"Everyday is a brand new start"

28 April 2016

Inspirasi Yang Hilang




Bismillah..

Alhamdulillah, akhirnya saya punya ruang menulis sesuatu tentang arwah yang sangat saya kagumi. Anak-anak arwah iaitu sepupu-sepupu saya banyak berkongsi di dada facebook tentang abah mereka. Di ruangan ini, izinkan saya mencatat sesuatu yang saya saksikan dari arwah bapa saudara saya sepanjang hidup beliau yang menjadikan beliau antara inspirasi terbesar dalam hidup saya sejak kecil. Semoga dengan ini, kenangan bersama beliau terus menjadi semangat untuk memburu kehidupan yang diredhaiNya.

Tepat jam 4.20 pagi pada 26 April 2016, Ustaz Datuk Dr Mohd Ali Baharum telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang dan dikebumikan di tanah perkuburan Sg. Tangkas. 2 hari sebelumnya, Ayah De dimasukkan ke hospital dan saya difahamkan jantung beliau sempat berhenti selama 17 minit. Entah kenapa ada rasa tidak sedap hati kali ini. Saya berniat untuk menziarahi Ayah De bersama adik di hospital pada hari selasa. Ya, saya memang menziarahi beliau tapi bukan di hospital. Jam 5.20 pagi saya mendapat khabar di whatsapp famili, bahawa Ayah De telah pergi untuk selama-lamanya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun….
Dari ALLAH kita datang
KepadaNya kita pasti pulang


Satu demi satu kenangan bersama Ayah De terlintas di fikiran saya bagai sebuah filem yang dimainkan semula bermula dari kecil sehingga dewasa. Seorang pejuang yang menjadi inspirasi hidup saya telah pergi dan tidak akan kembali lagi. Seorang bapa saudara yang selalu tersenyum menyambut ketibaan kami di teratak indah beliau. Sambutan Ayah De kepada tetamu selalu luar biasa meskipun dalam keletihan dan kesibukan.

Perginya Ayah De di waktu tahajud beliau. Ayah De seorang yang mendawamkan qiamullail. Justeru itu kata-kata yang keluar di bibirnya seperti cahaya. Masa-masa makan bersama pasti tak kosong dari nasihat dan cerita-cerita beliau yang dapat dijadikan pengajaran. Ayah De itu orang besar, tinggi pangkatnya, namun rendah dirinya kepada tak kira siapa.

Di hujung usia tuanya, saya mengintai-intai perlakuan beliau. Beliau memang selalu ke masjid. Suatu waktu, saya lihat seseorang sendirian di meja yang penuh dengan kitab Arab. Oh, itu Ayah De. Beliau sedang menyalin nota Bahasa Arab. Di usia begini? Bukankah beliau memang pakar Bahasa Arab? Malunya saya. Katanya untuk memahami kitab tafsir, subhanallah. Saya meringankan mulut menyembang. Ah, sudah.. Ayah De ajak berbual dalam Bahasa Arab. Ayah De pesan cakap je, jangan takut salah. Alhamdulillah, laju pula saya berbual dengan beliau dalam Bahasa Arab. Sesekali beliau meminta diperbetulkan, dan kadang-kadang ayat saya dibaiki beliau.



Ayah De memang rajin membaca. Lihat sahaja di rumah beliau, ada satu bilik khas yang menyimpan buku-buku dan kitab. Sifat cinta ilmu beliau sangat saya kagumi sejak kecil. Dari beliau, saya menyimpan hasrat mewujudkan perpustakaan di rumah sendiri nanti. Bila orang membaca buku-buku kita, kita sekali mendapat saham akhiratnya.


Teringat kenangan ketika kecil, saya sedikit gerun kepada beliau. Ayah De bukan orang yang suka marah-marah apalagi panas baran, itu jauh sekali. Kata-katanya selalu lembut tetapi ada ketegasan terutamanya bila tiba waktu solat. Pasti kami disuruhnya solat berjemaah dan berhenti bermain. Atas sebab itu, saya selalu lari kalau nampak Ayah De. Bukan tak nak solat tapi kecut perut. Sampailah satu ketika, kami sepupu sepapat sedang bermain kad, tiba-tiba Ayah De muncul minta izin main sekali. Riuh kami bermain dan sejak itu saya tak lagi takut- takut dengan Ayah De.

Catatan ini hanya sebahagian kisah, semoga juga dapat menjadi inspirasi untuk kalian.

Ayah De telah pergi jauh. Syukur saya sempat melihat wajah tenang beliau kali terakhir sebelum dikafankan. Ramai yang menangisi kematian beliau. Langit juga begitu. Hati saya juga begitu. Saya kehilangan salah seorang inspirasi, seorang yang menasihatkan saya mencintai ilmu sampai hujung usia, seorang yang mengajar saya bagaimana membina keluarga yang diredhai-Nya, seorang yang mendidik hati saya untuk merendah diri kepada sesiapa sahaja, seorang yang tak lelah memberi nasihat berharga dan menghadirkan kegembiraan untuk begitu ramai manusia. Beliau telah selesai menanam di dunia, insyaAllah semoga Ayah De kini berada di syurga, dekat dengan kekasihnya.


Amin Ya Rabb.

Bila Tiba Saat Berganti Dunia
Alam Yang Sangat Jauh Berbeda
Siapkah Kita Menjawab Semua
Pertanyaan

Share:

02 March 2016

Rindu Cikgu Zu



Dengan lafaz salam aku masuk ke tempat itu. Tempat yang menyimpan berbagai kenangan suka dan duka.

Awalnya, aku rasa tak kuat berdepan dengan anak-anak syurga itu. Namun, aku gagahkan jua diri untuk tersenyum paling indah di hadapan mereka. 

Aku yakin suaraku bergetar dan aku memang tak boleh berucap lama. Saat itu, aku cuma berharap air mata ini tak jatuh di hadapan wajah-wajah kesayanganku.

"Cikgu akan balik kampung, tak akan mengajar di sini lagi. Cikgu harap semua anak murid cikgu tak tinggal solat, rajin belajar, taat mak ayah.." 

Cukuplah, tak mampu lagi nak berkata. Satu persatu menyalami tanganku dan pipi gebu mereka kucium. Allah.. sungguh aku sangat menyayangi mereka!

"Cikgu Zu, janganlah pergi.." Ah, itu suara pelajar yang paling suka bermanja denganku sejak hari pertama sekolah. Suka benar dia mengusikku. Hari itu dia menangis merayu.

Dan itulah kali terakhir aku menatap wajah-wajah kesayanganku. Wajah yang selalu mengubat kedukaan hatiku. Benarlah, anak-anak kecil itu penyejuk mata, penawar di hati.

Aku tak mampu memandang ke belakang lagi. Tanpa menghiraukan rayuan mereka aku terus pergi tanpa berkata sepatah pun. Kejamnya Cikgu Zu!

******************************************************************

Teruntuk anak-anak didik Cikgu Zu,

Cikgu sangat rindukan kalian.

Sehari tak berjumpa kalian bagaikan setahun. Mana tidaknya, hampir setiap hari kita bersama-sama solat, belajar, makan, menyanyi dan qailulah. Bahkan sempat cikgu mandikan dan rapikan kalian. Dari kalian, cikgu belajar banyak perkara. 

Kalian selalu buat cikgu tersenyum ketika cikgu marah. Kalian buat cikgu ketawa ketika keletihan yang amat. Keletah kalian, senyuman kalian, buat hati ini begitu berat meninggalkan tempat itu.

Sesudah cikgu pergi, cikgu gembira mendapat tahu, jika ada yang rindukan cikgu, surah al fatihah akan dihadiahkan untuk cikgu. Malah, ada yang baca beberapa kali al fatihah dalam sehari untuk cikgu.

Cikgu bertambah sayu bila ada yang tertanya-tanya, bila cikgu nak balik ke sana lagi. Kenapa cikgu terlalu lama di kampung. 

Kalian masih terlalu kecil untuk memahami. Cikgu berharap kita akan saling mengenali, walau mungkin akan bertemu puluhan tahun lagi ataupun mungkin di syurga nanti, biiznillah.


Perancangan Allah itu jauh lebih baik dari perancangan manusia. Tahukah kalian, sejak sebelum bertemu kalian, cikgu berhasrat mendidik kalian menjadi hafidz yang mencintai Al-Quran. Sayang sekali, cikgu tak dapat bersama mewujudkan impian ini, tapi doa itu akan selalu ada, inshaAllah.

Perginya cikgu bukan kerana kalian. Cikgu terlalu lemah menghadapi ujian. Tak sekuat yang kalian lihat. Hati ini terlalu rapuh kerana iman yang terlalu nipis untuk bertahan. Cikgu pergi untuk mencari kekuatan yang hilang.

Semoga Allah terus menjaga kalian, kesayangan cikgu.

If you complain about sadness resides within your heart

You can wipe it away by putting a smile on child's face

Yang benar,
Cikgu Zu


Share:

30 November 2015

Memilih Mati


Bismillah...


Berbekallah dengan amal taqwa.

Apabila berlabuhnya malam, siapa yang pasti hidup di subuh hari esok.

Berapa ramai anak muda yang ketawa berdekah-dekah rupa-rupanya kain kafannya telah dikoyakkan sedang dia tidak tahu.

Berapa ramai anak kecil yang diharap panjang umurnya tapi telah merasai gelapnya kubur.

Berapa ramai para pengantin yang diandam seindahnya tetapi sebelum datang malam indahnya disentap nyawanya terlebih dahulu.

Berapa ramai orang sihat mati tiba-tiba dan berapa ramai orang sakit tapi panjang pula umurnya.

-Syair hukama'

Kita diberi peluang oleh Allah untuk mati.
Maka kita harus memilih bagaimana untuk mati.
Peluang hanya sekali.

"Ya Allah, pilihlah kami untuk mati dalam husnul khatimah. Dengan cara yang baik, di waktu yang baik, di tempat yang baik, dalam keadaan Engkau paling redha dengan kami dan kamipun redha padaMu."

Kata Allah: "Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaKu (yang soleh). Dan masuklah ke dalam syurgaKu". (Surah Al-Fajr: Ayat 27-30)


Ini adalah Syeikh Abdur Razzaq al Halabi, di antara guru terkemuka di bumi Syria yang faqih dalam qiraat 10. Beliau meninggal dunia semasa membaca Al-Qur'an. Jari kanan bersyahadah, jari kiri menunjuk ayat.

Demikianlah, seseorang meninggal sesuai dengan kebiasaannya.

Subhanallah..Indahnya kematian ketika sujud.
Apa yang terlintas di fikiran anda bila terdengar kematian?

Ada orang sangat merindukan syurga. Ada orang jadi takutkan azab neraka. Ada orang masih merasa jauhnya kematian. Dan, ada orang tak sabar berjumpa Tuhan. Syaratnya berjumpa Tuhan, bukankah kematian?

Senyuman insan yang terpilih menjadi tetamu Allah
dan meninggal dunia di tanah suciNya.
Marilah kita merenung kisah hamba-hamba Allah yang benar-benar memanfaatkan hidupnya. Hidup dan mati dalam kemuliaan.

Lihat Mus'ab bin Umair yang membawa bendera dengan keberanian luar biasa. Dia telah syahid terkena 80 tusukan pedang di badannya di samping bendera yang dibawa.

Abdullah bin Jahsy pernah berdoa:
“Ya Allah, pertemukanlah aku dengan musuh yang jahat dan buas. Aku akan melawannya dan aku tewas ditangannya. Dia kemudian memotong hidung dan telingaku”
Ketika perang Uhud berakhir, ternyata Allah memakbulkan doanya. Para sahabat menemukan jasadnya tewas sepertimana doanya. Hidung dan telinganya tergantung pada seutas tali.

Ini hanya sebahagian kisah orang-orang cemerlang. Dan kita memiliki peluang yang sama oleh Allah. Berdoalah agar Allah berikan kita kemampuan untuk memaksimakan segala modal yang Allah berikan untuk mati dalam kemuliaan.

Tok Guru, kematiannya menghidupkan.
Pakar psikologi memberitahu cara untuk tenang adalah ingat mati. INGAT, bukan takut. Kerana mati itu tiada pilihan kecuali kepastian. Mati itu motivasi. Motivasi itu bukankah menyelamatkan, bukan menakutkan?

Mengingati mati, menghilangkan lelahnya menghadapi ujian dunia. Menghilangkan rasa cemburu pada manusia. Mengingati mati itu menghidupkan jiwa-jiwa. Kerana mati, boleh datang bila-bila masa.

Kita semua perlu berjuang dalam sebuah perjuangan husnul khatimah. 

Kita pasti akan mati. 

Dan kita mati mengikut bagaimana kita hidup di dunia ini.
Share:

27 November 2015

Hidangan Yang Indah


Gambar menjadi Fasi di Kem Rakan Quran
Bismillah...

(Allah) yang Maha Pengasih. Yang telah mengajarkan Al Qur’an. (Surah Ar-Rahman :1-2)

Mereka ini suci.
Mereka ini tulus.
Mereka inilah yang digelar Qurratu a'yun.

Alhamdulillah, semalam baru selesai Kem Rakan Quran di Pusat Tahfiz Darul Hafidzin selama 5 hari. Syukur, Allah menggerakkan hati, melapangkan jalan di celah kesibukan yang mengejar, untuk bersama kanak-kanak ini. Inilah kali pertama saya menjadi fasi kepada kanak-kanak 7 & 8 tahun. 

Mereka sangat muda!


Slot mengenalkan neraka
Dalam keletihan tak cukup rehat dan tidur, bila berjumpa semula dengan mereka bagaikan muncul kekuatan luar biasa. Lebih-lebih lagi, bila ditasmi' ayat Al-Quran. Subhanallah..inilah mukjizat luar biasa Al-Quran.

Saya fikir tarbiyah yang diberikan kepada mereka sangat hebat biarpun mereka masih kecil. Bila kami tayangkan video untuk dicari gali moral, mereka bersuara sebaliknya.

"Eh ustazah, diorang tak tutup aurat!"
"Ustazah, kenapa dia makan tangan kiri? Kan tak baik?"

Dan bila ustazah main game "Ustazah kata..", lalu ustazah suruh pegang rambut. Banat bersuara.

"Ustazah, tak boleh pegang rambut. Kami kan pakai tudung."

Kami fasi-fasi tersenyum. Mereka sungguh suci.  


Gembira melihat mereka didisiplinkan dengan kehidupan Islam yang sebenar dan mengamalkan sunnah-sunnah rasul yang kian dilupakan. Alangkah bagus jikalau kanak-kanak yang lain di luar sana pun turut ditarbiyah hal yang sama. Ini kerja siapa? Ya, bukan sahaja peranan ibu bapa tapi perlu kerja kuat kita semua.



Dalam kalangan banin dan banat, ada yang telah banyak menghafal Al-Quran, dan bila diperdengarkan subhanallah.. bacaan mereka bertajwid dan lancar. Berbeza benar dengan saya sendiri sewaktu seusia mereka dulu.

Bila tiba waktu solat pula, masing-masing berebut menjadi imam, bilal, dan membaca doa. Allahu Akbar, ini sebenarnya yang kita mahukan kepada pendidikan awal anak-anak.

Fastabiqul khairat..Berlumba-lumba membuat kebaikan!

Video yang saya tayangkan sewaktu slot. Melihat kembali 
video ini membakarkan semangat.

Inilah kegembiraan yang dicari dalam kesibukan. 

Satu perasaan bertuah dan bahagia di saat dapat didekatkan kepada Al-Quran melalui mengenalkan dan mengajar mereka tentang Al-Quran.

Nikmat bersama Al-Quran antara satu nikmat yang paling indah. Dipilih Allah untuk melihat Al-Quran, membaca, mengajarkan dan bersama dalam saf perjuangan mendaulatkan Al-Quran.

Hanya pertolonganNya yang sempurnakan usaha ini.

Semoga, usaha ini menjadi kemudahan untuk zuriat keturunanku kelak menjadi hamalatul Quran, penyambung tugas mendaulatkan Al-Quran di muka bumi.

Allah telah berjanji di dalam Al-Quran:

"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah An-Nahl:97)


Share:

20 November 2015

Sakitnya Tu Di Sini

Selepas accident 2016 di USIM
Bismillah..

“Dan Kami lebih 'dekat' kepadanya daripada urat lehernya” (Qoof: 16)

Apa erti "dekat" bagi kalian? 

Dekat jasadiah atau batiniah? 

Saya mendalami "dekat" itu tadi. Ketika tayar kereta saya bocor di tengah jalan yang sibuk. Allahu Akbar.

Bayangkan tiba-tiba tayar yang elok itu bocor. Saya perlahankan kereta dan ke sebelah kiri jalan. Tangan saya menekan hazard light. Saya tidak berani untuk berhenti di tepi jalan, maka saya paksakan kereta bergerak dengan tayar yang sudah tak bermaya. 

Sebenarnya, apa yang paling menakutkan adalah saya sendirian!

Di saat kritikal inilah saya teringat kisah seseorang. Kereta beliau rosak tiba-tiba, dan orang pertama yang beliau ingat adalah suami! Walaupun tahu suami itu jauh, dan tak dapat membantu pun tapi suamilah yang paling dia harapkan.

Lalu beliau berpesan sebagai muhasabah untuk diri sendiri, "Kenapa tidak kita meminta kepada yang paling dekat?"

Tapi persoalannya, siapa yang paling dekat dengan kita?


Meminta kepada Allah yang paling dekat, bertawakkal, dan sempurnakan usaha dengan memohon pertolongan sahabat. Saya akhirnya berhentikan kereta di tepi jalan yang tidak berapa jauh dari shell. Saya keluar dan hanya mampu merenung tayar.

Sedih. Banyak mata yang memandang, tapi tak satupun yang mahu memberi pertolongan. Tidak lama, sebuah kereta berhenti, kemudian keluar seorang lelaki yang agak berusia dan seorang lagi mungkin sahabatnya. Dari jauh mereka bertanya:

"Bakpo keto?" Oh Kelantan rupanya. Rasa sedikit lega kerana berhusnu dzon orang pantai timur baik-baik belaka. Uhuk!

Setelah meneliti keadaan tayar yang kebocoran agak teruk, alhamdulillah mereka memberi pertolongan sepenuh hati bermula menukar tayar di bawah panas terik, pam dan subhanallah, menolak untuk dibayar!

Pak cik sempat bercerita, mereka dalam perjalanan mengambil anak di Bentong yang mahu balik bercuti. Anak beliau sekolah agama di sana. Alhamdulillah, Allah menghantar orang baik.

Dan sebenarnya, hati ini terasa paling sebak memikirkan dan merenung kata-kata pak cik seterusnya:

"Dik, sebenarnya tadi kitorang nak berhenti di Petronas, tapi entah kenapa kami tak jadi dan pilih untuk pergi ke shell. Dan ternampak adik dari jauh."

Subhanallah. Subhanallah. Tiada kebetulan tapi segalanya perancangan Tuhan. Allah jualah yang menguasai hati-hati insan.

Allah memang terlalu dekat. Kisah ini hakikatnya untuk mengingatkan diri sendiri yang selalu lupa bersyukur. Semoga turut menjadi jalan untuk pembaca lebih bersungguh memohon kepada Allah yang dekat.

Kau yang berhak disembah
Pemerintah alam
Tempat mengadu segalanya

PadaMu cinta teragung
Kaulah zat yang Esa
Tiada seperti makhluk ciptaan
Pada gambaran pasti bukan Dia

-Cinta yang Teragung (Mestica)

Allah berfirman: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat." (Al-Baqarah:186)

Share:

18 November 2015

Kenapa "DOWN"?


Bismillah...

Pabila laluan seakan sukar 
Bagai tak terdaya untuk terus bertahan
Namun kasihMu menyedarkan
Aku tak pernah sendirian

Ke mana semangat menghilang?

"Sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." (Surah Yusuf:90)

Ada masanya, semangat kita yang berkobar-kobar mulai surut entah ke mana. Ada ketikanya, perasaan kita berbolak balik hilang tenangnya. Ada saatnya pula, kita tercari-cari kekuatan dari niat yang kita sematkan. Ada saatnya, kita tewas jua dari meyakini janji-janji di dalam ayat-ayatNya.

Itulah kehidupan, yang tidak selalu indah dan lancar, tidak juga selalu tenang dan bahagia. 

Orang-orang menjadikan FB, Twitter, Instagram, blog dan seumpamanya sebagai tempat meluah rasa. Sunyi, lemah, sedih, kecewa dan bermacam lagi rasa. Beberapa orang yang lain mencari-cari manusia yang sudi mendengar masalah, lalu dijadikan tempat meluah rasa. 

"Tolong kuatkan saya, saya sangat lemah..."

Ah, memang itu juga fungsi manusia kan. 

Seringkali, melakukan itu semua tak pernah menyelesaikan masalah. Hati yang tadinya tenang rupanya hanya sebentar. Allahu Allah. Mengapa jadi begini?

"Lah, kenapa baru sekarang kau memanggilKu?" Tanya Allah.

Kita seringkali lupa kepada Allah yang maha kuasa, maha kaya, maha mencukupkan, maha segala-galanya. Untuk memulihkan sakit di hati kita, cukup mudah bagiNya. Oh, rupa-rupanya kita hanya memberi sisa kepadaNya.

Padahal untuk menghayati dan menghilangkan kesedihan dari ayat suciNya pun kita perlu meminta kepadaNya. Duhai jiwa yang lemah, perasaan ini mutlak hakNya!

Mari sejenak kita beristighfar atas dosa-dosa kita. Istighfarlah juga atas istighfar kita yang penuh kelalaian. Buang sombong itu jauh-jauh. Jangan pernah mengaku kuat tanpa Allah.

Kita hamba yang selalu lupa, bahawa segala yang kita lakukan di dunia ini perlu semata-mata keranaNya. Hatta amal yang dilihat kecil dan remeh oleh manusia pun sebenarnya terlalu bernilai jika tujuannya mempersembahkan yang terbaik buatNya. 

Sehingga di hadapan Allah nanti, kita mampu tersenyum mengatakan "Wahai Allah, inilah amal-amalku yang manusia perkecilkan. Sesungguhnya, aku melakukan ini semua tidak lain hanya untukMu Tuhan." Subhanallah, indah bukan?

Kenapa tidak kita gegarkan diri sendiri supaya sedar bahawa kita hamba Dia, bukan manusia. Dalam hidup ini, bukan hak kita yang perlu ditagih-tagih untuk dipenuhi tapi kebahagiaan itu akan datang ketika kita sedar peranan kita sebagai hamba Ilahi.

Letakkan tangan di dada dan rasai denyutan jantung pemberianNya. Hati ini, sememangnya perlu dirawat dengan rasa syukur. Kenapa masih terkial-kial mencari apa yang harus disyukurkan sedangkan nikmat iman dan Islam itu pemberian Allah paling mahal tak ternilai. 

Ubat setiap masalah itu sangat dekat dengan diri kita. Bayangkan, kita diberi ubat ketika sakit, tapi kita tak mahu memakannya. Rugi kan?

Kita diberi Allah solusi dari qiamullail, bacaan Al-Quran, zikir, majlis ilmu dan ibadah sunat yang menguatkan cinta, wah begitu banyak, tapi kita sanggup sia-siakan?


Ya Allah, dengan pengetahuanMu pada yang ghaib dan kuasaMu atas makhlukMu, hidupkanlah kami Ya Allah sekiranya kehidupan itu baik untuk kami, dan matikanlah kami sekiranya kematian itu baik untuk kami.

Kami memohon rasa takut padaMu dalam keadaan terang-terangan mahupun sunyi. Kami mohon Ya Allah perkataan yang benar pada saat redha dan saat marah.

Kami mohon Ya Allah kesederhanaan saat kaya dan miskin. Kami mohon Ya Allah kenikmatan yang takkan pernah putus, dan keredhaan atas semua yang Kau tetapkan.

Ya Allah, kami mohon kehidupan yang damai setelah mati. Kurniakanlah kami nikmat dapat melihat wajahMu, serta kerinduan untuk bertemu denganMu.

Jadikanlah kami orang yang mendapat hidayah dan menebarkan hidayah kepada orang lain.

Amin ya Rabb.

Share:

09 November 2015

Tak Kenal Maka Tak Cinta


Gambar sekadar hiasan
3 orang anak gadis sedang berborak tentang makanan.

Gadis 1: Sedapnya asam pedas ni... dahla pekat!
Gadis 2: Asam pedas ni tak sedaplah.. sebab kakak ipar saya masak lagi sedap.
Gadis 3: Betul..macam tomyam. Sebab tu saya tak pernah beli tomyam tempat lain. Mak saya punya tomyam je paling sedap.

Saya cuba kaitkan dialog di atas dengan Islam dan Al-Quran.

Semestinya bila seseorang itu sudah merasa 'izzah dengan Islam, pastinya hanya agama itu tetap sempurna di hatinya. Begitu juga bila seseorang merasa cukup dengan Al-Quran, solusi apapun untuk menenangkan hati yang lara pasti tak sehebat Al-Quran.


Lirik lagu Khawateer yang menginspirasikan.

Saya ada menonton rancangan Khawateer yang dihoskan oleh Ahmed Al Shugairi. Topik episod tersebut ialah "Arihna biha ya Bilal" (rehatkan kami dengan solat ya Bilal). Pengacara menyebut ayat dari surah Al-Baqarah ayat 155:


"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Hasil statistik menunjukkan negara Jepun antara 10 negara teratas kadar bunuh diri. Ada yang stress kerana kerja lalu bunuh diri. Apabila mereka sudah tak mampu melawan penyakit dan membayar hutang, mereka selesaikan masalah dengan bunuh diri. 

Betapa banyak buku diletakkan di perpustakaan Jepun untuk beri semangat agar bunuh diri bukan solusi masalah. Malah sistem keselamatan diketatkan di stesen kereta api agar penduduk Jepun tak cuba membunuh diri. 

Begitulah bertuahnya orang beriman, mereka ada Allah untuk meminta tolong. Allahu Akbar. 

Ayat 155 surah Al-Baqarah disambung dengan ayat 156 yang menunjukkan solusi bagi masalah orang mukmin:

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sesiapa yang kembali pada Allah dengan meminta tolong padaNya, PASTI akan bertemu ketenangan dan jalan keluar. Subhanallah.

Minggu lepas, saya menemuramah beberapa orang wanita yang menceritakan masalah mendidik anak-anak di zaman kini. Kami cuba berdiskusi tentang solusi. Dalam keadaan tekanan kos hidup yang tinggi, ibu bapa yang sibuk bekerja tidak mampu mengawasi anak-anak yang berkembang bersama arus teknologi dan media sosial. Kes-kes pornografi dan jenayah remaja kian bertambah. Vape pun sudah mampu dihisap kanak-kanak kecil. Menyedihkan.

Dalam hati ini ada rasa gentar untuk mendidik generasi terutamanya anak-anak sendiri nanti. Sudahnya, kami menemukan solusi yang sama, iaitu TAUHID.

Dengan mengenali Allah menerusi nama dan sifat kebesaran-Nya, diri sendiri dan anak-anak akan mengenali sifat-sifat kesempurnaan Allah. Maka akan timbullah rasa kasih, malu, kagum, sayang, takut, harap, hina, rindu, cinta dan lain-lain dalam diri. Seterusnya, rasa mempengaruhi tindakan, percakapan dan perasaan. 

“Tak kenal maka tak cinta.” Untuk cinta, mesti kenal. Maksudnya, jika seorang anak itu benar-benar kenal Allah, maka sudah pasti ia cintakan Allah. Dan apabila dia telah cintakan Allah, maka dengan sendirinya lahir perbuatan-perbuatan yang selaras dengan rasa cintanya itu. Apa yang Allah suka, dilakukannya. Apa yang Allah benci, ditinggalkannya." -Ustaz Pahrol

Maaf, setakat ini satu-satunya solusi yang saya temukan adalah menguatkan hubungan kita dan keluarga dengan Allah.

Menterjemahkan prinsip Allah Dulu, Allah Lagi, Allah Terus.

Mohon doakan saya. 

Wallahu'alam.
Share:

04 November 2015

A Fresh Start [Little Big Master]

Filem Mandarin Little Big Master
Bismillah.. 


Dalam hidup, kalian akan bertemu dengan guru terbaik kalian, yang akan mengubah hidup kalian.
-Little Big Master

Teringat  sewaktu perjalanan ke Amsterdam di dalam flight Garuda, menitis air mata saya setelah menonton satu filem yang cukup menyentuh hati. Mujur teman di sebelah khusyuk menonton. Inilah filem pertama yang saya tonton seluruhnya dari mula sampai habis di dalam flight. Alhamdulillah, pilihan Allah tepat. Filem ini saya beri 5 bintang!

Filem Mandarin "Little Big Master" dikatakan filem Laskar Pelangi versi Hongkong, malah menjadi box office. Bagi saya, filem ini sangat menginspirasikan. Di sekolah yang hanya memiliki 5 murid, seorang wanita bernama Lui Wai-Hung rela memperoleh pendapatan terendah sebagai guru besar sepanjang sejarah Hongkong. 


Sewaktu mencari toilet ketika hujan lebat

Kisah ini menunjukkan makna sebenar panggilan 'guru' yang bukan hanya sebagai pendidik, tapi pemberi harapan. Hung tak hanya menyelamatkan sekolah daripada ditutup, bahkan turut menyelamatkan kehidupan anak-anak di kampung tersebut.


Tugas guru perlu berjiwa besar kerana tugas ini membina dan membentuk manusia.
-Ustaz Syaari

Ujian dan konflik bukan saja datang dari keadaan keluarga anak-anak didiknya dan cemuhan masyarakat, tapi ditambah dengan penyakit barahnya. Saya kagum dengan keyakinan Hung sebagai guru. Suatu perjuangan yang tidak mudah namun juga bukan sesuatu yang tidak mungkin. Tekad yang kuat pasti berbuah hasil.

Perjuangan Hung membuka mata saya, menjawab kata-kata negatif di fikiran ini. Ketika orang lain mengejar nama, wang dan pangkat, lihatlah kepada orang yang gigih berjuang untuk berbakti kepada masyarakat, meskipun dalam serba kekurangan.

Kita hidup ini harus berbakti pada orang. Fikiran, hati dan gerak langkah harus didedikasikan sebagai manfaat untuk orang lain.
-Yusuf Mansur
Saya pernah terbaca satu nasihat yang saya pun setuju;

Jangan niat nak belajar tinggi-tinggi sebab nak gaji besar. Jadi dalam mencari kerja pertama, jika gaji mungkin tak setaraf graduan Master, asalkan tidak perlu meminta-minta orang lain, ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan, dan mudah-mudahan ada saham untuk akhirat nanti sudah memadai.

Kata Saiful Nang, "Kaya kita bukan kerana kita banyak duit tetapi kerana kita CUKUP. Pendapatan 100k sebulan jika nafsunya RM200k tetap kita jadi sangat miskin lagi. Maka kuncinya ialah nafsu yang perlu dididik.

“Dan cukuplah Allah sebagai pemberi kecukupan” (an-Nisaa': 6).

Maka jelaslah sifat Allah al-Hasiib Yang Maha Mencukupi hamba-hambaNya dalam semua keperluan mereka, baik dalam urusan agama mahupun urusan dunia. 

Seringkali ditanya, "Kenapa ambil Master?" Dan mungkin kebanyakan orang telah di'mind-setting' kan bahawa graduan Master/phD pasti akan bekerja hebat serta bergaji/berjawatan tinggi. 

Di sisi lain, saya melihat beberapa orang yang sanggup berhenti kerja walaupun bergelar "dr" kerana ingin menguruskan keluarga. Walaupun kelihatan melawan arus, tapi saya melihat mereka membuat keputusan yang tepat.
Inspirasi dari Yaasin Kindergarten China
Ini impian saya. Saya sudahpun menulis impian saya di blog ini. Dan inshaAllah, Allah sedang menunjukkan jalan ke arah ini. Saya berimpikan melahirkan seramai mungkin generasi Al-Quran yang akan bersama-sama mendaulatkan Al-Quran di muka bumi ini.

Semoga Allah kukuhkan keyakinan saya pada janjiNya. Semoga Allah membantu perjuangan ini sampai akhir hayat saya. Semoga, Allah memilih saya menjadi murobbiyah sekaligus pemberi harapan kepada sakitnya ummah.

If you complain about sadness resides within your heart

You can wipe it away by putting a smile on child's face

-Khawateer-
Share:

Siti Zulaikha binti Mokhtar. Shaklee Dustributor.

Popular Posts

"umi, kami selongkar dunia maya
dan temukan catatan umi di sana"



"Cita-cita ku adalah menginspirasi jutaan orang
meski mereka tak mengenalku,
biarlah Allah yang menilai kerja-kerjaku"

Categories