sudah berjaya runtuhkan keegoan yang ada dalam diri kita? Mengakui kesilapan kita? 
Adakah kita sudah bersiap memahami pasangan lawan jenis yang sangat berbeza dari kita?  
Mungkin, ini antara jawapan untuk pertanyaan kenapa Allah belum beri jodoh pada kita. Betul, mungkin juga sebab kita belum mampu dari segi kewangan atau lain-lain. Tapi mengakuilah bahawa kita memang bertuah sebab Allah beri lebih masa untuk perbaiki diri jadi lebih baik, lebih masa bersama ibu ayah, teman-teman, majlis ilmu dan merancang masa depan. There's still a lot that we need to work on. Bahkan, Allah beri ruang lebih banyak untuk mendekatkan diri pada-Nya.

Bukankah itu sudah cukup untuk mendorong kita menyebut, “alhamdulillah”?

Jangan menjadi orang yang menyesal. Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Time is too precious to waste. Untuk kita terlalu banyak memikirkan tentang jodoh tanpa melakukan yang terbaik untuk hidup yang cuma sekali ini.

Kematian atau jodoh yang menjemput dulu, we never know.

Jadi bila nak kahwin? 

It is easier said than done. InshaAllah, bila tepat masanya yang ke’tepat’annya hanya Allah yang tahu, bukan saya, bukan anda atau sesiapa. Saya percaya, sesuatu akan indah pada waktunya. 

Jodoh itu pasti ada, dan sedang berjalan menuju kita.

“Hidup itu seperti mendaki gunung. Ada tiga hal yang harus kita fahami dalam melangkah: pijakan yang tepat, pegangan yang kuat, dan genggaman yang erat—dari tangan terdekat. Yang terakhir wajib kita miliki. Sebab dalam mengharungi belantara kehidupan, kita tak boleh sendiri.” (herrycahyadi)



Dear you, 

Let’s grow up together. 

Jom menua bersama.

Till Jannah.

Amin.

Share:

10 June 2016

Ramadhan Tiba Lagi!



Bismillah..

6 Ramadhan 1437 H

Sungguh cepat masa berlalu. Esok sudah genap seminggu Ramadhan.

Ramadhan kali ini memang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Dua kali pengalaman Ramadhan di UIA cukup indah dan menjadi memori yang akan dikenangkan. Rasa rindu tetap ada. Setiap kali Ramadhan tiba, sambutannya luar biasa meriah di UIA. Mungkin juga kerana kebanyakan pelajar melayu cuti dan yang berbaki hanya pelajar luar negara. Itulah sebabnya suasana Ramadhan UIA persis di Mekah! (Doakan saya direzekikan ke sana)

Alhamdulillah...berbeza di masjid lain, kepenatan itu kurang ketika bertarawih di UIA walaupun bacaannya 1 muka al-Quran satu rakaat dan 1 juz 1 malam. Bacaan imam sememangnya tak menghampakan dengan taranum, tajwid dan fasohah. Mengagumkan! Selalu saja nadanya berubah mengikut makna ayat sehingga membuatkan jemaah mengalirkan air mata. Allah..

Masjid UIA menyediakan iftar percuma setiap hari pada bulan Ramadhan. Sering juga saya berbuka di masjid terutamanya di 10 akhir Ramadhan. Suasananya paling hangat di 10 hari terakhir. Sementara menunggu berbuka, ramai yang bertilawah dan menadah tangan berdoa sungguh-sungguh pada Allah. Malu rasanya berada di kalangan mereka.

Ramadhan 2016 saya di Nilai, dengan suasana dan kesibukan yang baru. Sebagai seorang yang sudah bekerja, jadual di bulan Ramadhan harus disusun berhati-hati. Kesibukan apapun, jangan sampai menjadi orang yang rugi.

Setelah beberapa tahun tinggal di asrama, kali ini saya beralih menyewa apartment. Cara sambutan Ramadhan di sini ialah mengemas dan membersihkan seluruh rumah. Masya Allah seronok benar rasanya. Lagi-lagi bila kita berniat untuk menyambut kedatangan Ramadhan. 

Banyak surau di kawasan perumahan Nilai yang melaksanakan solat tarawih berjemaah. Saya beralih dari surau ke masjid, masjid ke surau lain pula setiap malam untuk merasai suasana berbeza. Tak salah bukan! Mungkin saya belum temui suasana seperti di masjid UIA di sini, namun inilah realiti. Keluarnya dari universiti, kita akan merasai hidup bermasyarakat dan menilai diri kita sendiri.

Syukur, Ramadhan di sini tak kurang seronoknya. Apa yang lebih penting ialah diri kita sebenarnya. Sejauh mana kita telah berubah menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. Kita sedang bertanding dengan diri sendiri. Apakah kita sudah berusaha sehabis baik untuk menjadikan Ramadhan tahun ini yang terbaik? 

Mungkin amal kita tak sehebat orang lain. Kita masih kurang tilawah dan tadabbur al-Quran. Masih kikir dan sedikit sedekahnya. Terkadang mungkin kita antara yang terjatuh dalam godaan hawa nafsu. Mungkin juga kita antara yang menjadikan tidur sebagai keutamaan untuk menghilangkan rasa lapar. Lalu kita merasakan Ramadhan kali ini kita antara yang gagal.

Beristighfarlah, Allah itu maha luas rahmatNya. Bukankah bulan ini penuh rahmat dan maghfirah. Kita masih ada kesempatan dan peluang untuk benar-benar menikmati dan menghidupkan Ramadhan. Itulah nasihat untuk diri sendiri yang sering rasa berputus asa dalam mempersembahkan yang terbaik untuk Allah. Kita memang tak sempurna, sebab itu antara doa yang wajib dimunajatkan di sepanjang Ramadhan adalah "istiqamah".

Bagi saya, Ramadhan yang Allah beri adalah satu nikmat terbesar. Di dalamnya begitu banyak kebaikan yang dilimpahkan. Malah doa-doa sangat mustajab di bulan ini. Nikmat kelapangan masa dan tanggungjawab yang belum besar memberi ruang diri ini untuk bermanja-manja lebih lama dengan Allah. Berdoalah lama-lama, tilawahlah lama-lama dan tadabbur ayat-ayatNya. Jangan biarkan kesempatan ini berakhir begitu sahaja. 

Mungkin ini Ramadhan terakhir kita. Mungkin ini Ramadhan yang diberi nikmat kelapangan masa oleh Allah untuk kita. DiberiNya peluang mengerjakan lebih banyak amal ibadah. Belum tentu di Ramadhan akan datang. 

Ya Allah, jadikanlah puasa kami puasa yang mencapai taqwa. Kurniakan kami keutamaan lailatul qadr. Jadikan ramadhan ini bagi kami lebih baik dari sebelumnya.

Terimalah amalan kami. Jangan biarkan kami termasuk orang-orang yang rugi.

Terima kasih Allah atas nikmat Ramadhan ini. 

Terima kasih atas kesempatan yang kau hadiahkan ini.

Ya Allah, kami rasa bertuah.


8.00 am.
11 jun 2016.
Apartment Anggerik bandar Baru Nilai.










Share:

28 April 2016

Inspirasi Yang Hilang




Bismillah..

Alhamdulillah, akhirnya saya punya ruang menulis sesuatu tentang arwah yang sangat saya kagumi. Anak-anak arwah iaitu sepupu-sepupu saya banyak berkongsi di dada facebook tentang abah mereka. Di ruangan ini, izinkan saya mencatat sesuatu yang saya saksikan dari arwah bapa saudara saya sepanjang hidup beliau yang menjadikan beliau antara inspirasi terbesar dalam hidup saya sejak kecil. Semoga dengan ini, kenangan bersama beliau terus menjadi semangat untuk memburu kehidupan yang diredhaiNya.

Tepat jam 4.20 pagi pada 26 April 2016, Ustaz Datuk Dr Mohd Ali Baharum telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang dan dikebumikan di tanah perkuburan Sg. Tangkas. 2 hari sebelumnya, Ayah De dimasukkan ke hospital dan saya difahamkan jantung beliau sempat berhenti selama 17 minit. Entah kenapa ada rasa tidak sedap hati kali ini. Saya berniat untuk menziarahi Ayah De bersama adik di hospital pada hari selasa. Ya, saya memang menziarahi beliau tapi bukan di hospital. Jam 5.20 pagi saya mendapat khabar di whatsapp famili, bahawa Ayah De telah pergi untuk selama-lamanya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun….
Dari ALLAH kita datang
KepadaNya kita pasti pulang


Satu demi satu kenangan bersama Ayah De terlintas di fikiran saya bagai sebuah filem yang dimainkan semula bermula dari kecil sehingga dewasa. Seorang pejuang yang menjadi inspirasi hidup saya telah pergi dan tidak akan kembali lagi. Seorang bapa saudara yang selalu tersenyum menyambut ketibaan kami di teratak indah beliau. Sambutan Ayah De kepada tetamu selalu luar biasa meskipun dalam keletihan dan kesibukan.

Perginya Ayah De di waktu tahajud beliau. Ayah De seorang yang mendawamkan qiamullail. Justeru itu kata-kata yang keluar di bibirnya seperti cahaya. Masa-masa makan bersama pasti tak kosong dari nasihat dan cerita-cerita beliau yang dapat dijadikan pengajaran. Ayah De itu orang besar, tinggi pangkatnya, namun rendah dirinya kepada tak kira siapa.

Di hujung usia tuanya, saya mengintai-intai perlakuan beliau. Beliau memang selalu ke masjid. Suatu waktu, saya lihat seseorang sendirian di meja yang penuh dengan kitab Arab. Oh, itu Ayah De. Beliau sedang menyalin nota Bahasa Arab. Di usia begini? Bukankah beliau memang pakar Bahasa Arab? Malunya saya. Katanya untuk memahami kitab tafsir, subhanallah. Saya meringankan mulut menyembang. Ah, sudah.. Ayah De ajak berbual dalam Bahasa Arab. Ayah De pesan cakap je, jangan takut salah. Alhamdulillah, laju pula saya berbual dengan beliau dalam Bahasa Arab. Sesekali beliau meminta diperbetulkan, dan kadang-kadang ayat saya dibaiki beliau.



Ayah De memang rajin membaca. Lihat sahaja di rumah beliau, ada satu bilik khas yang menyimpan buku-buku dan kitab. Sifat cinta ilmu beliau sangat saya kagumi sejak kecil. Dari beliau, saya menyimpan hasrat mewujudkan perpustakaan di rumah sendiri nanti. Bila orang membaca buku-buku kita, kita sekali mendapat saham akhiratnya.


Teringat kenangan ketika kecil, saya sedikit gerun kepada beliau. Ayah De bukan orang yang suka marah-marah apalagi panas baran, itu jauh sekali. Kata-katanya selalu lembut tetapi ada ketegasan terutamanya bila tiba waktu solat. Pasti kami disuruhnya solat berjemaah dan berhenti bermain. Atas sebab itu, saya selalu lari kalau nampak Ayah De. Bukan tak nak solat tapi kecut perut. Sampailah satu ketika, kami sepupu sepapat sedang bermain kad, tiba-tiba Ayah De muncul minta izin main sekali. Riuh kami bermain dan sejak itu saya tak lagi takut- takut dengan Ayah De.

Catatan ini hanya sebahagian kisah, semoga juga dapat menjadi inspirasi untuk kalian.

Ayah De telah pergi jauh. Syukur saya sempat melihat wajah tenang beliau kali terakhir sebelum dikafankan. Ramai yang menangisi kematian beliau. Langit juga begitu. Hati saya juga begitu. Saya kehilangan salah seorang inspirasi, seorang yang menasihatkan saya mencintai ilmu sampai hujung usia, seorang yang mengajar saya bagaimana membina keluarga yang diredhai-Nya, seorang yang mendidik hati saya untuk merendah diri kepada sesiapa sahaja, seorang yang tak lelah memberi nasihat berharga dan menghadirkan kegembiraan untuk begitu ramai manusia. Beliau telah selesai menanam di dunia, insyaAllah semoga Ayah De kini berada di syurga, dekat dengan kekasihnya.


Amin Ya Rabb.

Bila Tiba Saat Berganti Dunia
Alam Yang Sangat Jauh Berbeda
Siapkah Kita Menjawab Semua
Pertanyaan

Share:

02 March 2016

Rindu Cikgu Zu



Dengan lafaz salam aku masuk ke tempat itu. Tempat yang menyimpan berbagai kenangan suka dan duka.

Awalnya, aku rasa tak kuat berdepan dengan anak-anak syurga itu. Namun, aku gagahkan jua diri untuk tersenyum paling indah di hadapan mereka. 

Aku yakin suaraku bergetar dan aku memang tak boleh berucap lama. Saat itu, aku cuma berharap air mata ini tak jatuh di hadapan wajah-wajah kesayanganku.

"Cikgu akan balik kampung, tak akan mengajar di sini lagi. Cikgu harap semua anak murid cikgu tak tinggal solat, rajin belajar, taat mak ayah.." 

Cukuplah, tak mampu lagi nak berkata. Satu persatu menyalami tanganku dan pipi gebu mereka kucium. Allah.. sungguh aku sangat menyayangi mereka!

"Cikgu Zu, janganlah pergi.." Ah, itu suara pelajar yang paling suka bermanja denganku sejak hari pertama sekolah. Suka benar dia mengusikku. Hari itu dia menangis merayu.

Dan itulah kali terakhir aku menatap wajah-wajah kesayanganku. Wajah yang selalu mengubat kedukaan hatiku. Benarlah, anak-anak kecil itu penyejuk mata, penawar di hati.

Aku tak mampu memandang ke belakang lagi. Tanpa menghiraukan rayuan mereka aku terus pergi tanpa berkata sepatah pun. Kejamnya Cikgu Zu!

******************************************************************

Teruntuk anak-anak didik Cikgu Zu,

Cikgu sangat rindukan kalian.

Sehari tak berjumpa kalian bagaikan setahun. Mana tidaknya, hampir setiap hari kita bersama-sama solat, belajar, makan, menyanyi dan qailulah. Bahkan sempat cikgu mandikan dan rapikan kalian. Dari kalian, cikgu belajar banyak perkara. 

Kalian selalu buat cikgu tersenyum ketika cikgu marah. Kalian buat cikgu ketawa ketika keletihan yang amat. Keletah kalian, senyuman kalian, buat hati ini begitu berat meninggalkan tempat itu.

Sesudah cikgu pergi, cikgu gembira mendapat tahu, jika ada yang rindukan cikgu, surah al fatihah akan dihadiahkan untuk cikgu. Malah, ada yang baca beberapa kali al fatihah dalam sehari untuk cikgu.

Cikgu bertambah sayu bila ada yang tertanya-tanya, bila cikgu nak balik ke sana lagi. Kenapa cikgu terlalu lama di kampung. 

Kalian masih terlalu kecil untuk memahami. Cikgu berharap kita akan saling mengenali, walau mungkin akan bertemu puluhan tahun lagi ataupun mungkin di syurga nanti, biiznillah.


Perancangan Allah itu jauh lebih baik dari perancangan manusia. Tahukah kalian, sejak sebelum bertemu kalian, cikgu berhasrat mendidik kalian menjadi hafidz yang mencintai Al-Quran. Sayang sekali, cikgu tak dapat bersama mewujudkan impian ini, tapi doa itu akan selalu ada, inshaAllah.

Perginya cikgu bukan kerana kalian. Cikgu terlalu lemah menghadapi ujian. Tak sekuat yang kalian lihat. Hati ini terlalu rapuh kerana iman yang terlalu nipis untuk bertahan. Cikgu pergi untuk mencari kekuatan yang hilang.

Semoga Allah terus menjaga kalian, kesayangan cikgu.

If you complain about sadness resides within your heart

You can wipe it away by putting a smile on child's face

Yang benar,
Cikgu Zu


Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories