#14 February 2014
Wahai Jiwa-jiwa yang bersama Allah, bersabarlah!
Sejak awal kemasukan saya ke IIUM, iaitu bermulanya saya di CELPAD, ada insan yang melontarkan kata-kata yang menghiris hati saya. Kata-kata yang memperkecil-kecilkan usaha dan tekad saya. Menganggap apa yang sedang saya usahakan sia-sia.
Setelah saya berjaya EXIT, sekali lagi saya dilemparkan kata-kata yang sama. Sayu hati saya. Benar, jangan dihiraukan pandangan manusia pada kita. Namun, saya hanyalah manusia biasa.
Andai nya mereka tahu…
Andai mereka tahu, perasaan mereka yang pernah berada di CELPAD. Betapa ramai yang stress dan tak bisa bertahan sehingga memutuskan keluar dari IIUM. Ada juga yang hanya tinggal yakin pada Allah setelah berusaha berkali-kali dan Allah hanya memberi saya peluang selama 1 sem! Sujud syukur saya pada Allah. Anda pasti tak tahu bagaimana rasanya, tetapi nikmat ini tak harus saya sia-siakan.
Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”Surah Ibrahim : 7
Andai mereka tahu, saya ditimpa pelbagai ujian sebelum kemasukan saya di IIUM sehingga saya buntu jalan, sedangkan saya mahu menuntut ilmu. Saya tak punya duit yuran yang wajib dibayar sebelum masuk ke IIUM. Dalam masa yang sama, saya tak mahu meminta kepada orang tua saya. Dan, Allah beserta rahmat kasihNya memberi jalan keluar yang tidak disangka-sangka. Terharu saya dengan pertolongan Allah.
Andai mereka tahu, 4 tahun saya sia-siakan waktu menuntut ilmu di USIM. Saya tak bersungguh-sungguh dan belajar untuk peperiksaan. Cukuplah, cukuplah dengan kesalahan lama. Allah sudah menyedarkan saya agar jangan buang masa dan tajdid niat. Masih banyak lompong dalam masyarakat yang menjadi amanah untuk saya. Lalu bagaimana jika saya tak gunakan peluang kedua ini sebaik mungkin? Adakah anda pasti saya akan diberi peluang ketiga?
Andai mereka tahu, apabila diberi peluang menuntut ilmu ini sesungguhnya Allah akan mudahkan jalan ke syurga. Saya tak punya amal ibadah yang banyak. Barangkali dengan jalan bersungguh-sungguh menuntut ilmu ini, Allah mengizinkan kaki saya melangkah ke syurga kerana ia juga suatu jihad.
Nabi saw bersabda bermaksud:Sesiapa yang mati dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka dia berada di dalam syurga kelak satu darjat dengan para nabi. (Riwayat tabrani)
Saya tak meminta manusia memahami saya. Tapi, cukuplah menjaga kata-kata agar tidak menjadi racun kepada keyakinan orang lain. Apalagi jika mereka sebenarnya sedang berusaha untuk bersabar.
Kepada para pencinta ilmu, bersabarlah dalam menuntut ilmu. Kita pasti akan mengalami masa-masa keletihan, lemah, hampir putus asa dan sedih. Tapi bergembiralah, kerana pertolongan dan kemudahan dari Allah itu selalu ada.
Justeru saya benar-benar mengharapkan Allah meletakkan saya bersama-sama dengan para pencinta ilmu agar saya terus istiqamah. Doakan saya.
| Catatan ini untuk Generasi. Catatan ini untuk ingatan diri sendiri |
0 comments:
Post a Comment