"Everyday is a brand new start"

26 October 2014

Mimpi BESAR ku

Bismillah.

Salam Awal Muharam!

Impian. Tak semua orang berani menulis impian. Apatah lagi mengkhabarkan impian.

Saya punya keyakinan. Bahawa menceritakan impian bererti benar-benar bersungguh mahukan impian tersebut termakbul dan kita bergerak ke arah itu. Impian ini perlu ramai yang mendoakannya untuk saya. 


Impian Membuka Pusat Tahfiz

Sebuah tempat belajar dan menghafal Al-Quran. Mimpi ini telah wujud sejak awal muda remaja dulu. 

Semuanya bermula apabila saya lihat semakin lama, semakin bertambah anak murid mak yang berminat untuk belajar Al-Quran sehingga rumah jadi padat. Mak pun tak punya cukup waktu dan tenaga untuk memenuhi permintaan masyarakat. Maka timbullah di fikiran saya untuk membuka tempat belajar Al-Quran sekaligus mendalaminya dan menghafaznya untuk dewasa dan kanak-kanak. 

Semua orang yang mampu dan tidak mampu boleh menjadi pelajar di sini, sangat dialu-alukan. 



InshaAllah, di sini saya akan memulakan pengajaran agama untuk para muslimat, manakala suami saya akan mengajar agama kepada para muslimin (semoga Allah membantu). Sehinggalah diteruskan oleh keturunan kami. 

Pusat ini hanyalah kelas di peringkat permulaan, sampailah terbinanya asrama seperti pesantren-pesantren di Indonesia yang mempunyai sistem pembelajaran tersendiri dengan menjadikan Al-Quran sebagai visi. Akhirnya, tercapailah impian mendaulatkan Al-Quran di seluruh dunia.

Allahu Akbar!

Bagaimana caranya impian ini menjadi kenyataan?

Kemudian, apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal. [ali-Imran :159].

Berjaya atau tak berjaya, itu bukan kerja kita. Itu kerja Tuhan. Jangan sibuk-sibuk dengan kerja Tuhan. Kerja kita ialah pasang niat yang baik, usahakan apa yang termampu. Kalau kita mati sedangkan semua matlamat kita belum tercapai, sekurang-kurangnya Tuhan tahu kita benar-benar nak lakukan apa yang kita hajatkan. 
(zulkiflimohamad.com)
Share:

22 October 2014

Dahulukan Sunnah, Tinggalkan Punah.


Makanlah makanan yang tidak hanya halal, tapi toyyib.

Pilihlah yang benar-benar yakin dengan kesuciannya.

Saya sediakan sedikit perkongsian tentang pemakanan, semoga mendapat manfaat!

1) Ketika tidur, bermacam proses berlaku dalam badan. Jadi, untuk membuang semua yang tidak baik, maka minumlah air suam. Air perlu diminum sebanyak 3 liter sehari. Kekurangan air dalam badan akan memberi kesan kepada ingatan dan tenaga seharian.

Kata Ustazah Norhafizah, tips kesihatan wanita mengikut sunnah antaranya meminum air suam dengan campuran 1 sudu madu, habbatus sauda’, minyak kelapa dara dan za’faran.

2) Sebaik-baik collagen adalah buah kurma. Amalkan makan buah kurma kerana ia begitu baik untuk ingatan, mampu menguruskan tubuh dan melawan penyakit selain ia sunnah Rasulullah yang sangat digalakkan.

Semua kurma dari Saudi Arabia tiada bahan perasa. Namun, yang paling digalakkan adalah kurma ajwa dan kurma maryam.

3) Rasulullah selalu mendahulukan makan dengan meletakkan garam secubit di lidah dan berselawat.

Sedikit sharing daripada Encik Zaini sewaktu Seminar Amalan Pemakanan dari Al-Quran dan Sunnah:

1) Susu dan daging yang paling baik untuk jantung adalah susu dan daging kambing. Daging lembu dan susu lembu yang diambil hari-hari akan menyebabkan jiwa berantakan.

2) Pilih kacang yang baik seperti badam kerana rendah monosodium fat.

3) Khusus buat kaum lelaki, jangan ambil apa-apa produk soya bean kerana ia menjadi penyebab barah dan kurang sperma. Cili boh juga tidak baik untuk lelaki kerana mengandungi 70% preservatives. Lebih baik gunakan cili giling.

4) Kurangkan kicap dalam makanan, sebab more to perisa. Kita perlukan masin. Sebaik-baiknya gunakan garam bukit yang mengandungi magnesium yang tinggi, bukan sodium.

5) Jangan makan makanan laut. Makruh mengikut fiqh Imam Syafie kerana kolesterol lebih tinggi daripada daging.

6) Ikan baik untuk jantung. Tapi pilih hanya ikan bersisik. Elakkan ikan keli dan pari kerana keduanya mengandungi merkuri yang tinggi dan ikan ini memakan bangkai. Kebarangkalian tinggi untuk mempunyai anak ‘down syndrome’.

Kenapa berkali-kali kita cuba mempraktikkan pemakanan sihat, tapi kita gagal?

Kerana kita rasa kita kuat. Padahal sepatutnya kita memohon Allah menguatkan.

"Ya Allah, berilah kami makanan hanya yang baik-baik dan jauhkan kami dari apa yang tidak baik."

Teringat Kata-kata Ar-Royyan Dwi Andini dalam bukunya “Muslimah Cantik Cerdas di Dapur”;

Muslimah cantik, cerdas dan kreatif
Justeru mendamba dapur terbaik di rumahnya!
Share:

10 October 2014

Menyiapkan Sebuah Jawapan..


Cerita ini sebagai peringatan diri, kini dan masa hadapan.

Cerita tentang sebuah jawapan kepada Tuhan.

Bahwasanya setiap jawapan yang telah kita susun, insyaAllah akan meringankan diri ketika menghadapi pertanyaan di akhirat nanti.


********************************

Seorang pemuda serba salah menjemput isteri yang baru dinikahinya masuk ke sebuah rumah tumpangan kecil. "Maaf ya, rumah ini kecil." Lalu kata isterinya, "Jangan terlalu difikirkan, yang sempit akan terasa luas asalkan hati kita juga lapang."

"Memangnya kamu tidak ingin punya rumah, sayang?"

"Ingin sekali, amat ingin. Yang besar, megah, mewah dan berada di tengah taman yang sangat indah,"

Sang suami resah. Sambung isterinya dengan riang. "Tenang saja sayang, cukup bagi kita punya rumah di syurga. Yang di dunia, kita nikmati apa adanya."

Maka berjalanlah hidup pasangan itu dengan keterbatasan yang disabari. Sehinggalah rumah itu tidak lagi sesuai untuk dibuat tempat mengaji anak-anak jirannya. Sang isteri menangis."Bagaimana kalau mereka takut dan tak mahu mengaji lagi?"

Diam-diam si suami merintih kepada Rabbnya. "Ya Allah, jika memiliki rumah itu baik, Ya Allah, agar anak-anak yang mengaji ini selesa dan tidak lagi dimarahi orang lain maka kami tak keberatan jika Kau anugerahkan tempat tinggal yang mencukupi sebagai milik kami."

Dan mudah bagi Allah mewujudkan permohonan. Mungkin bukan bersebab penyiapan jawapan suami isteri itu atas apa yang mereka pinta, tapi inilah kurnia dan rahmat dari-Nya.

Menyiapkan jawapan bukan hanya memudahkan hisab di akhirat, bahkan juga mendekatkan istijabah di dunia. Insya-Allah.

Atas apa yang kita minta, atas apa yang kita nikmati. Pernahkah kita terfikirkan jawapan kalau ditanya Allah nanti?

Betapa sedikit yang menginsafi ini, lebih-lebih lagi diri ini.


'Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu, tentang nikmat-nikmat.' (At-Takasur:8)

Share:

30 September 2014

Aku Bertawakkal Hanya Kepada Allah...


Dia menyerah sebelum ada perintah Allah untuk menghentikan seruan dakwahnya. Takdir Allah, seekor ikan membuka mulut menelan tubuhnya yang terjun ke dalam lautan. Nabi Yunus berada dalam kegelapan. 

Maka berbahagialah hamba yang segera menyerah diri di hadapan Allah, serta mengadukan kelemahan, kesilapan, dan kehinaan. Di perut ikan Nun, dia menangisi kelemahannya dalam kegelapan, memuhasabah hari-harinya, dan mengaku telah berbuat dosa.

“La ilaha illa Anta, subhanaKa, inni kuntu minazh zhalimin. Tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau; sungguh aku termasuk orang yang berbuat zalim.” (Al Anbiya’: 87)

Satu doa yang tak tergambar apa yang dipintanya, dijawab Allah dengan limpahan kurnia yang berganda. Dia hanya mengakui kelemahan dan kezalimannya pada diri sendiri. 

Nabi Yunus bukan hanya dikeluarkan dari perut ikan. Dia bahkan tidak perlu susah payah berenang, kerana ikan tersebut menghantarnya terus ke tepian. Dakwah Nabi Yunus turut berjaya, tepat pada saat dia mengaku berdosa di hadapan Allah. Ketika dia merasa tidak berdaya. Ketika hatinya tunduk memuliakan Allah 'Azza wa Jalla. Subhanallah. 

Begitu juga tatkala Nabi Musa berbincang mesra dengan Rabbnya. Hatinya mengharapkan makanan, namun kerana meyakini bahawa Zat yang Maha Memberi sejatinya lebih mengetahui, maka dengan rasa fakir menghadap Tuhan, Nabi Musa memohon:


"Wahai Tuhanku,sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan." (Al-Qasas:24)


Justeru Allah dengan kurniaan-Nya membalas dalam bentuk yang lebih baik berupa makanan, perlindungan, pekerjaan dan jodoh.

Kata Ustaz Salim A Fillah; "Siapa yang paling merasai tak berdaya di hadapan Allah, di saat itulah Allah jadikan dia yang paling berjaya."


"Aku bertawakkal hanya kepada Allah”; adalah ikrar ketundukan kita. Keindahan tawakkal dapat dirasakan apabila mendahulukan Allah dalam setiap yang didepani, tanpa bermaksud menidakkan usaha. 


Allah memberi kejutan buat Hajar setelah sehabis daya usahanya berulang-alik antara safa dan marwah mencari air. Ternyata, air itu keluar dari tanah bekas hentakan kaki anaknya Ismail.

Sahl At Tusturi mengatakan dalam Jami’ul Ulum wal Hikam; “Barangsiapa mencela usaha (meninggalkan sebab) maka dia telah mencela sunnatullah (ketentuan yang Allah tetapkan). Barangsiapa mencela tawakkal (tidak mahu bersandar pada Allah) maka dia telah meninggalkan keimanan." 

Pak Hamka menyebut dalam Tasawuf Moden; "Perumpamaan tentang orang yang tawakkal bahawa bukanlah orang yang tawakkal itu orang yang tidur dibawah pohon yang lebat buahnya seumpama buah durian. Kerana kalau buah itu jatuh digoyang angin, dan orang yang tidur tersebut ditimpanya, itu adalah kesia-sian belaka."

Iblis memperdayakan segolongan orang yang mengaku tawakkal, lalu mereka berpergian jauh tanpa membawa bekal, kerana mereka menganggap tindakan seperti ini termasuk tawakkal. Tentu sahaja mereka itu salah. (Ibn Qayyim, Talbis Iblis)


Inginkan makanan, harus membeli dan memasak. Inginkan kejayaan dalam peperiksaan, perlu rajin membaca dan belajar. Ingin meninggalkan harta di mana-mana, perlu berwaspada dan memastikan tempat itu selamat. Inginkan jodoh yang baik, perlu ada tindakan dan kesungguhan.


“Apabila kamu telah berazam (bertekad dan berusaha) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah sukakan golongan yang bertawakal” (Ali Imran :159)


Indah aturan Allah bagi mereka yang menjiwai tawakkal:


“Barang siapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka. Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (At-Talaq: 2-3)




Share:

14 September 2014

Kerugian Abadi


“Kenapa antum ramai yang belum berkahwin? Sedarkah antum bahawa antum sedang membuang waktu!”

Kami sedikit tersentak dalam sesi taaruf. 


“Rasulullah sangat berbangga memiliki umat yang ramai” Sambung beliau tegas.

Khutbah nikah menjadi muqaddimah kelas pertama 'Manahijul Muhaddithin' pagi Ahad itu.

Mungkin ini skill Professor Dr. Mohamed Abu Laith al-Khaira al-Abadi hafizahullah menjemput mood pelajar di awal kelas. Fikir saya. 

Ya, kalau jodoh pasti bertemu!

Sejak semester lepas, saya menyimpan hasrat untuk menyertai kelas beliau meskipun terpaksa menjadi mustami'at sahaja. Alhamdulillah.. semester ini, Allah anugerahkan rezeki menuntut ilmu hadis terus dari seorang ulama' bidang hadis di Malaysia. Pelajar bidang Al-Quran dan Hadith sangat bertuah mempunyai beliau sebagai tempat rujuk.

Saya mengenali nama beliau sejak kitab `Ulum al-Hadith bainal Asalah wa al-Mu`asarah menjadi kitab rujukan utama subjek Ulum Hadith di USIM ketika zaman Sarjana Muda. Tak disangka-sangka, saya dapat bertemu penulisnya sendiri di UIAM. Selain sebagai pengarang kitab Takhrij al-Hadith, beliau turut terkenal dalam kalangan pelajar Master UIAM sebagai musyrif Ph. D seorang tokoh yang tersohor di Malaysia; Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Kata Dr Asri dalam artikel beliau 'Kembara Ilmu ke India', beliau bersama seorang sahabat telah pergi ke India membawa surat sokongan peribadi daripada Dr. Abu Laith. Sememangnya, Dr. Abu Laith juga berasal dari India, pernah belajar di Deoband dan mendapat Ph.D dari Umm al-Qura, Mekah. Hasilnya, mereka dapat bertemu, menziarahi, mengambil manfaat daripada beberapa ulama hadith India. Dr. Asri sempat membaca Risalah al-Awail, petikan dari kitab-kitab hadith di hadapan mereka serta nasihat-nasihat yang berguna. Juga mereka mengijazahkan sanad mereka.


Nah, justeru satu KERUGIAN ABADI jika saya tidak meneguk ilmu hadis dari beliau!


Al-Khatib Al-Baghdadi rahimahullah berkata:


“Kemudian aku wasiatkan kepadamu, wahai penuntut ilmu! Luruskanlah niat dalam menuntut ilmu dan bersungguh-sungguhlah dalam mengamalkannya. Kerana, ilmu Syar’i ibarat pohon dan amal itu merupakan buahnya. Dan seseorang tidak dianggap sebagai orang berilmu selama ia belum mengamalkan ilmunya”


[Iqtidha Al-'Ilmi Al-'Amal, hal 14]



#catatanmasteruiam


Share:

02 September 2014

Inilah Universiti Kehidupan


Jika semua yang kita kehendaki terus kita miliki
Lalu dari mana kita belajar ikhlas

Jika semua yang kita impikan segera terwujud
Lalu dari mana kita belajar sabar

Jika setiap doa kita terus dikabulkan
Lalu bagaimana kita dapat belajar ikhtiar

Seorang yang taat kepada Allah
Bukan bererti tiada cacat dan kekurangan

Seorang yang tekun berdoa
Bukan bererti tidak ada masa-masa sulit

Ketika kerjamu tidak dihargai
Saat itu kamu sedang belajar tentang ketulusan

Ketika usahamu dinilai tidak penting
Saat itu kamu sedang belajar tentang keikhlasan

Ketika kamu lelah dan kecewa
Saat itu kamu sedang belajar tentang kesungguhan

Hari-hari yang dilewati harus diingat
Bahawa kita sedang menimba ilmu dalam universiti kehidupan.

Sesiapa yang jatuh ke dalam sungai
Jangan berhenti berharap walaupun terpaksa memegang ekor ular



Nukilan Ustazah Norhafizah Musa

Share:

21 August 2014

Apakah Engkau Lebih Baik?

Apakah engkau yang lebih baik?
Engkau setia melaungkan dakwah
Tapi mudah menghambur amarah
Engkau mencemuh saudaramu 
Yang kasih membalut aibmu

Apakah engkau yang lebih baik?
Di mata manusia engkau sempurna, termulia 
Namun saat sendiri engkau hodoh, lagi terhina 
Duhai jiwa yang berkaca matakan dunia 
Mengapa engkau alpa dan terus alpa

Apakah engkau yang lebih baik?
Saat engkau merasa cukup dengan amalmu
Dek kemasyhuran nama, dek ketinggian ilmu
Hakikatnya saat itu engkau sudah tersasar jauh
Mana mungkin Dia kasihkan sang takabbur

Jangan kerna dunia yang mengangkatmu
Jangan kerna tiada bala yang menimpamu
Engkau merasakan engkaulah yang terbaik
Moga Allah menerima amalku, jua amalmu


#puisidamaiiman
Share:

Kakak Pemilik Banglo

Sekadar gambar hiasan
"Kakak itu pemilik banglo ini?"

Pelbagai persoalan timbul sebaik mendapat permintaan untuk mengajar Al-Quran di sebuah banglo mewah milik seorang wanita yang saya panggil 'kakak'.

Hati saya sedikit berdebar.

Kedatangan saya di banglo itu disambut mesra. Pembantu-pembantu di rumah itu melayan saya dengan sangat baik dan akan menghidangkan teh hangat setiap kali saya datang mengajar.

Bermula alif ba ta sehingga kini bacaan kakak sudah di An-Nisa'.

Sedar tak sedar hampir 4 bulan saya mengajar Al-Quran di rumah itu.

Kakak banyak mengajar saya sesuatu.

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.
(Ibrahim: 7)

Semakin saya mengenali kakak, semakin fikiran saya terbuka. Sewaktu saya ke open house hari raya di rumah kakak, barulah saya tahu kakak sudah bergelar datin, hanya setelah 4 bulan saya mengenali kakak. Setahu saya, kakak merupakan seorang businesswoman yang sangat postif!

Kehidupan mewah tidak menjadikan kakak sombong. Saya ingat lagi jawapan yang selalu meniti di bibir kakak; semua ini adalah dari Allah. Alhamdulillah.

Kakak mengajar pembantu-pembantu kakak untuk menghargai sesiapa sahaja yang datang. Pintu pagar tak akan ditutup sehinggalah saya hilang dari pandangan mata.

Sifat kakak yang pemurah menjemput saya dan teman-teman ke majlis kakak membuatkan saya terharu. Meskipun agak kekok berada bersama golongan berada, kakak menjadi seorang yang memahami. Di sinilah saya belajar untuk bermuayasyah dengan golongan ini dan tidak menyisihkan diri dari mereka. Bukankah kita adalah pendakwah sepenuh masa?

Al-Quran dan Hidayah Allah 

Sungguh Al-Quran itu melembutkan hati. Al-Quran itu jadi penawar. Saya yakin Al-Quran itu petunjuk yang menghantar jiwa-jiwa manusia kepada mencintai pencipta. 

Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayat petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
(Surah An-Naml:77)

Hidayah itu milik Allah dan dianugerahkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kita baik dan menutup aurat dengan sempurna sekarang, belum tentu akan berterusan sehingga hujung nyawa. Siapa kita untuk mengadili manusia dengan pengetahuan yang serba cetek. 

Allah mentakdirkan saya bertemu kakak pasti ada hikmahnya untuk kita saling belajar tentang kehidupan.

Sesungguhnya harta, nama, pangkat dan jua rupa.

Bukanlah jaminan kebahagiaan.

Kebahagiaan pada keimanan.

Doa saya panjatkan agar Allah memakbulkan niat kakak untuk menghadirkan nur Al-Quran kepada keluarga besar kakak. 

Ya Allah, terus rahmati mereka.

Amin.

#HujungSyawal 1435H


Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories