Bolehkah wanita Bekerja?
Dr Yusuf Al Qardhawi menjelaskan di dalam kitab
“Markaz al Mar’ah fi al hayat al Islamiah” bahawa syariat mengharuskan
wanita bekerja. Tiada nas yang secara jelas mengatakan haram, dan ‘asal kepada
sesuatu dan perbuatan adalah harus’ seperti yang kita maklum. Bagaimanapun,
bekerja dituntut apabila adanya keperluan seperti membantu suami, memberi
pendidikan kepada anak-anak, adik-adik atau membantu ibu bapa yang sudah tua.
Tidak dinafikan masyarakat juga memerlukan kaum
wanita dalam bidang perubatan, pendidikan dan sebagainya. Adalah lebih utama
bagi wanita untuk bekerja bersama wanita, namun dibolehkan bekerja dengan kaum
lelaki dalam beberapa keadaan yang adanya keperluan dengan sekadarnya.
Syarat Wanita Bekerja
Prof Dr Md Uqlah Al-Ibrahim dalam “Nizam
Al-Usrah” (zaharuddin.net) menyebut antara syarat wanita bekerja adalah:
1) Adanya keperluan.
2) Kerja mestilah sesuai dengan fitrah.
3) Mestilah menutup aurat.
4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya
berdua-duaan atau bercampur baur dengan lelaki.
5) Mendapat izin suami atau wali.
6) Mestilah kerjanya tidak menyebabkan terhenti
tanggungjawab di rumah.
7) Tujuan bekerja bukanlah kerana keghairahan
mengumpul harta.
8) Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan
dalam pendidikan anak-anak.
9) Digalakkan bekerja dalam tempoh tertentu sahaja
bukan selama-lamanya sejurus suami mempunyai kemampuan; kecuali jika mempunyai
kualiti yang amat diperlukan masyarakat umum.
Dikatakan bahawa fitrah wanita menuntut
perhatian mereka untuk keluarga. Silibus kejayaan wanita adalah dalam bidang
ini kerana wanita adalah madrasah penentu kejayaan generasi. Lihat sahaja siapa
tulang belakang hebatnya seorang Syed Qutb dan Hasan al Banna; tidak lain
adalah seorang wanita (ibu).
Sebuah Pesanan
Bagi wanita bekerja yang sudah bersuami, saya
ingin menggariskan beberapa pesanan dari Ustazah Norhafizah Musa.
Suami memainkan peranan penting untuk melihat
suasana tempat isteri bekerja khususnya dari sudut percampuran lelaki
perempuan. Hal ini supaya dapat menjaga ‘iffah (kehormatan) wanita.
Oleh itu, kita sebagai wanita sangat disarankan
mengamalkan doa yang dilantunkan Nabi saw berbunyi:
اللّهم إني أسئلك الهدى والتقى والعفاف والغنى
Ya Allah, aku mohon petunjuk, kemampuan menjaga
kehormatan diri dan kecukupan rezeki.
Selain itu, wanita yang bekerja harus kreatif
dalam menyusun keutamaan. Contohnya bagaimana untuk menjadikan pertemuan yang
sedikit tetapi bermakna dan nilai yang ada di rumah bersama suami dan anak-anak
lebih baik.
Adalah sangat penting untuk menjadikan
persekitaran rumahtangga jauh lebih baik dari persekitaran suami bekerja atau persekitaran
anak-anak di luar rumah. Di sinilah wujudnya kepentingan nilai qurratu a’yun.
Saya sendiri terinspirasi dengan firman Allah
dalam surah Muhammad ayat 7 maksudnya:
“Wahai orang-orang beriman, kalau kamu
membela agama Allah, nescaya Allah akan membela kamu dan meneguhkan kedudukanmu.”
Allah mengetahui niat dan apa yang ada dalam
hati kita. Jika kita mempunyai niat yang baik untuk agama, masyarakat dan
pembangunan ummah, inshaAllah Allah akan membantu menguruskan hidup kita. Kita
sendiri tidak akan mampu menjaga diri kita kerana Allah lah penjaga yang
terbaik. Mohonlah pemeliharaan dan petunjukNya.
Pengalaman baru
Alhamdulillah. Allah memberi saya peluang
bekerja dengan pasangan yang saya kagumi; Ustazah Fatimah Syarha dan Dr Farhan
Hadi. Bagi saya, pasangan ini cukup jelas misi dan haluan perkahwinan mereka.
Kata Ustazah, ‘Sebarkan Bahagia Resources’ yang mereka wujudkan adalah untuk
membantu agama dan masyarakat. Selain membuka peluang pekerjaan, syarikat ini
bertujuan memberi pendidikan Al-Quran khusus untuk anak-anak kecil dan mengajarkan
penulisan berteraskan syariat.
Apabila suami isteri yang sedar potensi mereka memperjuangkan
agama Allah melakukan pekerjaan bersama, maka akan terserlah kekuatannya. Ini hanya sekadar
pemerhatian saya.
Konklusi
Saya masih ingat pesan seorang teman; “Kita ni
orang perempuan, bila dah belajar tinggi-tinggi sepatutnya mampu didik anak-anak
jadi orang lebih hebat.”
Inilah cabaran untuk jadi Super Ladies!
0 comments:
Post a Comment