"Everyday is a brand new start"

30 June 2015

Doa Sebelum Ngaji


Adira (bukan nama sebenar) tarik muka dua belas,"Haishhh ustazah ni.. banyak betul komen

"Esok nak dengar Adira baca doa tu pelan-pelan. Ni laju benar, tak feel langsung."

Mana tidaknya, baca doa macam kejar kereta api.

Doa ngaji yang disediakan bersama terjemahan bukan hanya disyaratkan baca (syarat untuk kelas Al-Quran saya), tapi tujuannya untuk dihayati.

Teringat pesanan Dr Asri Zainal Abidin:
"Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab."

Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini. Tambah Dr MAZA lagi, walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya. Ini kerana gagalnya insan tersebut untuk memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti.


Bagi kita yang ingin memulakan bacaan Al-Quran, eloklah sama-sama memperbaiki hubungan kita dengan Al-Quran melalui doa dan harapan.

Dalam kuliah dhuha muslimat baru-baru ini, Ustazah Norhafizah Musa ada berkongsi sebahagian niat yang perlu diurus oleh hati sebelum membaca Al-Quran. Antaranya:

1) Niatkan agar Al-Quran dapat memberi syafaat dan menjadi hujah di akhirat.

Setiap kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Firman Allah bermaksud:

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga." (Surah Al Isra’ : 7) 

Justeru, apabila kita benar-benar mengharapkan Al-Quran menjadi syafaat di hari akhirat, kesannya kita tidak akan membacanya dalam keadaan lalai. InshaAllah, setiap pengorbanan kita sama ada untuk mentadabbur, menghafal, mengamalkan, dan mengajarkan termasuk dalam kebaikan yang akan berbalik kepada diri kita.

2) Niatkan agar mendapat kurniaan Agung dari Allah.

Bayangkan kita dijemput ke satu majlis sebagai vip. Kita tak perlu bersusah payah mencari parking, malah diarak sehingga ke tempat duduk. Ketika tiba waktu makan, kita dihidang dengan makanan yang jauh lebih menyelerakan. Wah, berbunga-bunga hati menjadi istimewa!

Begitulah analoginya kurniaan agung dari Allah yang sesungguhnya jauh lebih baik, buat duta agama-Nya. Siapakah mereka? 

“Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para sahabat bertanya, “Siapakah mereka ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Para ahli Al-Quran. Merekalah keluarga Allah dan hamba pilihan-Nya.”
(Disahihkan oleh Al-Albany dalam sahih Ibnu Majah)

Semoga, intimnya kita dengan Al-Quran menjadi sebab Allah memilih kita menjadi ahli-Nya. 
Amin.

3) Niatkan agar penyakit-penyakit hati hilang.

Hati manusia itu berbolak balik sifatnya. Kata Imam Al Ghazali:
"Belum pernah aku berurusan dengan sesuatu yang lebih sulit daripada jiwaku sendiri, yang kadang-kadang membantuku dan kadang-kadang menentangku."
Maka carilah kalam Allah sebagai penawarnya.

“Hanya dengan mengingati Allah hati-hati menjadi tenang tenteram." (Surah Al-Ra’du: 28)

Jika masih ada perasaan dengki, riak, buruk sangka, sukakan perhatian orang, sombong dan sebagainya, ini bermakna tadabbur Al-Quran kita masih kurang. Hati kita masih lalai dari peringatan dan nasihat Allah.

Firman Allah dalam surah As Sajdah ayat 15 bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang benar-benar percaya kepada ayat-ayat Kami adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya, dan lagi pula mereka tidaklah sombong”. 

Semoga hati kita kembali hidup, mati hati kembali bersinar dan dibuang kesedihan dalam diri kita.

DOA PARA PECINTA AL-QURAN

Rasulullah saw  bersabda :

“Barangsiapa yang sedang mendapatkan musibah, kesedihan hati dan kegundahan jiwa kemudian membaca do’a ini pastilah Allah akan menghilangkan semua kesedihan dan kesulitannya serta menggantikan dengan jalan keluar baginya”.

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجَلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذَهَابَ هُمُوْمِناَ

“Ya Allah jadikanlah Al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, pelipur duka kami dan penghapus kesedihan kami”.

Lalu seseorang bertanya kepada Rasulullah saw,

“Ya Rasulullah, bolehkah kami menghafalkannya ?”.

Beliau menjawab : “Aku anjurkan bagi yang mendengarnya agar menghafalkan (dan mengamalkannya)”.

(Hadis Riwayat Hakim dalam Al-Mustadrak, beliau berkata : Hadis ini Sahih dengan persyaratan Imam Muslim)

14 Ramadhan 1436H
01072015
UIAM

Share:

26 June 2015

Cahaya di atas Cahaya


Bismillah.
"Hati itu Allah yang pegang, bukannya orang. Hidayah dan petunjuk tu memang Allah yang bagi."   -Hlovate- 
Dalam surah Al-Qasas ayat 56 pun Allah dah ceritakan;
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)."
Kenapa Masih Resah?

"Zu rasa aunty dah terlambat ke?"

"Tak aunty, bagi saya tak ada istilah terlambat untuk berhijrah. Mungkin kelihatannya kita terlambat dari orang lain, tapi hakikatnya menurut Allah itulah yang terbaik. Barangkali kita akan lebih menghargai. Kita akan lebih mensyukuri. Kita juga yang lebih istiqamah setelah liku-liku ujian yang kita tempuhi."


Saya pandang wajah tenang aunty. Detik awal perubahan diceritakan dengan mata berkaca, menahan air mata mungkin.

"Selesai solat, tiba-tiba Allah ilhamkan aunty untuk membuka kotak tudung. Dengan izin Allah, aunty mencuba dan terus istiqamah memakainya. Lama sudah berniat untuk berhijrah, tapi kerapkali keadaan tak mengizinkan. Bukan tak pernah aunty dicaci dan diasing oleh orang-orang yang bertudung, tapi ketika itu aunty tawakkal pada Allah. Aunty tak suka berubah kerana dipaksa."

Baru ingin berubah di kala umur mencecah 60-an, ada rasa sesal di hati.

"Dulu, aunty sibuk sangat kejar dunia sampai lupa Al-Quran."

Biarpun memiliki wang yang banyak, dikelilingi teman-teman orang berada dan berjawatan besar, namun seringkali aunty tertanya-tanya, mengapa aku tetap resah?

"Sekarang aunty dah dapat jawapan. Ketenangan tu, bila kita dekat dengan Allah. Kembali pada Allah."

Air mata aunty tumpah akhirnya ketika membaca doa penutup Al-Quran.

Ya Allah rahmati kami dengan Al-Quran,
Jadikan ia pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat...

Mama Cantik Bertudung

"Kenapa mama tak pakai tudung? Teacher abang kat sekolah semua pakai tudung." 

Soalan yang sungguh menusuk jiwa, lebih-lebih lagi bila disoal anak sendiri. Terdetik sesuatu, namun dibiarkan seperti angin lalu.

Suatu hari, Nurul cuba bertudung. 

"Mama, cantiknya mama bertudung!" Kata abang, anak Nurul kegirangan. Mahu mengalir air mata Nurul. 

Itulah saat disapa hidayah Allah. Nurul tekad bertudung, belajar Al-Quran, dan tunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak.

Alhamdulillah.. 

Al-Quran mentarbiyah Nurul menjadi muslimah solehah yang menutup aurat, menjadi isteri yang mula solat berjemaah bersama suami dan mendidik anak-anak dengan pendidikan agama.

Cahaya Wajahnya Berbeza

Di dalam tafsir Ibnu Kathir ada mengatakan, kejernihan hati seorang mukmin dek kerana cahaya imannya didapati dari hidayah Allah swt. Maka cahaya iman itulah yang menerangi hatinya, lalu terus menerangi seluruh jasadnya pula.

Hati yang sudah diterangi api iman, perlu kepada minyak untuk terus dinyalakan, dan minyak itu adalah hidayah dari Al-Quran. 

Sudah setahun berlalu sejak memulakan pengajaran Al-Quran kepada Kak Lutfiah. Banyak yang kelihatannya berbeza. Dahulu dan kini.

Air muka yang dulunya suram kini tidak lagi. Hijabnya pula benar-benar dipakai rapi. Kata-katanya menjadi lembut dan berisi. Saya yakin, inilah kesan dari hebatnya ayat-ayat Ilahi. Subhanallah.

"Zaman muda dulu, saya terlampau sibuk mencari rezeki. Sekarang saya tekad untuk memperbaiki diri."

Sejengkal manusia ingin mendekati Ilahi, sehasta Allah akan menghampiri. Sebagai seorang yang telah banyak menempuh ujian hidup, merasai jatuh bangun kehidupan yang akhirnya menemukan kepada hidayah Tuhan, kata-kata Kak Lutfiah kadang jauh lebih berbekas di hati saya. 

Cahaya di atas cahaya. 

Indah misalan Allah dalam surah an-Nur ayat 35. Apabila Allah memberi misalan di dalam Al-Quran, bermakna Allah nak highlight kan realiti kepada spiritualiti.

Catatan kuliah bro syarief Nur ala Nur
Hati kita yang selalu dibersihkan akan bercahaya. Di dalam hati adanya juga ruh yang berasal dari sumber yang bercahaya. Dan makanan ruh kita juga bercahaya iaitu Al-Quran. Begitulah, cahaya di atas cahaya. 

Al-Quran mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah swt, bertaqwa kepadaNya, mempunyai sangkaan baik terhadapNya. 

Al-Quran mengajak manusia berfikir, cinta kepada kebenaran, bersedia menerima kebenaran. Malah mengajak manusia supaya berilmu dan berbudaya ilmu.

Al-Quran mengajak manusia supaya berhati lembut, berjiwa mulia, sabar, tekun, berjihad, menegakkan kebenaran dan kebaikan.

Al-Quran mengajak manusia supaya bersatu padu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturrahim.

"Akak rasa nak nangis je first time dapat baca huruf bersambung..." 
Allahu, sebak saya mendengar. 

Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan? 

Sungguh, masih ramai di dunia ini yang perlukan bimbingan kepada cahaya dan berhak merasainya. Bahkan kita sendiri hanya akan merasai sebenar-benar kekenyangan dengan tidak sekadar membaca, tetapi mentadabburi Al-Quran.
"Manusia selalu memaknai kewajipan dari Allah sebagai beban bukan solusi sehingga menjadi berat. Andai saja manusia memaknainya sebagai solusi, manusia akan meminta kewajipan itu ditambah." -Ustaz Deden-       
Ya Allah, berikanlah kami cahaya dari setiap huruf Al-Quran yang kami lihat dan kami lafazkan.

Amin.

26062015
09Ramadhan1436H
UIAM 

Share:

15 June 2015

Berinfaq di Jalan Al-Quran

Ustaz Deden dan Ustaz Bachtiar bersama Dr Abd Basit


"(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. 

Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran."

(Surah Ar-Rahman : ayat 1-2)

Disangka yang muncul dalam Seminar Nikmatnya Menghafal dan Bertadabbur al-Quran hanya Ustaz Bachtiar Nasir; Pemimpin Ar-Rahman Qur’anic Learning (AQL) Center dan Pemimpin Pesantren Ar-Rahman Qur’anic College (AQC), namun Allah dengan kejutan-Nya menghadirkan Ustaz Deden Muhammad Makhyaruddin,  Juara Tahfiz & Tafsir Internasional di Moroko tahun 2011. Kisah Ustaz Deden pernah saya catatkan di sini.

Sepertinya ingin sujud syukur, kerana memang menjadi impian untuk mendengar tausiyah Al-Quran langsung dari beliau, setelah diceritakan oleh Ustazah Norhafizah Musa.

Buku Ustaz Deden
"Menghafal Al Qur’an itu seperti memasuki taman indah yang luas. Yang keindahannya membuat orang jadi betah berlama-lama menikmati taman itu.Lalu kenapa kita harus buru-buru keluar dari taman yang indah itu?" (Ust. Deden)

Tulisan ini sempena Ramadhan yang bakal hadir, semoga Allah memberkati kita di bulan mulia, bulan Al-Quran.

Barakah Al-Quran itu mutiara, dan yang dapat memilikinya adalah para ulul albab yang membaca, mempelajari, mengambil pengajaran, mengamalkan, seterusnya mengajarkan. Kata Ustaz Bachtiar, inilah komponen penting tadabbur Al-Quran.

Ramai orang SALAH cara interaksi dengan Al-Quran kerana mengikut cara yang kita suka, bukan yang disukai Al-Quran. Antara kesalahan yang sering kita lakukan:

1) Membaca Quran kalau sempat
2) Mempelajari Quran kalau ada mood
3) Menghayati Quran kalau menerima musibah
4) Mengamalkan Quran kalau menguntungkan diri


Jika kita ditanya, "Bagaimana cara syukurmu pada nikmat Allah?"

Maka bisa dijawab, "Dengan Al-Quran yang ada di hati". Allahu.. Inilah jawapan orang-orang yang dekat dengan Al-Quran.

Al-Quran antara nikmat terbesar buat kita semua. Barangsiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat ini, justeru ia tak akan bisa menikmati. Jika penghafal Al-Quran hanya kejarkan hafalan, akibatnya sehingga ke akhir ia tak akan menikmati. Tambah Ustaz Deden, berjaya hafal atau tidak itu pekerjaan Allah, kerja kita menghafal dan mentadabburi.

Kalau sudah nikmat, semuanya pasti menyenangkan. Bukankah kenikmatan dirasai saat makan, bukan setelahnya? 

"Dan apabila engkau (Muhammad) membaca Al-Qur'an, nescaya Kami (Allah) adakan antara engkau dan orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat itu, suatu dinding yang tertutup." (Al-Isra':45)

We welcome you month we all adore,
We pray for happiness and more,
To all the people open up your door,
Peace love and joy
Ramadhan..
-Syeikh Mishary Rashid Alafasy-
"My favourite song of Ramadhan special to the blog readers"

Berdisiplin dengan waktu bukan bererti seberapa banyak yang dihafal dalam satu waktu, tapi seberapa setia dengan waktu untuk hafal Al-Quran.

"Ya Allah, cintakan aku pada iman, cintakanlah aku pada Al-Qur’an. Mampukan diri ini untuk setia hidup bersama Al-Qur’an minimal satu jam per hari." Beginilah kira-kira doa Ustaz Bachtiar. 

“Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (An-Nahl: 89)

Kesimpulannya, tilawah, tadabbur serta hafalan Al-Quran tujuan utamanya agar kita tergolong bersama golongan muttaqin yang mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat, inshaAllah.

Ahlan Ya Ramadhan Mubarak!

Pesan Ustaz Deden, Ramadhan itu nikmat bagi mereka yang berjaya menewaskan hawa nafsunya. Orang-orang ini buka puasanya sama nikmatnya dengan sahur. Tarawih dengan bacaan panjang sama nikmatnya dengan bacaan pendek. 

Rasa senang kerana nafsu, hanya di permulaan.
Rasa senang kerana Allah, lahir setelah mujahadah.

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan kali ini kami lebih menikmatinya, lebih memanfaatkannya dan lebih baik berbanding sebelumnya.

Âmîn, yâ Mujîbassâ’ilîn…


Catatan 13 Jun 2015, countdown to our love Ramadhan.

Share:

03 June 2015

Fastabiqul Khairat!



Syaikh Ibnu Atho’illah menerangkan; 
“Jangan menuntut Allah kerana terlambatnya permintaan yang telah engkau minta kepada-Nya, tetapi hendaknya engkau koreksi dirimu, tuntut dirimu, supaya tidak terlambat melaksanakan kewajipan-kewajipanmu terhadap Allah, Tuhanmu.”

Jika kita mengenal Allah dengan baik, maka pasti kita tidak akan protes terhadap Allah atas apapun yang Allah tetapkan untuk kita. Kerana, Allah adalah pencipta kita, Allah yang memiliki diri kita, dan Allah Maha Tahu segala permasalahan dan keperluan kita.

Ada kalanya dalam keadaan lapar, Allah menghendaki agar kita tidak langsung bertemu dengan makanan sehingga beberapa saat kita harus merasakan lapar lebih lama.

Namun, pasti ada hikmahnya. Boleh jadi supaya kita lebih mensyukuri nikmat Allah, yang mana selama ini kita seringkali lupa jika makanan dengan mudah kita temukan.


Dengan ditundanya makanan, maka ketika kita akhirnya bertemu dengan makanan meski sedikit saja, rasanya akan lebih nikmat. Kalau kita terbiasa dengan makanan yang berlimpah, maka akan kurang rasa syukurnya. Maka, untuk melatih kita pandai bersyukur, ditahanlah makanan oleh Allah.

Justeru, janganlah berburuk sangka kepada Allah jikalau suatu saat ada permohonan kita atau ada kebutuhan kita yang kita rasa terlambat terpenuhi. Walaupun, kita telah berdoa dan berusaha sekuat tenaga, namun harapan kita masih belum juga terwujud.

Allah Swt. berfirman dalam sebuah hadits qudsi, “Aku sesuai dengan persangkaan hamba pada-Ku.” (Muttafaqun’alaih).

Pada akhirnya, bila kita sudah bersangka baik dengan Allah dan berusaha menjadi hamba yang bersyukur, maka tiada masalah doa kita terlambat dikabulkan. Kerana, keterlambatan pun hanyalah pada penilaian kita saja sebagai makhluk. 

Yang menjadi masalah adalah jikalau kita terlambat solat di awal waktu, terlambat sedekah, terlambat tilawah Al-Quran, terlambat menolong orang lain, berbuat dosanya banyak namun istighfarnya terlambat. Lebih baik ketika kita merasa ada yang terlambat dari Allah, segera kita periksa apa yang terlambat dari diri kita.

Allah tahu kita memperbaiki diri, Allah tahu kita menyegerakan istighfar dan taubat, Allah tahu kita menyegerakan amal-amal soleh kita. Demi Allah, semua ini tidak akan sia-sia di hadapan Allah. Allah akan membalasnya dengan kebaikan yang tiada pernah kita bayangkan sebelumnya.

Yakinilah bahwa ketika terlintas di dalam fikiran kita bahawa Allah terlambat menolong kita, sesungguhnya pada saat yang sama kita sedang melupakan berbagai nikmat Allah yang sudah dan sedang kita rasakan. 

Tutuplah mata sebentar dari melihat nikmat yang Allah berikan pada orang lain yang belum kita kecapi. Kembalilah kepada sikap yang terbaik dan sangat disukai Allah, iaitu fokus pada diri kita untuk terus memperbaiki diri dan memperbaiki hubungan kita kepada-Nya. 


Dan bila datang pertolongan juga janji-Nya, kita akan mensyukurinya lebih dari biasa.

Semoga kita termasuk orang-orang yang sentiasa menyegerakan diri melakukan amalan-amalan yang diridhai dan dicintai oleh Allah.

"Jika kamu berdoa, berdoalah dengan tulus. Kamu tidak akan pernah takut doamu tidak sampai, kamu tidak perlu khawatir doamu tidak terkabul. Karena semua doa itu dikabulkan, hanya caranya saja kita yang tidak bisa memahami bagaimana sebuah doa bisa terkabul, kapan terkabulnya, dan bagaimana bentuk jawabannya.” -masgun

Fastabiqul khairat!



-Ditulis oleh AaGym


Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories