"Everyday is a brand new start"

31 January 2014

Anak-anak Cerminan Kita

Ibn Qayyim berkata:
Yang sangat diperlukan wahai ibu ayah oleh anak-anak kamu adalah perhatian terhadap akhlak. Mereka akan tumbuh melalui apa yg dibiasakan pendidiknya ketika kecil.
Bekas rektor Universiti Al Azhar berkata:
Anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah yg murni dan perangai yang lurus, jika jiwanya yang masih suci itu menerima apapun bentuk perangai yang dipahat pada dirinya, selanjutnya pahatan itu akan terus meluas sedikit demi sedikit hingga akhirnya ia meliputi jiwa dan menjadi tabiat yg melekat padanya, ia akan menentang segala yang berlawanan dengan tabiat yang didapati dalam rumahtangga.
Hadis Nabi saw bermaksud:
"Tidaklah seseorang ayah ibu memberikan hadiah kepada anaknya yang lebih utama dan lebih baik daripada adab yang baik."
Tsana (anakanda Hasan al Banna) berkata: kami tidak pernah merasakan adanya beban kegiatan yang dirasakan ayah selama di rumah. Misalnya saja kami tidak melihatnya seperti orang yang kerap berteriak atau bersuara keras di dalam rumah.
Katanya lagi : Subhanallah, setelah aku berkeluarga, maka ayahkulah contoh sangat baik dalam hal pengorbanan.
(Dipetik dari buku ‘Cinta di rumah Hasan al Banna’)
Anak-anak adalah cerminan diri kita.
Ada baiknya bagi kita yang belum berkahwin dan belum memiliki anak-anak mempersiapkan diri dengan memperbetulkan adab dan akhlak.
#Catatan ini khusus untuk peringatan diri sendiri
Share:

29 January 2014

EXIT; Alhamdulillah,,,,

Ahlan wasahlan to IRK !
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Rasa bahagia ini sukar untuk digambarkan. Rasa syukur. Sebak di dada mengenangkan kasih sayang Allah dan rahmatNya.
Berada di CELPAD 1 sem sangat bermakna. Percayalah, apabila kita berniat untuk memaknakan sesuatu, inshaAllah Allah akan membantu dengan caraNya. Di CELPAD, saya memiliki teman-teman baru yang baik dari pelbagai negara. Saya dapat belajar bahasa dan di sini saya sedar, betapa pentingnya penguasaan bahasa. Lebih penting, saya dapat sama-sama merasai perasaan teman-teman yang berada di CELPAD. Apalagi mereka yang hampir 4 sem di situ. 
Hanya orang yang melalui, akan benar-benar merasai. Dan, Allah mentakdirkan saya singgah di CELPAD ada hikmahNya. Saya yakin tak pernah sia-sia.
Saya ingin berkongsi pengalaman ini, buat mereka yang sudi. InshaAllah. Pengalaman berjuang dengan perasaan putus asa dan takut, hanya Allah yang Tahu.
Surah Fussilat ayat 30 dan Al-Baqarah ayat 214-216 menjadi penguat semangat yang hampir hilang. Jangan pernah bersangka buruk dengan Allah. Yakin, berusaha sungguh-sungguh dan tawakkal inshaAllah Allah akn beri yang terbaik.
Sesungguhnya haza min fadhli rabbi. Tiada kekuatan melainkan dari Allah. Tiada kejayaan melainkan kerana rahmat Allah. Apalah sangat dengan usaha kita yang secebis cuma.
Sekali lagi, yakinlah pada Allah. Rahmat Allah itu sangat luas. Dan doa, senjata utama kejayaan. 
Doakan saya untuk berjuang sebagai Pelajar Master Usul Fiqh IRK IIUM Gombak. Semoga Allah meredhai perjuangan ini.
*Sedang memikirkan subjek*
Rabbuna yusahhil.
Share:

24 January 2014

Wanita Akhir Zaman

Pengalaman adalah hadiah berharga dari Allah!
Dunia kini, kita punya nama-nama besar dari kaum wanita. Ada yang disukai kerana fesyen, suara, lifestyle, kecantikan, kekayaan, kepandaian dan sebagainya. 
Cukuplah bagiku 2 wanita di atas yang kujadikan role model untuk kehidupanku sebagai muslimah. Mungkin bagi orang lain, mereka bukanlah sesempurna wanita srikandi Islam. Tak dinafikan juga, selain dari 2 wanita ini, ada ramai lagi wanita-wanita hebat di luar sana zaman ini.
Di saat kesukaran mencari wanita zaman ini yang dapat dijadikan contoh, Allah menunjukkan mereka. Pada struggle nya mereka menjadi wanita solehah akhir zaman, pada struggle nya mereka mendidik anak-anak di waktu kesibukan. Justeru, 2 wanita ini dirasakan dekat denganku. Kata-kata mereka cukup menyentuh hati ini. Luar biasa. Mereka juga punya kisah silam yang pahit, namun cukuplah kisah-kisah itu menjadi pengajaran dan sebagai tarbiyah dari Allah.
"Kak Wardina kena cepat tau, lepas program kak Wardina kena balik rumah terus. Nanti Imran terjaga sebelum akak balik"
"Ustazah nak cepat. Lepas program, ustazah nak balik. Nak luangkan masa untuk keluarga pula"
Nah, di situ aku tahu di mana letaknya kunci kejayaan mereka. Pada keluarga. Benarlah apa yang dikatakan, rumahku syurgaku. Sepopular dan sehebat manapun, keluarga tetap menjadi keutamaan. Kerana itulah fitrah seorang wanita.
Action speaks louder than words. Dakwah bil hal yang dilaksanakan sepertimana Rasulullah saw benar-benar memberi impak besar di hati masyarakat. Dan, kerja dakwah itu jugalah yang membantu mereka istiqamah, kerana sesungguhnya setiap kata-kata adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat.
Kata-kata Umar Al-Khattab masih terngiang-ngiang; ‘wanita merupakan khazanah yang hebat, dalam dunia Islam’. 
Ustazah Norhafizah, Kak Wardina, dan diriku sendiri adalah wanita akhir zaman yang sedang berusaha menjadi solehah. Sesungguhnya tak mudah, kerana wanita adalah sumber fitnah. Banyak sekali ancaman, godaan dunia yang boleh mengaburi keindahan syurga.
Di situlah aku yakin, bahawa Ihfazillah yahfazka. Jagalah setiap perintah Allah, maka Allah akan menjagamu.
Semoga kita sama-sama menjadi wanita solehah.
Share:

21 January 2014

Learn and Think


Sayyid Qutb ungkapkan di muqaddimah Tafsirnya, “kemanisan hidup di bawah lembayung al-Quran, tidak dapat diketahui rasanya melainkan oleh orang yang menjamahnya”
Persoalan yang ditimbulkan Ustaz Hasrizal:
Mampukah anda yang membaca Tafsir fi Zilal al-Quran merasai apa yang dirasai oleh Sayyid Qutb, jika pembacaan kita terhadap gagasannya hanya berupa sebuah hafalan. Kehebatan kita pula ditonjolkan hanya pada keupayaan kita menaqalkan sebanyak mungkin ungkapan-ungkapan manusia hebat itu.
Saya ingin menaqalkan status dari seorang sahabat;
Tidak ada apa yang perlu kita banggakan pada ilmu yang secebis cuma pada diri kita. Kata Imam Fakhr al-Din al-Razi (543 H/1148 M) 


وَلَمْ نَسْتَفِدْ مِنْ بَحْثِنَا طُولَ عُمْرِنَا سِوَى اَنْ جَمَعْنَا فِيهِ قِيلَ وَقَالُوا
Tiada apa yang kita peroleh daripada pengajian sepanjang usia kita kecuali kita menghimpunkan “Kata beliau..” dan “Kata mereka…”

Betul, tidak ada apa yang perlu dibanggakan pada ilmu kita yang sangat sedikit. Pada lulus atau cemerlangnya kita dalam peperiksaan barangkali oleh sebab hafalan semata-mata tanpa kefahaman yang sebenar-benarnya.
Kata Confucius, “berfikir tanpa belajar itu berbahaya”
Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan.
Orang yang banyak bertanya, kerana banyak berfikir, harus banyak belajar. Belajar dalam erti kata bukan setakat bergantung kepada jawapan hasil soalan, tetapi harus belajar mengenal proses menghasilkan jawapan itu.
Saya sedar, sebagai pelajar bidang usul Fiqh, kefahaman proses penghasilan hukum sangat penting. Benar, kita mudah mendapatkan bermacam hukum yang kita inginkan melalui internet, tapi kita hanya beroleh jawapan, tetapi terlepas prosesnya. Rugi.
Melalui proses lebih membuat kita berfikir dan memahami. Kita akan lebih merasai. Baru dapat memaknai jalan menuntut ilmu.
Proses itu hanya boleh ditemui dan didefinisi oleh orang yang ‘mencari’. 
Saya masih sedang belajar. Menguatkan sisi-sisi lemah sebagai penuntut ilmu. Doakan saya.
Allahumma faqqihna fiddin. 
| Catatan ini untuk peringatan diri sendiri, juga buat generasi |
Share:

20 January 2014

Si kecik ini sudah pergi..

Noor Hasinah Roslan. Dia muda 3 tahun dari saya. 
Di mana lagi kami bertemu kalau bukan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh, Pahang.
"Kak JuUUUU bangunnnNNN.."
Kalau Si Sinah yang gerak, memang dahsyat. Bingit. Tambah lagi dengan bebelan macam mak kiah. 
Tapi, Hasinah ni lah tukang gerak paling tepat. Adik Junior paling rapat dan best sebab senang dibuli. Hee
Dia tak pernah lupa kakak seniornya ni. Walaupun saya dah tamat sekolah, Hasinah masih lagi hantar surat. Macam zaman dulu-dulu. Siap bagi gambar minta simpan, dalam hati.
20 Januari 2014. Hari ini. Ya, hari ini.
Hasinah pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya kerana penyakit bengkak usus.
Innalillahi wainna ilaihi rojiun.
Tidak akan kudengar lagi suara halus adik kecilku itu. Dan kita tak mungkin bertemu lagi di dunia ini.
Pergilah dengan tenang wahai adikku..semoga di syurga kelak kita bertemu kembali.
Share:

17 January 2014

Berjalanlah di Muka Bumi


Andalusia; kini dikenali sebagai Sepanyol.
Di negeri inilah lahir tokoh-tokoh muslim ternama yang menguasai berbagai ilmu pengetahuan, seperti Ilmu agama islam, kedoktoran, filsafat, Ilmu hayat, Ilmu hisab, Ilmu hukum, sastera, Ilmu alam, astronomi, dan sebagainya. Di sini juga letaknya pusat kebudayaan Islam dan Ilmu pengetahuan yang tiada tandingannya setelah Konstantinopel dan Baghdad.
Nama-nama tokoh seperti Tariq bin Ziyad, Ibn Rusyd dan Ibnu Thufail begitu juga kemasyhuran al Hambra di Granada dan Kota Cordoba tidak lagi asing dalam sejarah kegemilangan Andalusia.
Kini tinggal sejarah. Andalusia runtuh setelah 800 tahun didiami kaum muslimin, apabila orang-orang Portugal berjaya mengotori pemahaman para pemuda. Akibatnya, mereka dapat mengusir kaum muslimin hanya dalam masa dua atau tiga bulan sahaja.
Ya Andalus, kini tinggal sejarah. Kehancurannya menghilangkan cahaya.
Turki.
Sinonim dengan sejarah penawanan Kota Konstantinopel (kini dikenali sebagai Istanbul) oleh orang muda hebat; Sultan Mehmed II Al-Fatih.
Tak lupa pada seorang tokoh pelopor pergerakan Islam Turki Moden iaitu Syeikh Badiuzzaman Said An Nursi. Sejarah menyebutkan keberanian beliau membantah sistem sekular yang dibangun Mustafa Kamal Atarturk ditambah lagi dengan karya penting yang dihasilkan beliau; ”Risalah Nur”, sebuah tafsir Al-Quran setebal lebih dari enam ribu halaman.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah adalah satu lagi sejarah menyedihkan bagi umat Islam kerana berakhirnya institusi Khalifah.
Bagi rakyat Malaysia, Turki dicatat sebagai tempat perginya seorang Ammar yang berjaya membangun semangat juang para pemuda Malaysia.
Kedua-dua tempat ini menjadi tempat impian saya sejak dulu. Saya akui, kerana sejarah-sejarah yang terukir di situ. Saya mahu menyelami, mengambil ibrah dan melihat sendiri kesannya.
Kerana apabila melupai sejarah, maka sejarah buruk yang sama bakal berulang.
InshaAllah, semoga Allah beri peluang itu. Amin.
Katakanlah: “Berjalanlah kamu (di muka) bumi, lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa (An-Naml : 69).

—Catatan ini untuk generasi—
Share:

15 January 2014

Jalan Cinta Para Pejuang


Jika kita menghijrahkan cinta; dari kata benda menjadi kata kerja

Maka tersusunlah sebuah kalimat peradaban dalam paragraf sejarah

Jika kita menghijrahkan cinta; dari jatuh cinta menuju bangun cinta

Maka cinta menjadi sebuah istana; tinggi menggapai surga

Begitulah hakikat cinta sejati, 

Ketika semua rasa termuarakan padaNya,

Maka semuanya pula akan indah pada waktunya

dengan kehalalan adanya.
 Salim A.Fillah
Jalan Cinta Para Pejuang,
Share:

14 January 2014

Bidang Agama Pilihan Saya

Alhamdulillah, result  Biologi saya A. Cita-cita saya untuk mengambil jurusan perubatan menjadi kenyataan. Tambahan lagi dengan tawaran Matrikulasi Pahang untuk Sains Hayat. Saya ingat lagi waktu itu, bila saya ubah keputusan untuk memilih bidang agama, keluarga terkejut termasuk saya sendiri.
Itu gerak hati, dan yang menggerakkan tidak lain adalah Allah SWT.
Saya tahu, masyarakat tidaklah memandang tinggi kepada pelajar bidang agama. Sesiapa pun boleh menjadi ‘ustaz’ atau ‘ustazah’ di zaman ini. Seorang doktor yang rajin belajar agama juga boleh jadi sehebat ustaz, malah mungkin lebih lagi. Dengan segala teknologi yang ada dan maklumat di hujung jari.
Akibatnya, bidang agama hilang keutamaan.
Bidang agama menjadi pilihan terakhir ibu bapa untuk anak-anak setiap kali memikirkan tentang kerjaya mereka. Kebanyakan yang menjadi prioriti untuk pemilihan kerjaya adalah banyaknya wang dan ‘nama’ yang dipandang tinggi masyarakat.
Itu realiti.
Kita tak boleh memaksa masyarakat mengubah pandangan mereka terhadap bidang agama, tapi kita boleh buktikan bahawa bidang agama ini benar-benar memberi impak besar dalam masyarakat, untuk memandu masyarakat ke arah masa depan ummah yang lebih baik.
Dalam kata lain, ‘mengubati penyakit ummah’.
Bukannya semakin bertambah bidang pengajian Islam, tapi tetap bertambah gejala sosial, kadar jenayah dan kejahilan ummah.
Ustaz dan Ustazah perlu ada kualiti sebagai pelajar bidang agama. Saya percaya, menghadiri kuliah, ceramah, mencari maklumat melalui internet tak pernah sama dengan proses pembelajaran bertahun-tahun berdasarkan subjek yang diambil.
Kita perlu membuktikan ‘sesuatu’. Bidang agama bukan sebarang. Buka pandangan masyarakat, bahawa agama ini tidak sempit.
Ramai ulama’ telah membuktikannya.
Apa kecenderungan Kita?
Kerana itu saya tak pernah menyesal memilih bidang ini. Terpulang bagaimana antum.
Allahumma faqqihni fiddin. Semoga Allah meredhai.
Share:

12 January 2014

Wanita Oh Wanita


Wanita dikira silap apabila meletakkan ‘standard’ dan ‘silibus’ kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai ‘standard’ kejayaannya juga. Sedangkan, ‘silibus’ dan ‘standard’ kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal, termasuklah kerjaya.
 Saya tak menafikan, walaupun ada keharusan yang Islam berikan.
Menurut Syeikh Prof Dr Md ’Uqlah (Universiti Yarmouk), tugas asasi wanita adalah amat besar iaitu sebagai penentu dan pencipta kerjaya seluruh manusia ( menurut asbab kepada hukum alam ), ini kerana mereka diberikan kedudukan oleh Islam untuk mencorak segala pemimpin lelaki masa akan datang iaitu dari kecil hingga besar.
Di samping menuntut ilmu pelajaran, ada baiknya para wanita tidak mengabaikan ilmu kekeluargaan dan pendidikan anak-anak. Menjaga keamanan rumah tangga tidak boleh dipandang remeh, kerana ia menyamai kepimpinan sebuah negara.
Ini fitrah. Wanita dan Lelaki ada bezanya.
***
# Jika bermotokan isteri cerdik yang solehah,
Rajin-rajin buka buku Tarbiyatul Aulad.
Masukkan dalam list azam 2014.
Dush Dush!
Share:

10 January 2014

Antara 4 Mazhab


“Pelajar syariah belajar fiqh dengan membentangkan kitab Imam Hanafi & Imam Syafie. Hal ini kerana biasanya 2 Imam mazhab ini mempunyai sudut pandang berbeza dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Adapun Imam Ahmad dan Imam Malik, pandangan mereka biasanya akan cenderung kepada salah satu daripada dua Imam di atas. Maka lebih praktikal untuk mengkaji pandangan 2 pandangan berbanding kesemua 4 imam mazhab.
Kemudian, kajian fiqh itu dibuat melalui perspektif Ilmu hadith bagi menambah kefahaman kepada konteks.”
- Ustaz Hasrizal
Share:

Melerai Kekusutan Wahabi

“Bagaimanakah cara saya menyelesaikan kekusutan saya tentang topik Wahabi:

1. Belajar semasa di sekolah, aqidah kita Islam

2. Sampai Jordan, baru kenal rupanya ada dua aliran iaitu Salaf dan Khalaf
3. Saya khalaf dan asya’irah, fiqh pula bermazhab syafie
4. Untuk mengukuhkan aqidah, saya mengaji kitab Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyah karangan al-marhum Sheikh Al-Buti, tanpa mengetahui ia mewakili khalaf
5. Buku sangat bagus. Perbahasan meluruskan kepercayaan.
6. Kemudian tersedar, wujud perkaitan antara Salafi dengan Wahhabi.
7. Membaca kitab Ubudiyyah Ibn Taimiyyah, Fatawa Humawiyyah, dan kitab al-Tauhid oleh Muhammad bin Abdul Wahhab serta Fath al-Majid, syarahnya.
8. Mengenal pasti ada perbezaan pada cara penghujahan.
9. Kedua-duanya sangat meyakinkan dan seperti perlu dipakai pada situasi dan cabaran yang berbeza-beza.
10. Membaca kajian-kajian yang menjelaskan konteks sejarah. Mula memahami bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab sama seperti nama lain, perlu difahami melalui dua sudut iaitu: (i) membaca sendiri tulisan-tulisannya. dan (ii) membaca kajian orang lain mengenainya (pro dan kontra)
11. Membaca sumber tentang Muhammad bin Abdul Wahhab daripada sumber Arab, Inggeris dan Uthmaniah.
12. Sampai kepada pemahaman:
a. Wahhabi iaitu satu topik
b. Muwahhidin satu topik lain
c. Muhammad bin Abdul Wahhab satu isu lagi.
d. Ibn Taimiyah satu bab lagi pula.
e. Salaf pula satu topik lagi.
Semua itu bukan sepakej. Ada bab ia bersama, ada bab ia berbeza.
Sepanjang membaca dan menempuh proses di atas, adakalanya saya rasa saya Salafi, adakalanya saya rasa Asya’irah.
13. Kini, saya Ahli Sunnah wal Jamaah, perbahasan Salaf, perbahasan Khalaf, semuanya valid dan perlu diguna. Kegunaan rosak apabila dilaga-laga. Kegunaannya tinggi apabila diguna secara berasingan.
(percubaan nak lakar dulu, laluan menyelesaikan kerumitan bab ni)”
— Hasrizal Jamil
Share:

09 January 2014

Aura Pencetus Ummah


Alhamdulillah, program ‘Pencetus Ummah’ nampaknya berjaya sedikit sebanyak mencetus kebangkitan ummah.
Ada yang mencuri tumpuan saya dalam rancangan tersebut. Setiap jawapan PU ketika sesi soal jawab saya dengar dengan teliti dan terimbau kenangan lampau sewaktu berpraktikal.
“Enti tak boleh jawab macamni. Enti kena tahu kaedah menjawab soalan berbentuk hukum”
Tegur ustaz Zaharuddin setelah meneliti jawapan persoalan hukum yang saya tuliskan sebagai tugasan dari beliau.
Pandangan saya sendiri, menguasai kaedah menjawab persoalan hukum itu sangat penting khususnya pelajar dari bidang agama. Selain mengelakkan kita dari dosa yang berlanjutan, masyarakat harus benar-benar memahami jawapan yang kita berikan.
Saya highlight kan 3 poin yang diambil dari web zaharuddin.net. (ada tambahan dan ubahsuai ayat sedikit mengikut situasi saya).
1)       Keperluan Proses Tarjih (ترجيح)
Saya baru nampak kepentingan belajar subjek ‘Ta’arudh wa At-Tarjih’ ketika degree. Saya selalu diberi persoalan yang jawapannya banyak khilaf. Akhirnya, saya hanya mampu menyimpulkan :”Banyak khilaf ni”. Orang yang bertanya bingung dan memaksa mereka membuat keputusan sendiri. Ia seperti memberi individu yang tidak berkelayakan untuk melakukan tarjih tanpa ilmu. Kita sepatutnya  memandu mereka kepada pilihan yang terbaik menurut ilmu yang kita ada, mengikut apa yang dirajihkan para ulama’ bagi yang masih cetek ilmu seperti saya.
Ulama berbeza ijtihad dalam menentukan hukum beramal dengan yang rajih kepada dua kumpulan namun majoriti mazhab berpendapat beramal dengan yang rajih serta meninggal pendapat marjuh adalah WAJIB. Malah terdapat Ijma’ di kalangan para ulama Usul fiqh (Nihayatul Sul, 3/212 ; Al-Mahsul, Al-Razi, 2/529 ; Kasyf al-Asrar, 4/76).
2)      Jangan tergesa-gesa
Jangan kita terburu-buru memberi pandangan yang dinisbahkan kepada hukum Islam jika belum dirujuk terlebih dahulu kepada kitab-kitab yang sesuai atau pandangan ulama yang ahlinya.
Ramai pendakwah yang apabila popular, tergelincir dalam memberi pandangan yang sama ada salah atau kurang tepat kepada soalan yang dikemukakan. Sebahagian mungkin memaksa diri untuk memberi jawapan kerana bimbang akan dipandang kurang berilmu lantaran kegagalan memberikan jawapan segera. Ibn Umar r.a berkata :
العلم ثلاثة كتاب ناطق وسنة ماضية ولا أدري
Ertinya : Ilmu itu ada tiga bahagian, Kitab AL-Quran yang berkata, Sunnah Nabi yang lalu dan aku tidak tahu. (Riwayat At-Tabrani dalam al-Aswat; Rujuk Majma’ Al-Zawaid)
Sangat baik lagi amanah seorang ilmuwan dan pendakwah menangguhkan jawapan terlebih dahulu agar mampu membuat kajian sebaiknya sebelum memberi respons. Dan salah satu jawapan apabila kita belum bersedia adalah ‘aku tidak tahu’.
3)      Lihat Kepada Audiens Dan Kesediaan Ilmu Masyarakat
Seseorang penyelidik, ilmuwan dan pendakwah perlulah mengkaji keadaan masyarakat, turun dan melihat sendiri kedaan mereka, menyedari taraf keilmuan mereka dan menyampaikan ilmu kepada mereka menurut laras bahasa yang mampu difahami oleh majoriti mereka. Membicarakan hal yang belum mampu difahami sebelum sampai masanya, kelak nanti menjadi fitnah kepada Islam dan masyarakat. Justeru proses beransur atau tadarruj itu sangat perlu difahami oleh ilmuwan.
Saya masih ingat kata ustaz: ‘Kepada penuntut ilmu bidang agama rasanya tak complete kalau kalian tak pergi sendiri ke tempat turunnya ayat Al-Quran, melihat sendiri bagaimana suasana dan masyarakat di sana.’ Dan saya mula menyimpan niat ke negara-negara Arab.
Kesimpulannya, kita bukan sempurna untuk sentiasa betul. Namun, pembetulan sentiasa diperlukan apabila kesilapan berlaku. Oleh sebab itu, berterusan membaiki diri dan tanpa jemu menuntut ilmu itu sangat penting.
Sematkan erat-erat kata Abu bakar as Siddiq:
“Adakah agama menjadi lemah sedangkan aku masih hidup?”
Mohon maaf salah silap. Perkongsian ini adalah peringatan untuk saya dan semoga bermanfaat untuk semua.
Share:

#Usrah UZAR : Homework Sudah Sampai!!

Ini kitab-kitab rujukan usrah kami. Teringin untuk memiliki kitab-kitab ini suatu masa nanti. InshaAllah
Homework dah sampai!

Tugasan dan persediaan ahli diperlukan dalam bab berikut :
1.       Adab : Adab Al-Muta’allim
2.       Aqidah : Dikehendaki mencari titik perbezaan antara salafi dan ash’ary dan puncanya.
3.       Fiqh Ibadah : Bagaimana sepatutnya dan assessment keadaan sekarang.
4.       Apa takrif Wasatiy dan wasatiy pandangan kalian dalam keadaan semasa.
5.       Fiqh Dakwah : politik dan tanpa politik.
Ada beberapa bab yang saya agak blur  dan perlu cari rujukan lebih banyak. Nampaknya kena rajin memuroja’ah keadaan semasa. 
InshaAllah usrah Khas UZAR kali ini lebih besar manfaatnya untuk diri yang serba kurang pengetahuan ini. ^^
Share:

05 January 2014

Bersusah-susah menuntut Ilmu


Buat para penuntut ilmu, semoga dengan membaca tulisan ini kita lebih kuat menempuh ujian menuntut ilmu.
Imam Syafi’i berkata:
لا يطلب هذا العلم من يطلبه بالتملل وغنى النفس فيفلح، ولكن من طلبه بذلة النفس، وضيق العيش، وخدمة العلم، أفلح
“Tidak mungkin menuntut ilmu orang yang pembosan, merasa puas jiwanya kemudian ia menjadi beruntung, akan tetapi ia harus menuntut ilmu dengan menahan diri, merasakan kesempitan hidup dan berkhidmat untuk ilmu, maka ia akan beruntung.”-Tadribur Rawi 2/584, Darut Thayyibah, Syamilah
  • Mengorbankan harta yang tidak sedikit
    Penuntut ilmu agama harus siap jauh dari dunia dan kemewahannya, hidup sederhana dan bisa jadi mereka adalah orang yang miskin kerana mengorbankan harta mereka.
    Imam Malik bin Anas rahimahullah berkata:
    لا يبلغ أحد من هذا العلم ما يريد حتى يضربه الفقر ويؤثره على كل شئ
    “Seseorang tidak akan mencapai ilmu ini sesuai dengan apa yang diharapkan sehingga ia menjadi fakir dan berpengaruh kepada semuanya.”- Al-Majmu’ 1/35, Imam An-Nawawi, Syamilah
  • Belajar dengan banyak guru
    Kita selayaknya tidak mencukupkan diri dengan satu guru saja, kerana ilmu itu sangat luas, sampai-sampai ulama’ berkata, salah satunya adalah Hammad bin Zaid rahimahullah berkata;
    إنك لا تعرف خطأ معلمك حتى تجالس غيره
    “Sesungguhnya engkau tidak mengetahui kesalahan gurumu sampai engkau berguru dengan yang lain.”- Jaami’u bayaanil ‘ilmi wa fadhlihi  I/414 no.607, Darul Ibnu Jauzi, cet.I, 1414 H, syamilah
  • Belajar dengan waktu yang lama
    Ibnu Mubarak pernah ditanya,
    : قيل لابن المبارك، إلى متى تطلب العلم؟ قال: «حتى الممات إن شاء الله
    “Sampai kapan engkau menuntut ilmu? Beliau berkata, “sampai mati insyaAllah” - Jaami’u bayaanil ‘ilmi wa fadhlihi  no.586, Darul Ibnu Jauzi, cet.I, 1414 H, syamilah
**Ditulis oleh doktor Raehanul Bahraen (hafidzahullaahu ta’ala).
Imam al-Bukhari pernah berkata,
“Berilmu sebelum berbicara dan beramal.”
(Muqaddimah Shahih al-Bukhari, kitabul Ilmi)
Ilmu adalah pemimpin amal dan amalan berada di belakang ilmu.
Semoga Allah mudahkan jalan ke syurga untuk para penuntut ilmu. Amin.
Share:

Pembahagian waktu menuntut Ilmu




(Diambil dari Tadzkiratus Sami’ wal Mutakallim fi Adabil ‘Alim wal Muta’allim, karya Al-Qadhi Ibrahim bin Abil Fadhl ibnu Jamaah Al-Kinani rahimahullahu, hal. 72-73, cet. Darul Kutub Al-Ilmiyyah)
———————————————
Waktu terbaik untuk menghafal adalah waktu sahur.
Waktu terbaik untuk membahas/meneliti (suatu permasalahan) adalah di awal pagi.

Waktu terbaik untuk menulis adalah di tengah siang.
Waktu terbaik untuk menelaah dan mengulang (pelajaran) adalah malam hari.
Al-Khathib rahimahullahu ta’ala berkata: “Waktu terbaik untuk menghafal adalah waktu sahur, setelah itu pertengahan siang, kemudian waktu pagi.

Beliau berkata lagi: “Menghafal di malam hari lebih bermanfaat daripada di siang hari, dan menghafal ketika lapar lebih bermanfaat daripada menghafal dalam keadaan kenyang.”
Beliau juga berkata: “Tempat terbaik untuk menghafal adalah di dalam kamar, dan setiap tempat yang jauh dari hal-hal yang melalaikan.”

Beliau menyatakan pula: “Tidaklah terpuji untuk menghafal di hadapan tetumbuhan, yang menghijau, atau di sungai, atau di tengah jalan, di tempat yang gaduh, karena hal-hal itu umumnya akan menghalangi kosongnya hati.”
Share:

04 January 2014

Apa yang kita dapat, cintailah

Adik kedua saya, ZulFadhli akan memulakan PLKN selama 3 bulan. Orang pertama yang dia rujuk semestinya SAYA kerana saya adalah graduan PLKN 2008 di Kem Seri Perkasa Mantin, Negeri Sembilan. *tak sangka masih ingat.Fuhh*
“Tak perlu takut. Bila kita dapat apa yang kita tak suka atau terpaksa menerima yang bukan kita harapkan, maka apa yang kita boleh lakukan adalah cinta apa yang kita dapat. Itu yang kakakmu ini lakukan”
PLKN adalah mimpi ngeri. 3 bulan menerima latihan seperti seorang tentera, mimpi ngeri malah boleh bertukar menjadi mimpi indah yang takkan dilupai sampai bila-bila. Masih segar di ingatan, tangisan sepanjang perjalanan pulang setelah bergelar Wirawati Negara. Menangisi perpisahan dan keindahan sebuah pengalaman yang cukup berharga. *pengalaman inilah yang selalu jadi perkongsian saya*
Kenangan menjadi tentera srikandi bersama M16
Tiada gunanya rungutan dan memberontak kerana ia tak dapat mengubah apa-apa.
Belajarlah menerima, mencintai apa yang kita dapat dan carilah hikmah di sebaliknya.
“Dan ingatlah ketika Rabb kalian mengumumkan kepada kalian; Jika kalian bersyukur maka akan Aku tambahkan nikmat-Ku atas kalian dan jika kalian kufur, sesungguhnya siksa-Ku sangatlah keras.” (Ibrahim : 7).
Pesanku, perkara pertama harus kalian lakukan adalah mencari teman yang baik. Di mana kalian akan bertemu dengan teman seperti itu? Carilah di setiap kali solat jemaah di surau dan kalian akan ketemu.
Tetapkan niat untuk berdakwah. PLKN adalah medan dakwah. Di sinilah wujudnya peluang kita mendekati mereka yang berminat dengan Islam sama ada dari bukan Islam ataupun orang Islam itu sendiri.
Apapun yang berlaku, tunjukkan akhlak dan contoh yang baik. 
Jangan sia-siakan peluang ini. 3 bulan sebenarnya adalah waktu menjadi dewasa. Berfikiran lebih matang, tahan ujian dan pandai berdikari.
Justeru, kau akan mencintai apa yang kau dapat.
Ok, steady wira & wirawati Malaysia!
Share:

02 January 2014

Didik anakmu sebelum Nikah


Pada pernikahan itu punya 1001 rahmat dan nikmat buat insan yang berfikir.. 
Pernikahan itu diikat atas 1 janji antara dua hati di antara Tuan Ahmad  Azam  dan Puan Nur Azlina iaitu:
# Untuk menjadikan pernikahan itu buat ummah

# mengizinkan suami berkhidmat untuk ummah

# menjadi isteri dan ibu yang mampu berdikari di saat ketiadaan suami di rumah

Begitulah rencananya buat dua hati yang ikhlas dalam pernikahan..jika kita ikhlas dalam memperjuangkan agama Allah, Allah akan anugerahkan zuriat yg mempunyai semangat seperti as-syahid Ahmad Ammar agar seluruh ummat mampu mengikut jejak langkah beliau..

** aku ingatkan lagi sekali..jangan sesekali bernikah kerana nafsu..tapi bernikahlah untuk ummah.

-quoted to be noted. InshaAllah.. 
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.” (Surah al-Ahqaf: 15)
Share:

01 January 2014

Catatan Hati 2013


"Tidaklah datang suatu hari dari hari-hari di dunia ini melainkan ia berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah hari yang baru, dan sesungguhnya aku akan menjadi saksi (di hadapan Allah) atas apa-apa yang kalian lakukan padaku.”    -Hasan al Basri.
2013 sudah melabuhkan tirai. Beberapa hari lagi umur saya akan berubah ke 24 tahun.
Orang bilang angka tak membawa makna apa-apa. Tapi bagi saya, ia cukup menyedarkan saya bahawa hidup sudah tidak lama, maka apa legasi yang dapat saya tinggalkan untuk ummah?
2013 adalah turning point hidup saya dari sudut cara saya berfikir dan bertindak. Tempoh praktikal sebagai Pelajar Sarjana Muda Fiqh & Fatwa Tahun 4 USIM adalah pembuka tirai 2013 yang benar-benar memberi impak besar dalam hidup saya. Pilihan saya kepada Syarikat K Fiqh Sdn Bhd membuatkan keluarga dan teman-teman merasa sangat hairan. Syukur, ini yang saya harapkan dan ini pula yang Allah tunjukkan. Saya inginkan, yang lain dari biasa.
Tempoh praktikal menemukan saya dengan tokoh-tokoh agama Malaysia. Saya belajar cara mereka berfikir, bekerja, bermuamalah, menulis, belajar dan khususnya akhlak baik mereka yang cuba saya amalkan. Bos saya Dr Zaharuddin dan Dr Zahazan serta keluarga banyak memberi contoh yang baik untuk saya.
"Sambil menyelam, minum air."
Di samping berpraktikal, saya mengikuti jelajah sukarelawan Malaysia ke Negeri-Negeri pantai Timur, Utara dan ke rumah-rumah fakir miskin dan anak yatim. Program sukarelawan ini mempertemukan saya dengan insan-insan yang saya kagumi; Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Dato’ Saifuddin Abdullah. Namun kenangan yang paling sukar dilupa dalam hidup saya adalah bersama dengan keluarga miskin dan anak yatim, bilamana seorang ibu menghembuskan nafas terakhir di depan saya sedang di pelukan saya anak sulung beliau menangis teresak-esak menyaksikan.  Berderai air mata saya. Mereka adik-beradik hilang kedua ibu bapa. Sudah jatuh ditimpa tangga.
2013 tahun travel untuk saya. Saya harus memandu ke banyak tempat untuk kerja-kerja event management. Sungguh, di sinilah saya belajar keyakinan, bahawa Allah itu selalu ada!
Kehidupan bukanlah hanya kesenangan dan kegembiraan bahkan dimaniskan lagi dengan kesedihan dan kesusahan. Selesai praktikal, saya pergi interview dan menghantar resume ke banyak tempat untuk mohon kerja. Tapi saya gagal. Permohonan untuk master di UIAM juga belum menerima jawapan. Saya buntu. Apa saya harus buat?
Interview terakhir saya di sekolah swasta Bukit Antarabangsa berjaya! Saya masih ingat doa saya waktu itu, “Ya Allah, Kau mudahkanlah apa yang terbaik untukku”. Perancangan Allah Maha Hebat. Di saat saya sudah berputus asa dengan UIAM dan sudah tidak nampak jalannya, urusan saya dimudahkan. Segalanya. Surat jawapan untuk saya baru sampai di saat pelajar lain sudah bermula. Itulah aturan Tuhan.
Subhanallah. Sungguh, tawakkal bukan hanya menyerah, tapi perlu ada usaha bersama pergantungan sepenuhnya pada Tuhan. Sehingga sekarang, saya masih belum percaya bahawa saya adalah pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Ujian membuat kita lebih menghargai sesuatu. Ujian mematangkan fikiran, mendidik hati bersyukur pada Tuhan. Di situlah wujudnya sumber kekuatan. Masing-masing ada pengalaman manis dan pahit tahun 2013, namun inilah sedikit catatan hidup yang boleh saya kongsikan buat ummah dan generasi.
2014. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Lebih bermuhasabah dan berjaya. Jika teman-teman merancang menukar status di tahun 2014, di sisi saya, perancangan itu ada. Tapi calonnya yang belum ada. hee
Sesungguhnya perancangan yang terbaik itu dari Allah. Inni tawakkaltu a’lallah.
Apabila kamu telah berazammaka bertawakkallah kepada Allah.” [Al-Imran : 159]
Cungkillah sendiri hikmah takdir hidup kita. Tiada siapa yang berminat dengan hidup kita, melainkan diri kita sendiri.
Keluarlah dari zon selesa kepada zon struggle bertemu Tuhan!
Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories

Blog Archive