"Everyday is a brand new start"

30 December 2014

Ketika Allah Membersihkan Kita

"Setiap Diri Kan Diuji...Dengan Sesuatu yang Dicintai… ♫ "

"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?" (Al-Ankabuut:2)

Telah 2 minggu saya ketiadaan tablet Samsung yang sudah bersama hampir 2 tahun. Ini bermakna, tiadalah whatsapp, internet dan segala perisian dan simpanan menarik di dalamnya. 

Jatuh hanyalah sebab untuk menjadikan tablet itu rosak.

Fitrahnya, manusia akan bersedih dengan kehilangan melainkan setelah menelaah takdir Allah. Teringat pesan terakhir Ustaz Jefry Al Buchory (UJE):

"Kecintaan itu biar di tempatnya, bukan di hati.

Kalaupun cinta pada manusia, harta benda dan seumpamanya itu harus berada di hati, biarkan mereka di kulit luar hati kerana di dalam hati itu perlu hanya Allah.

Jangan biarkan Allah jadi cemburu kerana itu semua. Sesungguhnya Allah Maha Pencemburu."

Benarlah, Allah itu cemburu bila hambaNya mengutamakan selainNya. Tablet banyak merencatkan urusan hafalan dan bacaan Al-Quran saya. 

Allah berhak menariknya dari saya. Alhamdulillah..

Itu hanyalah secebis ujian kecil. Apatah lagi ujian-ujian besar yang membuat Malaysia menangis di penghujung tahun 2014.



8 Mac 2014, dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MAS MH370. Sehingga ke hari ini, pesawat itu tidak ditemui dan kehilangannya masih menjadi tanda tanya. Sekali lagi pada Khamis 17 Julai 2014, bukan sahaja Malaysia malah dunia menerima kejutan besar apabila pesawat MAS MH17 ditembak jatuh dan mengorbankan 298 penumpang semasa dalam perjalanan pulang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pada hari Ahad 28 Disember, dunia menangis lagi setelah serpihan dan jasad penumpang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui selepas didapati hilang dari radar.

Seterusnya, kejadian banjir besar di negeri Kelantan khususnya, negeri-negeri pantai timur sehinggalah ke utara. Tragedi ini mengorbankan beberapa orang rakyat Malaysia dan segala harta benda sehingga ada yang 100% musnah.

Astaghfirullah. Rakyat Malaysia memang wajar bersedih.

Kesan banjir besar di Manek Urai Kelantan.
Bertafakurlah sebentar, sambil merenung firman Allah Taala:

“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” (AsSyuura :30)

Sungguh, kitalah yang menzalimi diri sendiri. 
Renungi ayat seterusnya dalam surah Yusuf.

“Dan janganlah kamu berputus asa dari Rahmat ALLAH. Sesungguhnya tiadalah yang berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir". (Yusuf:87)

Setiap kejadian ada hikmahnya dan hikmah tak akan terbaca oleh orang yang emosional serta cintakan dunia.

Kekuatan seseorang pada cubaan hidup sangat berkait rapat dengan kemampuan membaca hikmah Allah.

Larut dalam cubaan hidup tak membuahkan apa-apa sehinggalah kita bertaubat.

“Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Nuh: 10-12)

Barangkali banyak dosa kita yang tak terhapus dengan istighfar dan ibadah. Maka digugurkan dosa di dunia dengan bencana.

Bersyukurlah pada Allah dalam apa jua keadaan yang ditakdirkan, inshaAllah hati akan jernih melihat hikmahnya.

Berdoalah seperti doa Nabi Yunus ketika diuji:

"Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim." (Al-Anbiya’:87)

Cukuplah menyalahkan orang lain. Berbaliklah melihat kesalahan diri sendiri. 

Tidak ada yang akan berlaku kecuali dengan izin Allah. Kun fayakun.

Yakinlah, selepas kesusahan pasti diiringi kesenangan. Masa menunggu itu indah jika hati terus yakin pada janjiNya.

Semoga jari jemari ini tidak menulis semua ini dengan hati yang kotor.

Ya Allah, ampunkanlah kami.

#31122014.

Countdown to the new better of me in 2015. (Amin)

Share:

13 December 2014

Pintu-Pintu Kesempatan


Alhamdulillah..

Saya berkesempatan menemani detik terakhir sahabat saya Monalisa di Malaysia. Hari ini katanya, hari yang sangat dinantikan sepanjang setahun berada di Malaysia. Kerinduan kepada si suami sudah tak tertahan lagi, sehingga akhirnya dia memutuskan untuk bermukim di Ireland.

Kerinduan kini hadir.

Melihat jendela kamarnya, terkenang saat dia tersenyum melihat kepulangan saya dari kerja dan tolong membukakan pintu sebaik melihat saya keletihan.

Rindu pula pada jeritannya ketika sang meow muncul di ruang tamu bilik kami.

Dulu, saya paling tak tahan dengan bau masakan Bangladeshnya. Tapi sekarang, itu pun jadi kerinduan.

Selamat tinggal dan entah bila kita akan jumpa lagi.

Berbual dengan teman seperjalanan, saya meluahkan rasa. Masa itu sungguh pantas berlalu. Apakah seseorang itu hadir dalam hidup kita hanya untuk berpisah? Ah, entah ke mana-mana fikiran ini!

Setiap langkah kita adalah kesempatan.

Kesempatan untuk menghargai. Kesempatan untuk memberi. Kesempatan berbuat yang terbaik.

Dan, kita selalu terlepas kesempatan.

Yang namanya 'Kesempatan' telah Allah beri peringatan di dalam Al-Quran.

“(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia),  
agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sampai hari mereka dibangkitkan.” 
(Al-Mu’minun: 99-100).

Lihatlah ayat di atas, orang-orang kafir membuat rayuan kepada Allah untuk dikembalikan ke dunia.

Kembali kepada kita,

Apakah kesempatan hidup di dunia ini telah kita pergunakan sebaiknya? 

Apakah kita sudah menyiapkan sesuatu untuk dipersembahkan di hadapan Allah nanti? 

Semoga kematian menjadi khabar gembira untuk kita.


I wanna go far. Who want to travel with me?


Kesempatan bersama sahabat-sahabat adalah sebahagian kamus hidup kita. Setiap orang memberi rasa dan pelajaran yang berbeza.

Dalam tempoh kesempatan ini, saya merasa bersyukur ditempatkan Allah di UIAM. Bertemu rakan-rakan "foreigner" terutamanya selalu membuat saya rasa jauh tertewas dalam kesungguhan dan semangat menuntut ilmu.


Kesibukan mereka mencari rezeki menampung kehidupan di negara orang, tak pernah mengalahkan kecintaan kepada ilmu.


Meskipun budaya mereka terkadang mencipta suasana hati yang membara, namun inilah tarbiyah agar kita mampu menerima perbezaan dengan hati terbuka.


Maka bagi setiap orang yang hadir dalam hidup kita. Separuhnya mungkin adalah ujian, manakala separuh lagi mungkin menjadi bahagian hidup kita.

Lihatlah kesempatan di tengah-tengah,

Antara kata 'hadir' dan 'pergi'.

Wallahu'alam.

#141214 (cantik tarikh hari ni)



Share:

06 December 2014

Nikmat Allah. Ingat Tak?


Saya banyak menulis berdasarkan pengalaman hidup. Kali ini, izinkan saya bercerita satu lagi kisah peribadi yang baru terjadi.

Sebelum ini, saya kerap berdoa dalam hati.

"Ya Allah, saya sangat mengharapkan kurma pemberian-Mu. Kurma simpanan saya sudah mahu habis"

Pastinya ada yang tergelak dengan doa saya. Sebenarnya, ketika itu saya ada terdengar bahawa banyak kurma yang dijual di Malaysia tidak berkhasiat sepertimana kurma dari Arab Saudi.

Hari berganti hari, saya menanti kurma pemberian Allah sehingga akhirnya saya terlupa dengan doa saya tersebut.

Pada hari Jumaat yang penuh berkah, Allah dengan kemurahanNya memberikan saya kurma dari jalan yang tak disangka-sangka. Bukan hanya beberapa biji, tetapi sekotak besar kurma dari Mekah, bersama kurma ajwa kesukaan Nabi melalui seseorang sebagai hadiah untuk saya.

Saya terharu. Alhamdulillah, Allah itu Maha Mengabulkan hajat hamba-Nya.


Pada hari yang sama, saya didenda dengan sejumlah wang yang agak banyak kerana kesalahan seseorang yang tidak saya ketahui. Saya merasa dizalimi.

Kita manusia, mudah lupa.

Teringat saya kata-kata Ustaz Ebit Lew; 'Musibah itu Rahmat.'

Saya yakin, musibah ini ujian yang di dalamnya ada rahmat Allah.

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"

Mengingati nikmat Allah. Itulah penawar bagi jantung hati insan. Itu ubat bagi nurani insan. Penawar terhadap takdir yang memberat di jiwa.

Allah baru menghadiahkan saya kurma sepertimana permintaan saya. Persoalannya; layakkah saya untuk memarahi Allah? Bahkan duit dan segala harta benda itu milik-Nya jua.

Berkata Ibnu Athaillah dalam Syarah Al-Hikam:

"Barang siapa yang tidak mensyukuri nikmat bererti menginginkan hilangnya nikmat tersebut dan barang siapa mensyukurinya bererti dia telah mengikat nikmat tersebut dengan talinya".

Mengingati nikmat itu ujian. 

Dan pada nikmat yang tertangguh, maka bersabarlah dan ingatlah nikmat-nikmat yang sedang ada pada kita.

Ingatkah kisah seorang yang kaya dan suka bersedekah? Setiap pagi, orang kaya akan melemparkan duit kepada orang ramai.

Berebut-rebut orang mengutip duit. Mereka ambil dan berlalu pergi.

Namun untuk seseorang yang istimewa, pasti orang kaya akan mengajak orang tersebut masuk ke rumah, dihidangkan makanan dan diberi pemberian dalam keadaan terhormat tidak seperti orang lain.

Kerana orang itu 'istimewa'.

Maka begitulah dengan Allah, wa lillahi masalul a'la.

Bilamana seseorang hamba itu istimewa di sisi Allah, kadang-kadang Allah menangguhkan pemberianNya untuk diberi yang terbaik berbanding hamba-Nya yang lain.

Justeru di dalam ujian nikmat itu ada syukur, sabar dan cinta.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. 
(Al-A'raf :179)


Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories