"Everyday is a brand new start"

29 March 2015

Si Tampan Yang Sabar

Buku Tulisan Amr Khaled
Nabi Yusuf itu tampannya memukau mata yang memandang, sehingga perempuan-perempuan itu mabuk cinta seraya berkata:

"Maha Sempurna Allah.

Ini bukanlah manusia.

Ini benar-benar malaikat yang mulia." (Yusuf :31)

Namun ketampanan Nabi Yusuf tidaklah diceritakan dengan detail di dalam Al-Quran, sebaliknya Allah mahu kita melihat dari sudut tampannya sabar dan akhlak Nabi Yusuf.

"Fasobrun jamil...."

Sabar yang tak diiringi keluhan, ketika itulah sabar benar-benar cantik.

Kerana sabarnya Nabi Yusuf kepada kedengkian saudara-saudaranya, Nabi Yusuf bertemu jalur hidup yang lebih baik dan hebat. Begitulah, selalunya penderitaan yang dianggap suatu musibah adalah permulaan dari kebahagiaan yang tak diduga.

Pelemparan dirinya ke dalam sebuah perigi oleh saudara-saudaranya sendiri, disusuli dengan pemenjaraannya oleh para penguasa Mesir, semuanya itu merupakan jalan yang harus ditempuh oleh beliau untuk mencapai puncak kebesaran dan kemuliaan sebagai nabi serta taraf hidup yang mewah dan sejahtera sebagai seorang penguasa dalam sebuah kerajaan yang besar.


Step one to be patience

Siapa yang sabar, pasti akan menang. Hanya dengan kurnia Allah jualah yang dapat memberi kemenangan dalam pelbagai bentuk sehingga tak terjangkau akal fikiran manusia.

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”  [Al-Baqarah:153]

Berusaha menahan diri dengan sabar dan solat jauh lebih baik dari menceritakan dan mengeluhkan masalah kerana ini solusi yang dijamin Allah di dalam Al-Quran.

Lihatlah bagaimana Saidatina Aisyah menahan kesabaran saat difitnah, beliau turut mengungkapkan kata-kata Nabi Yaakub a.s di dalam ayat ke 18 surah Yusuf:

فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ 

"Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu." 

Di akhir cerita, kesabaran pasti berakhir keindahan. 

Kata Saidina Ali:

"Ketahuilah bahawa sabar, ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak."

Teringat setiap kali saya merungut apabila menunggu makanan agak lama di kafe, sahabat saya akan berpesan:

"Sabar itu hadiahnya syurga. Kalau hadiahnya hanya kereta atau wang, bermakna sabar tidak terlalu hebat"


Membenci untuk bersabar hanya merosakkan jalan cerita. Sabar itu memerlukan kekuatan dari Allah, sehingga kita merasa senang dengan segala yang Allah senangi pada kita.





Kata Ustaz Syaari, Surah Yusuf memiliki sastera yang tinggi dengan bahasa yang mudah serta 86 ayat dalam bentuk dialog. Jika tidak mampu menghafal satu surah, pesan Ustazah Norhafizah, cuba hafalkan ayat-ayat nasihat dalam surah Yusuf yang menyentuh jiwa. Contohnya ayat 90 di atas.

Semoga Allah mengurniakan kesabaran buat kita dan istiqamah dengannya.

"Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami.” (At-Thur: 48)


#IIUM #29032015
Share:

15 March 2015

Bukan dimudahkan, tapi dicintakan

Qari Deden Muhammad Makhyaruddin
Pernah dulu suatu waktu, seseorang bertemu ustaz Deden M. Makhyaruddin alhafiz dalam sebuah acara. Di akhir acara dia berkata, "ustaz, doakan agar dimudahkan dalam menghafal". Dengan santun beliau menjawab, "Bukan dimudahkan, tapi dicintakan, kalau sudah cinta insyaAllah jadi mudah".

Kenalkan, ustaz Deden M. Makhyaruddin. Seorang hafiz yang mengharumkan nama Indonesia apabila berjaya menjadi juara dalam Musabaqah Tahfiz, Tajwid, dan Tafsir Al-Quran (MTQ) Internasional.

Sedikit sebanyak kisah Ustaz Deden ini menjadi motivasi dan inspirasi.

Di bawah ini, saya tuliskan antara "motivasi tahfiz" dari ustaz Deden (telah ditukar ke Bahasa Malaysia). Semoga kita semua diberi kekuatan dan istiqamah oleh Allah untuk menghafal Al-Quran. 

Jatuh Bangun

Ibarat mendaki bukit untuk menggapai hidup, tak semestinya penghafal Al-Quran patah semangat kerana sering jatuh, setiap ada lupa, lelah, atau masalah lainnya. Untuk membuat kualiti, seringkali Allah menjadikan seseorang jatuh dulu. Seandainya Allah telah takdirkan seribu kali jatuh untuk kemudian menjadi hafal, maka setiap kali jatuh, mestinya ia senang, bahkan akan berharap jatuhnya sesering mungkin, karena bererti, dengan itu, takdir jatuhnya akan cepat habis, dan akan segera sampai pada tujuan. Sebaliknya, semakin menghindar dari jatuh, atau tak bangkit setelah jatuh, maka tujuan itu semakin jauh dan menjadi mustahil.

Husnu dzon dan Positif!

Adakalanya menghafal satu ayat saja perlukan waktu yang lama. Itu bukan kerana ayatnya sulit, tapi kerana ayat itu rindu pada kita. Ia betah, dan ingin sangat berlama-lama dengan kita. Berbahagialah, kerana saat-saat dirindui ayat itu, sebenarnya, adalah saat-saat terindah dalam menghafal Al-Qur'an.

Al-Quran dan Iman

Menghafal Al-Quran dengan iman. Setiap hafal satu ayat, maka iman pun bertambah. Dan setiap lupa satu ayat, berkuranglah iman itu.

Kalau kita menghafal Al-Quran, lalu berusaha menaklukannya dengan kecerdasan, maka hanya akan membuat otak kita lelah. Yang harus kita lakukan adalah menguatkan iman, dan membersihkan hati, niscaya Al-Quran datangi kita berikan ketenangan dan kebahagiaan. Ia pun betah berlama-lama dengan kita. InsyaAllah...


Bila dan Bila....

Target penghafal Al-Qur'an yang ahlullah itu bukan bila saya khatam, tapi bila saya dapat bergantung total kepada Allah, bila saya termasuk muttaqin, bila saya termasuk orang-orang yang khusyuk, bila saya mampu membaca sepenuh hati, bila saya mampu menjadi pribadi yang berakhlak Al-Quran seperti Rasulullah Saw..

Masa bersama Kekasih

Hampir semua penghafal Al-Quran menginginkan cepat menghafalnya. Padahal, lama dan sebentar itu hanya perasaan manusia. Seseorang yang sedang bersama kekasihnya, seharian, maka rasanya hanya beberapa minit saja. Tapi, bila sedang bersama musuh, hanya beberapa minit saja, serasa berjam-jam. Al-Qur'an adalah kekasih sejati kita, bukan musuh kita.


Credit : Tahfiz Motivation
Istiqamah Muroja'ah

Bagaimana seseorang akan diamanahi sesuatu, jika amanah al-qur'an yg dia hafal saja tak dapat dijaga.

Cara mensyukuri nikmat hafalan adalah menjaganya dengan memperbanyak muroja'ah. Tahukah anda, syukur adalah penyebab utama bertambahnya nikmat? Kalau anda ingin hafalannya bertambah, syukuri hafalan yang ada, bukan mengabaikannya.

Prestasi seorang hafiz, bukan pada seberapa banyak ayat dan cepatnya menghafal, tapi pada kelancaran, kekuatan dan kesetiaannya menjaga Al-Qur'an. Namun, bersamaan dengan itu, sebenarnya, Al-Qur'an boleh dihafal dalam sekali lihat saja. 

Susah?


Alhamdulillah... sejak Allah izinkan saya mengikuti kelas tahfiz anjuran masjid UIA, tidak dapat tidak, saya harus menghafal minima 5 safhah seminggu. Saya akui, ujian menghafal Al-Quran itu sangat mencabar. Kesibukan pelajaran dan aktiviti-aktiviti lain terkadang mengurangkan kelancaran bahkan menambahkan debaran. Hakikatnya, mungkin iman yang berkurang.


Debaran melampau ketika tasmi' dan sedikit pembetulan tajwid oleh ustazah menyebabkan saya banyak lupa. Berbeza jika ditasmi' ketika tenang dan selepas muroja'ah yang berterusan. Antara lain, jika ayat difahami dengan baik, insyaAllah hafalan juga akan baik.


Banyak yang saya pelajari dari teman-teman hafazan lebih-lebih lagi yang berbangsa Arab. Mereka yang hafizah 30 juz kebanyakannya dari pelajar engineering atau selain Islamic studies. Saya agak malu di situ.


Percayalah, kita semua tidak pernah terlewat untuk menghafal Al-Quran. Tawaran menjadi 'keluarga Allah' sentiasa terbuka. Tinggal kita yang berusaha untuk menyertainya.


Kata Ustaz Deden lagi :


"Dekat dengan Al-Qur'an itu menenangkan hati. Kalau sudah sering baca, hafal, dan mengulang hafalan, tapi tidak tenang-tenang juga, bererti belum dekat."


" Dan kami turunkan Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman." (Surah al-Isra:82)


Akhir qalam, tolong doakan saya yang lemah ini untuk terus istiqamah mencintai, menjaga dan mengamalkan Al-Quran.

#IIUM15032015



Share:

01 March 2015

Rasanya Makin Merindu


Training Terapi Makrifah - 1 Mac 2015
“Apabila tuhan membukakan bagimu suatu jalan untuk makrifat (mengenal padaNya), maka jangan menghiraukan soal ilmumu yang masih sedikit, sebab tuhan tidak membukakan bagimu melainkan Dia akan memperkenal diri kepadamu. Tidakkah kau ketahui bahwa makrifat itu semata-mata pemberian kurnia Allah kepadamu, sedang amal perbuatanmu hadiah daripadamu, maka dimanakah letak perbandingannya antara hadiahmu dengan pemberian kurnia Allah kepadamu.”
(Ibnu Athoillah)

Alhamdulillah... 

Allah beri kemudahan kami sertainya setelah ditunda sejak tahun 2014.

Seingat saya, sudah bertahun-tahun juga saya tidak menyertai program motivasi seperti zaman sekolah dulu. Jadi kenapa saya memilih Training Makrifat

Jawapannya inshaAllah.. kerana saya ingin lebih mengenali Allah. Saya yakin, 3 penceramah yang sangat saya kagumi ini : Ustazah Norhafizah Musa, Dr Azahar dan Dr Zulkifli Al Bakri mampu memberi sentuhan kepada hati yang semakin keras ini.

Seni Makrifatullah

Makrifat tidak sama dengan ilmu. Makrifat hanya dimiliki oleh jiwa-jiwa yang ingin semakin dekat dan semakin dekat dengan Allah sehingga sikapnya terbias dari asma' Allah yang indah.

“Makrifat adalah hasil dari asma-asma tauhid." 

(Syekh Abdul Qadir Al-Jailani)

Makrifat berhubung dengan zat sesuatu dan berada pada sesuatu dan kemudian hati menemuinya sedang ilmu hanya sekadar kemampuan aqal. Tidak sama orang yang menunaikan haji kerana ilmu dan hanya bergantung kepada buku-buku doa yang dibawa berbanding ahli tauhid yang mengibaratkan pergi haji seperti berjalan ke arah kematian.

Imam Tirmizi menggaris kasar hati dengan 4 peringkat:
1) Sadrun (dada)
2) Qalbun (hati)
3) Fu'ad (mata hati)
4) Lubbun (Inti hati terdalam)

Mengapa hati masih berbolak balik meskipun kita telah membasuh hati kita? Betul, kerana proses penjernihan hati belum sampai jauh ke dalam yakni 'lubbun'.

Di sinilah, kepentingan makrifatullah. Nafsu seorang ahli makrifat mampu berubah menjadi nafsu yang mutma'innah (tenang) sehingga sampai kepada cita-cita tertinggi seperti firman Allah dalam surah al-fajr (Ayat 27-30) maksudnya:
" Wahai jiwa yang tenang dan tenteram, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaKu ( yang soleh ). Dan masuklah ke dalam syurgaKu". 

Tawaran menarik bukan?

Impian SaMaRa

Rumahtangga adalah alat, menegakkan Islam adalah matlamat.

"Dalam hubungan suami isteri, terkadang ustazah merasakan ujian Allah sangat besar untuk kami berdua. Kami terpaksa berborak hal-hal yang berat tak seperti suami isteri yang lain. Dan ustazah hampir tewas untuk bersama suami mewujudkan Tahfiz Madinatul Huffaz." Ustazah Norhafizah berkongsi dalam satu slot.

"Suami hanya menggangguk dengan pengunduran ustazah dan terus solat. Kata suami.. 'Tak apalah, Allah ada untuk membangunkannya'" Sambung ustazah.

Oleh sebab training hanya untuk para muslimat, jadi ia tidak lari dari kisah rumahtangga. Jujur saya akui, saya banyak belajar teori kehidupan rumahtangga dari Ustazah Norhafizah Musa. 

Impian ustazah dan Dr Azahar membangunkan sebuah tahfiz akhirnya menjadi kenyataan. Seseorang yang dirahsiakan telah mewakafkan harta untuk pembinaan tahfiz. Lalu dari mana datangnya kembali semangat ustazah?

Setelah mengikuti pengembaraan ke sekolah tahfiz di Indonesia, ustazah membuat keputusan untuk kembali bekerjasama dengan suami, dengan hati baru yang lebih yakin kepada janji Allah. 

Bukan mudah membina keluarga yang bermatlamatkan Allah. Kepentingan keberkahan yang dijaga sejak awal lagi tak dinafikan menjadi antara asbab hadirnya Sakinah, Mawaddah dan Rahmah dalam sebuah perkahwinan.

Mengenali Ustazah Norhafizah Musa

Prof Muhaya menuju ke pentas setelah diminta ustazah untuk memberi sedikit perkongsian. Padahal Prof hanya datang sebagai peserta yang tidak dijangka!

Pelukan dua orang srikandi di atas pentas membuat hati ini sayu. Keduanya menitiskan air mata di hadapan para hadirin. Barangkali kedua mereka sedang berkongsi rasa yang sama.

"Terima kasih ustazah. Ustazah Norhafizah guru saya sebenarnya.." Kata Prof Muhaya dalam sebak.

Seperti Prof, salah satu sebab saya ke training adalah untuk mendengar input baru dari ustazah Norhafizah.

Mengenali ustazah Norhafizah sejak tahun 2013, saya menyedari minat kami hampir sama. Ditugaskan 2 kali sebagai PR beliau menjadi antara saat indah untuk saya belajar sesuatu dari beliau. Alhamdulillah...impian yang Allah kabulkan. 

Hebatnya seorang muslimah itu pada manfaat yang dia berikan kepada ummah walaupun sekadar menjaga anak.
-Ustazah Norhafizah-
Menjadi 'seseorang' untuk ummah memerlukan kekuatan ilmu juga ketahanan mental dan fizikal selain terus menerus memperbaiki diri dan niat. Bukan mudah.

Sesi terakhir, kami sama-sama berdoa. 

Kami hanyalah wanita akhir zaman yang berusaha menjadi solehah. Biarpun kami penuh dengan ketidaksempurnaan. 

Namun Ya Allah..kami mengharapkan untuk duduk bersama Saidatina Khadijah, Aisyah, Maryam, Fatimah dan Asiyah di syurga nanti. Dan di sana, mereka tersenyum bangga melihat kami kemudian berkata: 

'Wahai wanita dunia, selamat datang ke syurga yang kau impikan!'

Semoga Allah memelihara dan memberi kekuatan kepada Ustazah Norhafizah sekeluarga untuk mendidik umat. 

Doakan saya agar mampu bersama menyumbang untuk umat.


Mengenali-Mu, ya Allah

Rasa-rasanya makin merindu...
(Masuri S.N.)

Wallahualam.

#KL01032014

Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories