Dato’ Dr.Mahmood Zuhdi ada menyebut antara langkah untuk
kesatuan ummah ialah penguasaan ilmu. Dalam sejarah tamadun Islam banyak
kenyataan yang menunjukkan bahawa penguasaan terhadap ilmulah menjadi dinamo
yang menggerakkan masyarakat Islam pada waktu itu kuat ke arah pembinaan tamadun
yang tinggi.
Dalam mengejar penguasaan ilmu, bagi saya, ada perlunya
kita memuhasabah kembali kekurangan dan kelemahan sebagai penuntut ilmu.
Asas yang rapuh
Dr ‘Aidh Abdullah al-Qarni menukilkan kata-kata Imam al
Mawardi dalam kitabnya ‘Asyiq:
“Bangunan yang dibuat tanpa asas, tidak akan mampu berdiri
kukuh. Sebiji buah tidak mungkin dapat dipetik tanpa ada pokoknya.”
Realiti yang berlaku kepada pelajar hari ini ialah tergesa-gesa
dalam menuntut ilmu sehingga mengabaikan prosesnya. Kebanyakan kita melihat
terus kepada isi sesuatu pelajaran tanpa mempelajari mukaddimahnya seperti
mengetahui tujuan belajar padahal ilmu itu ada awal yang akan membawa kepada
penghujungnya. Akhirnya, kita akan tidak memahami akhir kepada suatu
permasalahan yang berlaku.
Analoginya mudah, kita tidak boleh berada terus di dalam
rumah melainkan terlebih dahulu masuk melalui pintu.
Mengabaikan isi dan intipati
Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam karya beliau “Fiqh Awlawiyyat”
juga menjelaskan satu lagi kelemahan pada mereka yang sedang mempelajari ilmu
agama iaitu; mereka hanya mempelajari sekadar kulit-kulitnya sahaja, tidak
terus sampai kepada isi dan intipati; membahas sekadar permukaannya sahaja,
tidak terus masuk ke dasarnya untuk mengutip intan permata yang tersembunyi.
Akibatnya, syari’ah akan terasa tidak lengkap dan kurang
sempurna untuk kemaslahatan hidup manusia.
Pendekatan yang tidak menyeluruh dan partial inilah yang
menimbulkan kesempitan kepada perkara yang telahpun Allah beri kelonggaran.
Mengutamakan kefahaman
Selain itu, kebanyakan penuntut ilmu akan cepat melupakan
pelajarannya setelah selesai daripada peperiksaan dan ujian. Kata Dr Yusuf
Al-Qardhawi, hal ini berlaku apabila pelajaran tersebut tidak dipelajari dengan
sistem kefahaman dan pengertian. Kesalahan yang banyak berlaku ialah mereka
lebih banyak menghafal daripada kefahaman yang benar, walhal hafalan hanyalah
jalan untuk mencapai kefahaman.
Ramai juga penuntut ilmu yang 'skip' ke bahagian lain apabila menemui satu bab yang sukar difahami dalam pembacaan lalu meninggalkannya tanpa faham. Kata Dr Zaharuddin; Ketahuilah bab yang sukar itulah menjadikan kamu ilmuwan BERBEZA atau LEBIH LENGKAP dari orang lain. Jika ditinggalkan maka jadilah seperti lainnya yang mudah tersilap dek kerana lompong dalam kefahaman.
*******
Kita tidak pernah terlewat untuk memperbaiki kelemahan diri
sebagai penuntut ilmu. Sama-sama muhasabah diri dan renungkan serangkap sajak oleh penyair agung Islam ‘Umar Khayam:
-Catatan ini buat diri dan generasi, semoga mendapat manfaat-
0 comments:
Post a Comment