"Everyday is a brand new start"

20 January 2014

Si kecik ini sudah pergi..

Noor Hasinah Roslan. Dia muda 3 tahun dari saya. 
Di mana lagi kami bertemu kalau bukan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh, Pahang.
"Kak JuUUUU bangunnnNNN.."
Kalau Si Sinah yang gerak, memang dahsyat. Bingit. Tambah lagi dengan bebelan macam mak kiah. 
Tapi, Hasinah ni lah tukang gerak paling tepat. Adik Junior paling rapat dan best sebab senang dibuli. Hee
Dia tak pernah lupa kakak seniornya ni. Walaupun saya dah tamat sekolah, Hasinah masih lagi hantar surat. Macam zaman dulu-dulu. Siap bagi gambar minta simpan, dalam hati.
20 Januari 2014. Hari ini. Ya, hari ini.
Hasinah pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya kerana penyakit bengkak usus.
Innalillahi wainna ilaihi rojiun.
Tidak akan kudengar lagi suara halus adik kecilku itu. Dan kita tak mungkin bertemu lagi di dunia ini.
Pergilah dengan tenang wahai adikku..semoga di syurga kelak kita bertemu kembali.
Share:

17 January 2014

Berjalanlah di Muka Bumi


Andalusia; kini dikenali sebagai Sepanyol.
Di negeri inilah lahir tokoh-tokoh muslim ternama yang menguasai berbagai ilmu pengetahuan, seperti Ilmu agama islam, kedoktoran, filsafat, Ilmu hayat, Ilmu hisab, Ilmu hukum, sastera, Ilmu alam, astronomi, dan sebagainya. Di sini juga letaknya pusat kebudayaan Islam dan Ilmu pengetahuan yang tiada tandingannya setelah Konstantinopel dan Baghdad.
Nama-nama tokoh seperti Tariq bin Ziyad, Ibn Rusyd dan Ibnu Thufail begitu juga kemasyhuran al Hambra di Granada dan Kota Cordoba tidak lagi asing dalam sejarah kegemilangan Andalusia.
Kini tinggal sejarah. Andalusia runtuh setelah 800 tahun didiami kaum muslimin, apabila orang-orang Portugal berjaya mengotori pemahaman para pemuda. Akibatnya, mereka dapat mengusir kaum muslimin hanya dalam masa dua atau tiga bulan sahaja.
Ya Andalus, kini tinggal sejarah. Kehancurannya menghilangkan cahaya.
Turki.
Sinonim dengan sejarah penawanan Kota Konstantinopel (kini dikenali sebagai Istanbul) oleh orang muda hebat; Sultan Mehmed II Al-Fatih.
Tak lupa pada seorang tokoh pelopor pergerakan Islam Turki Moden iaitu Syeikh Badiuzzaman Said An Nursi. Sejarah menyebutkan keberanian beliau membantah sistem sekular yang dibangun Mustafa Kamal Atarturk ditambah lagi dengan karya penting yang dihasilkan beliau; ”Risalah Nur”, sebuah tafsir Al-Quran setebal lebih dari enam ribu halaman.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah adalah satu lagi sejarah menyedihkan bagi umat Islam kerana berakhirnya institusi Khalifah.
Bagi rakyat Malaysia, Turki dicatat sebagai tempat perginya seorang Ammar yang berjaya membangun semangat juang para pemuda Malaysia.
Kedua-dua tempat ini menjadi tempat impian saya sejak dulu. Saya akui, kerana sejarah-sejarah yang terukir di situ. Saya mahu menyelami, mengambil ibrah dan melihat sendiri kesannya.
Kerana apabila melupai sejarah, maka sejarah buruk yang sama bakal berulang.
InshaAllah, semoga Allah beri peluang itu. Amin.
Katakanlah: “Berjalanlah kamu (di muka) bumi, lalu perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berdosa (An-Naml : 69).

—Catatan ini untuk generasi—
Share:

15 January 2014

Jalan Cinta Para Pejuang


Jika kita menghijrahkan cinta; dari kata benda menjadi kata kerja

Maka tersusunlah sebuah kalimat peradaban dalam paragraf sejarah

Jika kita menghijrahkan cinta; dari jatuh cinta menuju bangun cinta

Maka cinta menjadi sebuah istana; tinggi menggapai surga

Begitulah hakikat cinta sejati, 

Ketika semua rasa termuarakan padaNya,

Maka semuanya pula akan indah pada waktunya

dengan kehalalan adanya.
 Salim A.Fillah
Jalan Cinta Para Pejuang,
Share:

14 January 2014

Bidang Agama Pilihan Saya

Alhamdulillah, result  Biologi saya A. Cita-cita saya untuk mengambil jurusan perubatan menjadi kenyataan. Tambahan lagi dengan tawaran Matrikulasi Pahang untuk Sains Hayat. Saya ingat lagi waktu itu, bila saya ubah keputusan untuk memilih bidang agama, keluarga terkejut termasuk saya sendiri.
Itu gerak hati, dan yang menggerakkan tidak lain adalah Allah SWT.
Saya tahu, masyarakat tidaklah memandang tinggi kepada pelajar bidang agama. Sesiapa pun boleh menjadi ‘ustaz’ atau ‘ustazah’ di zaman ini. Seorang doktor yang rajin belajar agama juga boleh jadi sehebat ustaz, malah mungkin lebih lagi. Dengan segala teknologi yang ada dan maklumat di hujung jari.
Akibatnya, bidang agama hilang keutamaan.
Bidang agama menjadi pilihan terakhir ibu bapa untuk anak-anak setiap kali memikirkan tentang kerjaya mereka. Kebanyakan yang menjadi prioriti untuk pemilihan kerjaya adalah banyaknya wang dan ‘nama’ yang dipandang tinggi masyarakat.
Itu realiti.
Kita tak boleh memaksa masyarakat mengubah pandangan mereka terhadap bidang agama, tapi kita boleh buktikan bahawa bidang agama ini benar-benar memberi impak besar dalam masyarakat, untuk memandu masyarakat ke arah masa depan ummah yang lebih baik.
Dalam kata lain, ‘mengubati penyakit ummah’.
Bukannya semakin bertambah bidang pengajian Islam, tapi tetap bertambah gejala sosial, kadar jenayah dan kejahilan ummah.
Ustaz dan Ustazah perlu ada kualiti sebagai pelajar bidang agama. Saya percaya, menghadiri kuliah, ceramah, mencari maklumat melalui internet tak pernah sama dengan proses pembelajaran bertahun-tahun berdasarkan subjek yang diambil.
Kita perlu membuktikan ‘sesuatu’. Bidang agama bukan sebarang. Buka pandangan masyarakat, bahawa agama ini tidak sempit.
Ramai ulama’ telah membuktikannya.
Apa kecenderungan Kita?
Kerana itu saya tak pernah menyesal memilih bidang ini. Terpulang bagaimana antum.
Allahumma faqqihni fiddin. Semoga Allah meredhai.
Share:

12 January 2014

Wanita Oh Wanita


Wanita dikira silap apabila meletakkan ‘standard’ dan ‘silibus’ kejayaan lelaki (yang ditentukan Allah tentunya) sebagai ‘standard’ kejayaannya juga. Sedangkan, ‘silibus’ dan ‘standard’ kejayaan wanita adalah tidak sama dengan lelaki dalam banyak hal, termasuklah kerjaya.
 Saya tak menafikan, walaupun ada keharusan yang Islam berikan.
Menurut Syeikh Prof Dr Md ’Uqlah (Universiti Yarmouk), tugas asasi wanita adalah amat besar iaitu sebagai penentu dan pencipta kerjaya seluruh manusia ( menurut asbab kepada hukum alam ), ini kerana mereka diberikan kedudukan oleh Islam untuk mencorak segala pemimpin lelaki masa akan datang iaitu dari kecil hingga besar.
Di samping menuntut ilmu pelajaran, ada baiknya para wanita tidak mengabaikan ilmu kekeluargaan dan pendidikan anak-anak. Menjaga keamanan rumah tangga tidak boleh dipandang remeh, kerana ia menyamai kepimpinan sebuah negara.
Ini fitrah. Wanita dan Lelaki ada bezanya.
***
# Jika bermotokan isteri cerdik yang solehah,
Rajin-rajin buka buku Tarbiyatul Aulad.
Masukkan dalam list azam 2014.
Dush Dush!
Share:

10 January 2014

Antara 4 Mazhab


“Pelajar syariah belajar fiqh dengan membentangkan kitab Imam Hanafi & Imam Syafie. Hal ini kerana biasanya 2 Imam mazhab ini mempunyai sudut pandang berbeza dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Adapun Imam Ahmad dan Imam Malik, pandangan mereka biasanya akan cenderung kepada salah satu daripada dua Imam di atas. Maka lebih praktikal untuk mengkaji pandangan 2 pandangan berbanding kesemua 4 imam mazhab.
Kemudian, kajian fiqh itu dibuat melalui perspektif Ilmu hadith bagi menambah kefahaman kepada konteks.”
- Ustaz Hasrizal
Share:

Melerai Kekusutan Wahabi

“Bagaimanakah cara saya menyelesaikan kekusutan saya tentang topik Wahabi:

1. Belajar semasa di sekolah, aqidah kita Islam

2. Sampai Jordan, baru kenal rupanya ada dua aliran iaitu Salaf dan Khalaf
3. Saya khalaf dan asya’irah, fiqh pula bermazhab syafie
4. Untuk mengukuhkan aqidah, saya mengaji kitab Kubra al-Yaqiniyyat al-Kawniyyah karangan al-marhum Sheikh Al-Buti, tanpa mengetahui ia mewakili khalaf
5. Buku sangat bagus. Perbahasan meluruskan kepercayaan.
6. Kemudian tersedar, wujud perkaitan antara Salafi dengan Wahhabi.
7. Membaca kitab Ubudiyyah Ibn Taimiyyah, Fatawa Humawiyyah, dan kitab al-Tauhid oleh Muhammad bin Abdul Wahhab serta Fath al-Majid, syarahnya.
8. Mengenal pasti ada perbezaan pada cara penghujahan.
9. Kedua-duanya sangat meyakinkan dan seperti perlu dipakai pada situasi dan cabaran yang berbeza-beza.
10. Membaca kajian-kajian yang menjelaskan konteks sejarah. Mula memahami bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab sama seperti nama lain, perlu difahami melalui dua sudut iaitu: (i) membaca sendiri tulisan-tulisannya. dan (ii) membaca kajian orang lain mengenainya (pro dan kontra)
11. Membaca sumber tentang Muhammad bin Abdul Wahhab daripada sumber Arab, Inggeris dan Uthmaniah.
12. Sampai kepada pemahaman:
a. Wahhabi iaitu satu topik
b. Muwahhidin satu topik lain
c. Muhammad bin Abdul Wahhab satu isu lagi.
d. Ibn Taimiyah satu bab lagi pula.
e. Salaf pula satu topik lagi.
Semua itu bukan sepakej. Ada bab ia bersama, ada bab ia berbeza.
Sepanjang membaca dan menempuh proses di atas, adakalanya saya rasa saya Salafi, adakalanya saya rasa Asya’irah.
13. Kini, saya Ahli Sunnah wal Jamaah, perbahasan Salaf, perbahasan Khalaf, semuanya valid dan perlu diguna. Kegunaan rosak apabila dilaga-laga. Kegunaannya tinggi apabila diguna secara berasingan.
(percubaan nak lakar dulu, laluan menyelesaikan kerumitan bab ni)”
— Hasrizal Jamil
Share:

09 January 2014

Aura Pencetus Ummah


Alhamdulillah, program ‘Pencetus Ummah’ nampaknya berjaya sedikit sebanyak mencetus kebangkitan ummah.
Ada yang mencuri tumpuan saya dalam rancangan tersebut. Setiap jawapan PU ketika sesi soal jawab saya dengar dengan teliti dan terimbau kenangan lampau sewaktu berpraktikal.
“Enti tak boleh jawab macamni. Enti kena tahu kaedah menjawab soalan berbentuk hukum”
Tegur ustaz Zaharuddin setelah meneliti jawapan persoalan hukum yang saya tuliskan sebagai tugasan dari beliau.
Pandangan saya sendiri, menguasai kaedah menjawab persoalan hukum itu sangat penting khususnya pelajar dari bidang agama. Selain mengelakkan kita dari dosa yang berlanjutan, masyarakat harus benar-benar memahami jawapan yang kita berikan.
Saya highlight kan 3 poin yang diambil dari web zaharuddin.net. (ada tambahan dan ubahsuai ayat sedikit mengikut situasi saya).
1)       Keperluan Proses Tarjih (ترجيح)
Saya baru nampak kepentingan belajar subjek ‘Ta’arudh wa At-Tarjih’ ketika degree. Saya selalu diberi persoalan yang jawapannya banyak khilaf. Akhirnya, saya hanya mampu menyimpulkan :”Banyak khilaf ni”. Orang yang bertanya bingung dan memaksa mereka membuat keputusan sendiri. Ia seperti memberi individu yang tidak berkelayakan untuk melakukan tarjih tanpa ilmu. Kita sepatutnya  memandu mereka kepada pilihan yang terbaik menurut ilmu yang kita ada, mengikut apa yang dirajihkan para ulama’ bagi yang masih cetek ilmu seperti saya.
Ulama berbeza ijtihad dalam menentukan hukum beramal dengan yang rajih kepada dua kumpulan namun majoriti mazhab berpendapat beramal dengan yang rajih serta meninggal pendapat marjuh adalah WAJIB. Malah terdapat Ijma’ di kalangan para ulama Usul fiqh (Nihayatul Sul, 3/212 ; Al-Mahsul, Al-Razi, 2/529 ; Kasyf al-Asrar, 4/76).
2)      Jangan tergesa-gesa
Jangan kita terburu-buru memberi pandangan yang dinisbahkan kepada hukum Islam jika belum dirujuk terlebih dahulu kepada kitab-kitab yang sesuai atau pandangan ulama yang ahlinya.
Ramai pendakwah yang apabila popular, tergelincir dalam memberi pandangan yang sama ada salah atau kurang tepat kepada soalan yang dikemukakan. Sebahagian mungkin memaksa diri untuk memberi jawapan kerana bimbang akan dipandang kurang berilmu lantaran kegagalan memberikan jawapan segera. Ibn Umar r.a berkata :
العلم ثلاثة كتاب ناطق وسنة ماضية ولا أدري
Ertinya : Ilmu itu ada tiga bahagian, Kitab AL-Quran yang berkata, Sunnah Nabi yang lalu dan aku tidak tahu. (Riwayat At-Tabrani dalam al-Aswat; Rujuk Majma’ Al-Zawaid)
Sangat baik lagi amanah seorang ilmuwan dan pendakwah menangguhkan jawapan terlebih dahulu agar mampu membuat kajian sebaiknya sebelum memberi respons. Dan salah satu jawapan apabila kita belum bersedia adalah ‘aku tidak tahu’.
3)      Lihat Kepada Audiens Dan Kesediaan Ilmu Masyarakat
Seseorang penyelidik, ilmuwan dan pendakwah perlulah mengkaji keadaan masyarakat, turun dan melihat sendiri kedaan mereka, menyedari taraf keilmuan mereka dan menyampaikan ilmu kepada mereka menurut laras bahasa yang mampu difahami oleh majoriti mereka. Membicarakan hal yang belum mampu difahami sebelum sampai masanya, kelak nanti menjadi fitnah kepada Islam dan masyarakat. Justeru proses beransur atau tadarruj itu sangat perlu difahami oleh ilmuwan.
Saya masih ingat kata ustaz: ‘Kepada penuntut ilmu bidang agama rasanya tak complete kalau kalian tak pergi sendiri ke tempat turunnya ayat Al-Quran, melihat sendiri bagaimana suasana dan masyarakat di sana.’ Dan saya mula menyimpan niat ke negara-negara Arab.
Kesimpulannya, kita bukan sempurna untuk sentiasa betul. Namun, pembetulan sentiasa diperlukan apabila kesilapan berlaku. Oleh sebab itu, berterusan membaiki diri dan tanpa jemu menuntut ilmu itu sangat penting.
Sematkan erat-erat kata Abu bakar as Siddiq:
“Adakah agama menjadi lemah sedangkan aku masih hidup?”
Mohon maaf salah silap. Perkongsian ini adalah peringatan untuk saya dan semoga bermanfaat untuk semua.
Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories