"Everyday is a brand new start"

09 July 2015

Seindah Langit Ramadhan

Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIA Gombak

Bismillah,


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Langit pagi Jumaat 23 Ramadhan 1436H begitu indah dengan kicauan burung-burung berterbangan. Namun, mendung di hati-hati manusia hanya Allah yang tahu. Bagaimana tidak, Jumaat ini mungkin Jumaat terakhir untuk Ramadhan tahun ini. Tahun depan, belum tentu akan berjumpa lagi.

"Allahumma ballighna Ramadhan.."
Sedar atau tidak, doa yang kita panjatkan jauh sebelum Ramadhan telah Allah kabulkan, tapi adakah kita benar-benar bersyukur?

Ramai yang dijemput Allah sebelum masuk ke bulan Ramadhan, malah cukup bertuah mereka yang 'pergi' di dalam bulan Ramadhan. Amalan apakah yang mereka lakukan sehingga mereka terpilih untuk bertemuNya di bulan mulia Ramadhan?

Syukuri Ramadhan yang berbaki. Apa yang berlalu sama-sama diperbaiki. Mohonlah ampun kepada Allah atas kelalaian kita dalam menghargai.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Gambar Hiasan

Pengalaman kali kedua dipilih Allah beRamadhan di UIA Gombak cukup berharga. Saya belum berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah, namun kata mereka suasana Ramadhan di UIA seakan-akan berada di Makkatul Mukarramah. Masjid dipenuhi dengan hamba-hamba Allah dari pelbagai negara yang berbeza bahasa, warna kulit dan budaya tapi sama-sama beribadah dalam satu saf, beriftar, bersahur, dan iktikaf.

Seperti kata teman Indonesia saya, bedanya Ramadhan kali ini bukan hanya kerana jumlah kipas angin masjid yang bertambah, dan bukan juga kerana tempat imam yang dihiasi lampu warna warni, tapi kerana qiraat (Bacaan Quran) Imam. Tarawih kami diselang-selikan qiraat imam Warsy, Hafs, dan As-Susi sehingga menjadi trending topic dalam kalangan penghuni IIUM.

Subhanallah, indahnya menikmati halaqah Al-Quran di setiap tempat!

Imam Sheikh Muhammad Asfandyar Dilawar Khan
Selepas kemalangan. 
Semoga Allah beri kekuatan buat beliau.

Setiap kali Ramadhan, pasti timbul isu kanak-kanak bermain di dalam masjid dan pelbagai solusi diberikan. Bagi saya sendiri, masjid UIA antara masjid yang teramah dengan kanak-kanak. Di sini, kanak-kanak belajar solat dengan bacaan panjang, bahkan ada yang setia sehingga ke hujung salam. Kanak-kanak kecil dididik menghormati jemaah lain, di samping merasai bi'ah Ramadhan sebenar melalui iktikaf. Sesekali terpandang mereka yang setia dengan Al-Quran dan hafalan. Meskipun tak sunyi dari suara-suara tangisan bayi, namun di sinilah saya belajar mujahadah dari semangat para ibu yang luar biasa. Semoga saya bisa sekuat mereka nanti, inshaAllah.

Dari Abu Hurairah, ia berkata, Rasulullah memberi khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda:

"Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa yang tidak memperoleh kebaikannya, maka ia tidak memperoleh apa-apa." 
(HR. Ahmad dan an-Nasa`i)

Kembali kepada diri kita. 
Apakah target Ramadhan sudah tercapai atau sedang ingin mencapai?
Kondisi apapun kita, jangan berputus asa. Yakinlah Allah Maha Mengetahui kesungguhan niat dan harapan kita.

Ramadhan yang datang dan pergi dari kita, sedang mengajarkan sesuatu sama ada kita sedar ataupun tidak. Maka dalam setiap Ramadhan yang kita tempuhi, sematkan di hati keazaman untuk memperbaiki diri.

Semoga, hati kita layak menjadi wadah tempat bertamunya para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi bisikan jahat. Hingga dalam setiap ujian yang kita tempuhi, Allah akan menghantarkan malaikat membisikkan sesuatu kepada roh, jiwa dan fitrah sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al-Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”

Berat rasanya menghadam kata-kata Imam Hasan Al Basri, “Jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja)."

Ya Allah ya zal jalali wal ikram,

Janganlah Kau jadikan Ramadhan ini sebagai yang terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang,

Tapi, andai takdirMu ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati, jadikanlah Ramadhan ini paling bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha serta kasih sayangMu,

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan ini sebagai penghapus dosa-dosa kami, temukanlah kami dengan lailatul qadr, pilihlah kami di kalangan hambaMu yang dapat beramal di malam al-Qadr,

Ya Allah, terimalah amalan kami, terimalah taubat kami, ampunkanlah segala dosa kami, amankanlah kehidupan kami di sana nanti yang kekal abadi. Kurniakanlah kepada kami syurgaMu yg maha luas nikmatnya,

Ya Allah, jadikan kami hambaMu yang bertaqwa dan terus istiqamah dengan ketaatan kepadaMu..

Amin Ya Rabbal Alamin.

Ramadhan masih berbaki. Syawal masih belum lagi. Jangan dihalau Ramadhan pergi. Nanti Syawal tiada erti.
#masriuia

10072015
UIAM
Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories