"Everyday is a brand new start"

30 September 2014

Aku Bertawakkal Hanya Kepada Allah...


Dia menyerah sebelum ada perintah Allah untuk menghentikan seruan dakwahnya. Takdir Allah, seekor ikan membuka mulut menelan tubuhnya yang terjun ke dalam lautan. Nabi Yunus berada dalam kegelapan. 

Maka berbahagialah hamba yang segera menyerah diri di hadapan Allah, serta mengadukan kelemahan, kesilapan, dan kehinaan. Di perut ikan Nun, dia menangisi kelemahannya dalam kegelapan, memuhasabah hari-harinya, dan mengaku telah berbuat dosa.

La ilaha illa Anta, subhanaKa, inni kuntu minazh zhalimin. Tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau; sungguh aku termasuk orang yang berbuat zalim.” (Al Anbiya’: 87)

Satu doa yang tak tergambar apa yang dipintanya, dijawab Allah dengan limpahan kurnia yang berganda. Dia hanya mengakui kelemahan dan kezalimannya pada diri sendiri. 

Nabi Yunus bukan hanya dikeluarkan dari perut ikan. Dia bahkan tidak perlu susah payah berenang, kerana ikan tersebut menghantarnya terus ke tepian. Dakwah Nabi Yunus turut berjaya, tepat pada saat dia mengaku berdosa di hadapan Allah. Ketika dia merasa tidak berdaya. Ketika hatinya tunduk memuliakan Allah 'Azza wa Jalla. Subhanallah. 

Begitu juga tatkala Nabi Musa berbincang mesra dengan Rabbnya. Hatinya mengharapkan makanan, namun kerana meyakini bahawa Zat yang Maha Memberi sejatinya lebih mengetahui, maka dengan rasa fakir menghadap Tuhan, Nabi Musa memohon:


"Wahai Tuhanku,sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan." (Al-Qasas:24)


Justeru Allah dengan kurniaan-Nya membalas dalam bentuk yang lebih baik berupa makanan, perlindungan, pekerjaan dan jodoh.

Kata Ustaz Salim A Fillah; "Siapa yang paling merasai tak berdaya di hadapan Allah, di saat itulah Allah jadikan dia yang paling berjaya."


"Aku bertawakkal hanya kepada Allah”; adalah ikrar ketundukan kita. Keindahan tawakkal dapat dirasakan apabila mendahulukan Allah dalam setiap yang didepani, tanpa bermaksud menidakkan usaha. 


Allah memberi kejutan buat Hajar setelah sehabis daya usahanya berulang-alik antara safa dan marwah mencari air. Ternyata, air itu keluar dari tanah bekas hentakan kaki anaknya Ismail.

Sahl At Tusturi mengatakan dalam Jami’ul Ulum wal Hikam; “Barangsiapa mencela usaha (meninggalkan sebab) maka dia telah mencela sunnatullah (ketentuan yang Allah tetapkan). Barangsiapa mencela tawakkal (tidak mahu bersandar pada Allah) maka dia telah meninggalkan keimanan." 

Pak Hamka menyebut dalam Tasawuf Moden; "Perumpamaan tentang orang yang tawakkal bahawa bukanlah orang yang tawakkal itu orang yang tidur dibawah pohon yang lebat buahnya seumpama buah durian. Kerana kalau buah itu jatuh digoyang angin, dan orang yang tidur tersebut ditimpanya, itu adalah kesia-sian belaka."

Iblis memperdayakan segolongan orang yang mengaku tawakkal, lalu mereka berpergian jauh tanpa membawa bekal, kerana mereka menganggap tindakan seperti ini termasuk tawakkal. Tentu sahaja mereka itu salah. (Ibn Qayyim, Talbis Iblis)


Inginkan makanan, harus membeli dan memasak. Inginkan kejayaan dalam peperiksaan, perlu rajin membaca dan belajar. Ingin meninggalkan harta di mana-mana, perlu berwaspada dan memastikan tempat itu selamat. Inginkan jodoh yang baik, perlu ada tindakan dan kesungguhan.


“Apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah sukakan golongan yang bertawakal” (Ali Imran :159)


Indah aturan Allah bagi mereka yang menjiwai tawakkal:


“Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (At-Talaq: 2-3)




Share:

14 September 2014

Kerugian Abadi


“Kenapa antum ramai yang belum berkahwin? Sedarkah antum bahawa antum sedang membuang waktu!”

Kami sedikit tersentak dalam sesi taaruf. 


“Rasulullah sangat berbangga memiliki umat yang ramai” Sambung beliau tegas.

Khutbah nikah menjadi muqaddimah kelas pertama 'Manahijul Muhaddithin' pagi Ahad itu.

Mungkin ini skill Professor Dr. Mohamed Abu Laith al-Khaira al-Abadi hafizahullah menjemput mood pelajar di awal kelas. Fikir saya. 

Ya, kalau jodoh pasti bertemu!

Sejak semester lepas, saya menyimpan hasrat untuk menyertai kelas beliau meskipun terpaksa menjadi mustami'at sahaja. Alhamdulillah.. semester ini, Allah anugerahkan rezeki menuntut ilmu hadis terus dari seorang ulama' bidang hadis di Malaysia. Pelajar bidang Al-Quran dan Hadith sangat bertuah mempunyai beliau sebagai tempat rujuk.

Saya mengenali nama beliau sejak kitab `Ulum al-Hadith bainal Asalah wa al-Mu`asarah menjadi kitab rujukan utama subjek Ulum Hadith di USIM ketika zaman Sarjana Muda. Tak disangka-sangka, saya dapat bertemu penulisnya sendiri di UIAM. Selain sebagai pengarang kitab Takhrij al-Hadith, beliau turut terkenal dalam kalangan pelajar Master UIAM sebagai musyrif Ph. D seorang tokoh yang tersohor di Malaysia; Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Kata Dr Asri dalam artikel beliau 'Kembara Ilmu ke India', beliau bersama seorang sahabat telah pergi ke India membawa surat sokongan peribadi daripada Dr. Abu Laith. Sememangnya, Dr. Abu Laith juga berasal dari India, pernah belajar di Deoband dan mendapat Ph.D dari Umm al-Qura, Mekah. Hasilnya, mereka dapat bertemu, menziarahi, mengambil manfaat daripada beberapa ulama hadith India. Dr. Asri sempat membaca Risalah al-Awail, petikan dari kitab-kitab hadith di hadapan mereka serta nasihat-nasihat yang berguna. Juga mereka mengijazahkan sanad mereka.


Nah, justeru satu KERUGIAN ABADI jika saya tidak meneguk ilmu hadis dari beliau!


Al-Khatib Al-Baghdadi rahimahullah berkata:


“Kemudian aku wasiatkan kepadamu, wahai penuntut ilmu! Luruskanlah niat dalam menuntut ilmu dan bersungguh-sungguhlah dalam mengamalkannya. Kerana, ilmu Syar’i ibarat pohon dan amal itu merupakan buahnya. Dan seseorang tidak dianggap sebagai orang berilmu selama ia belum mengamalkan ilmunya”


[Iqtidha Al-'Ilmi Al-'Amal, hal 14]



#catatanmasteruiam


Share:

02 September 2014

Inilah Universiti Kehidupan


Jika semua yang kita kehendaki terus kita miliki
Lalu dari mana kita belajar ikhlas

Jika semua yang kita impikan segera terwujud
Lalu dari mana kita belajar sabar

Jika setiap doa kita terus dikabulkan
Lalu bagaimana kita dapat belajar ikhtiar

Seorang yang taat kepada Allah
Bukan bererti tiada cacat dan kekurangan

Seorang yang tekun berdoa
Bukan bererti tidak ada masa-masa sulit

Ketika kerjamu tidak dihargai
Saat itu kamu sedang belajar tentang ketulusan

Ketika usahamu dinilai tidak penting
Saat itu kamu sedang belajar tentang keikhlasan

Ketika kamu lelah dan kecewa
Saat itu kamu sedang belajar tentang kesungguhan

Hari-hari yang dilewati harus diingat
Bahawa kita sedang menimba ilmu dalam universiti kehidupan.

Sesiapa yang jatuh ke dalam sungai
Jangan berhenti berharap walaupun terpaksa memegang ekor ular



Nukilan Ustazah Norhafizah Musa

Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories